Aset
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bolehkah harta dibahagikan sama rata tanpa ikut faraid?

Waris boleh pilih untuk hadiahkan atau agih sebahagian daripada harta pusaka yang mereka warisi kepada waris lain, atas dasar persetujuan dan keikhlasan
Aug 17, 2025 | 5:30 AM
faraid
Ulama sepakat bahawa sekiranya semua waris baligh, berakal dan bersetuju tanpa paksaan, mereka dibenarkan membahagikan harta pusaka secara berlainan daripada faraid – termasuk secara sama rata, kata penulis.  - Foto PIXABAY

Fatimah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Jumaat yang tenang.

Harta peninggalannya hanyalah rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik di Yishun yang diwarisinya setelah suaminya meninggal dunia dua tahun yang lalu, sedikit wang simpanan, dan beberapa barang kemas.

Beliau mempunyai tiga anak – dua lelaki dan seorang perempuan.

Anak-anak lelakinya sudah berumah tangga.

Namun anak perempuannya, Nadia, masih membujang walaupun umurnya sudah mencecah 30 tahun.

“Nak jaga Mak,” kata Nadia apabila ditanya saudara maranya, walaupun beliau pernah putus tunang dengan seorang jejaka beberapa tahun yang lalu.

“Sebelum mak sakit teruk, dia ada pesan pada abang. Mak nak harta pusaka dia dibahagi sama rata – tak ikut faraid.

“Mak kata, biarlah anak-anak dia semua rasa sama, sebab Nadia yang banyak jaga dia,” kata Halim, anak sulung Fatimah, memulakan perbincangan dalam satu pertemuan di antara adik-beradiknya di rumah ibu mereka seminggu selepas kematiannya.

Belum sempat Halim menghabiskan ayatnya, Hamdan, anak kedua, membentak.

“Abang sedar tak apa abang cakap tu? Nak ketepikan faraid? Ini hukum Allah! Lelaki dapat dua bahagian, perempuan satu. Itu perintah yang jelas dalam Al-Quran!

“Aku tak sangka abang sendiri yang nak lencong daripada syariat,” sambung Hamdan, dengan suara yang meninggi.

Halim tenang, namun suaranya tegas.

“Faraid memang hukum Allah, tapi kalau semua waris reda dan sepakat, tiada siapa yang melanggar hukum.

“Mak bukan nak tolak hukum. Abang rasa Mak nak kita pandang jasa baik Nadia menjaga Mak. Nadia yang tinggal bersama Mak setelah kita semua berumah tangga dan ada rumah sendiri. Dia yang uruskan makan minum, sakit peningnya.

“Kita pulak jarang ziarah Mak, mungkin seminggu sekali. Itu pun sekejap aje. Namun, Nadia tetap bersama Mak, dan menjaga Mak semasa dia sakit, sampailah Mak meninggal dunia,” sambung Halim, sambil memandang ke arah Nadia, adik bongsunya.

Hamdan terdiam, mukanya merah.

Halim, yang mempunyai pendidikan di madrasah, menambah:

“Faraid adalah hukum yang adil. Mesti ada hikmahnya kenapa Allah peruntukkan dua bahagian untuk waris lelaki dan satu bahagian untuk waris perempuan. Kau sanggup tanggung hidup Nadia kalau dia masih belum bersuami?”

Hamdan tergagap. “Itu… lain cerita.”

“Bukan lain, Hamdan. Kalau kita nak hak lebih, tanggungjawab kita juga harus lebih. Dan kita harus pikul amanahnya kalau tak mahu dipersoalkan di akhirat.

“Tapi sekarang, Nadia lebih banyak berkorban berbanding kita berdua. Takkan kita nak abaikan pengorbanan Nadia?” balas Halim.

Nadia yang dari tadi mendiamkan diri, bersuara:

“Mak pun ada cakap dengan Nadia pasal bahagi sama rata ini. Cuma dia cakap abang-abang mesti nak setuju dengan ikhlas, kerana itu hak abang berdua.

“Mak bukan paksa. Mak cuma pesan. Tapi kalau abang-abang tak setuju, saya reda dengan apa saja keputusannya.”

Suasana sunyi seketika.

Hamdan akhirnya bersuara, lebih lembut.

“Baiklah. Kalau itu pesanan Mak, dan Abang Halim pun setuju, aku reda. Aku tak nak jadi anak yang abaikan pesanan Mak,” katanya.

Tiga beradik itu pun akhirnya sepakat. Mereka bahagikan harta pusaka ibu mereka secara sama rata.

ANALISIS

Cerpen ini mengetengahkan pertikaian yang sering berlaku antara waris selepas kematian seorang ibu atau bapa.

