Aset
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buat persediaan lebih awal untuk persaraan yang anda inginkan

Faktor utama tentukan jumlah simpanan persaraan termasuk anggaran perbelanjaan harian, premium insurans, sumber pendapatan yang dijangka
Mar 23, 2025 | 5:30 AM
Walaupun simpanan persaraan sebanyak $1 juta sering disebut-sebut sebagai sasaran di Singapura, keperluan sebenar anda akan bergantung pada beberapa faktor, seperti gaya hidup dan anggaran perbelanjaan harian anda.
Walaupun simpanan persaraan sebanyak $1 juta sering disebut-sebut sebagai sasaran di Singapura, keperluan sebenar anda akan bergantung pada beberapa faktor, seperti gaya hidup dan anggaran perbelanjaan harian anda. - Foto BT

Mereka yang belum bersara sering tertanya-tanya, berapa banyakkah wang yang diperlukan untuk mempunyai persaraan yang selesa?

Menentukan jumlah simpanan persaraan boleh menjadi agak rumit.

Anda ingin mencari keseimbangan antara mencapai tahap simpanan persaraan sebaik mungkin, dengan mempunyai masa dan kesihatan untuk menikmatinya.

Oleh sebab Singapura dijangka menjadi masyarakat yang sangat tua, keperluan meningkatkan kecukupan persaraan rakyat Singapura dicerminkan dalam pengumuman Belanjawan 2025 dengan pelbagai inisiatif dan skim, seperti Skim MediSave yang Dipadankan atau ‘MediSave Matched’ (satu skim padanan tambah nilai sukarela ke akaun MediSave bagi warga berpendapatan rendah), yang boleh membantu meningkatkan daya tahan kewangan.

Walaupun simpanan persaraan $1 juta sering disebut-sebut sebagai sasaran di Singapura, keperluan sebenar anda akan bergantung pada beberapa faktor.

Gaya hidup yang anda idamkan akan mempengaruhi perbelanjaan anda dengan ketara.

Faktor utama lain termasuk anggaran perbelanjaan harian (sambil mengambil kira inflasi dan peningkatan jangka hayat), premium insurans dan sumber pendapatan yang dijangkakan.

Laporan penyelidikan DBS terkini mengesyorkan bahawa jumlah simpanan antara $550,000 dengan $1.3 juta adalah sasaran wajar.

Jumlah itu boleh ditambah dengan pembayaran anuiti Tabung Simpanan Pekerja (CPF), simpanan CPF, aset cair dan sumber pendapatan lain.

Julat unjuran ini mengandaikan pengeluaran wang selama 20 tahun mulai umur 65 tahun, berdasarkan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) 2023 terbaru Singapura dan mengandaikan kadar inflasi tahunan 2