Dalam Islam, hukum faraid menetapkan bahawa anak lelaki mendapat dua bahagian berbanding anak perempuan yang hanya mendapat satu bahagian.

Ini bukan soal diskriminasi, tetapi berasaskan tanggungjawab yang berbeza – waris lelaki diwajibkan menanggung nafkah kepada isteri dan anak-anak mereka, kepada ibu yang tiada suami dan kepada saudara perempuan jika mereka belum bersuami atau tidak berkemampuan.

Seorang waris perempuan dalam Islam mempunyai hak milik mutlak terhadap harta pusaka yang diwarisinya.

Beliau tidak bertanggungjawab berkongsi atau menggunakannya untuk menyara hidup orang lain, baik ibunya sendiri.

Namun, ulama sepakat bahawa sekiranya semua waris baligh, berakal dan bersetuju tanpa paksaan, mereka dibenarkan membahagikan harta pusaka secara berlainan daripada faraid – termasuk secara sama rata.

Andai kata ada waris lelaki yang tidak setuju, para waris yang lain boleh memberikan hak waris yang tidak setuju itu, dan bakinya dibahagikan mengikut sama rata.

Dalam kisah ini, jika Hamdan masih tegas mahukan dua bahagiannya mengikut faraid, maka hak faraidnya itu boleh diberikan kepadanya dan bakinya dibahagikan secara sama rata antara Halim dengan Nadia.

ILUSTRASI

Harta pusaka Fatimah bernilai $500,000.

Kedua-dua waris lelaki mendapat dua bahagian seorang.

Waris perempuan mendapat satu bahagian.

Mengikut perkiraan, harta pusaka perlu dibahagikan kepada lima bahagian.

Halim dan Hamdan mendapat $200,000 seorang dan Nadia mendapat $100,000.

Kerana Hamdan mahukan haknya, bahagian $200,000 diberikan kepada Hamdan dulu.

Bakinya, $300,000 dibahagikan sama rata antara Halim dengan Nadia.

Dalam situasi apabila kedua-dua waris lelaki bersetuju untuk bahagi sama rata dengan Nadia, nilai $500,000 akan dibahagi tiga, dan setiap waris mendapat $166,666.67.

Dalam kisah ini, pesanan si ibu untuk harta pusakanya dibahagi secara sama rata bukanlah suatu pesanan yang wajib diikuti.

Namun, waris lelaki boleh memilih untuk menunaikannya atas dasar hormat kepada ibu mereka, serta atas dasar ihsan, kasih sayang dan menghormati pengorbanan adik perempuan yang telah menjaga kebajikan ibu mereka hingga akhir hayatnya.

Kisah ini juga mengingatkan kita bahawa hak faraid datang bersama tanggungjawab.

Tanggungjawab waris lelaki bukan sekadar memberi nafkah, malah merangkumi penjagaan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan.

Ini kerana waris lelaki dianggap sebagai wali yang menggantikan peranan arwah bapa.

Perlu diingat bahawa memberikan harta pusaka secara sama rata kepada saudara perempuan tidak menggugurkan tanggungjawab waris lelaki untuk menjaga kebajikan mereka, kecuali jika saudara perempuan tersebut sendiri meredai dan secara jelas menggugurkan tanggungjawab abang-abangnya terhadap dirinya.

Dalam konteks yang lain, para waris – lelaki mahupun perempuan – boleh memilih untuk menghadiahkan atau mengagihkan sebahagian daripada harta pusaka yang mereka warisi kepada waris lain, atas dasar persetujuan dan keikhlasan.

Sebagai contoh, seorang waris perempuan yang berdikari dari segi kewangan mungkin memilih untuk menerima bahagian yang lebih kecil agar waris lelaki – yang telah banyak berkorban menanggung kebajikan ibu bapa serta keluarganya sendiri – dapat memperkukuh kedudukan kewangannya.

Tindakan seperti ini mencerminkan nilai rahmah (kasih sayang) dan ihsan (kebaikan tanpa paksaan) yang amat dituntut dalam Islam.

Islam mengajarkan bahawa pelaksanaan hak tidak semestinya bersifat kaku, tetapi perlu disertai dengan nilai belas kasihan dan empati terhadap keadaan waris yang lain.

Sabda Rasulullah saw:

“Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Allah Yang Maha Penyayang. Sayangilah makhluk yang di bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh yang di langit.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Penulis Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Barakah Capital Planners, firma perunding perancangan harta pusaka. Pihaknya boleh dihubungi menerusi WhatsApp di 9185-2559 atau e-mel di enquiry@barakahcapital.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg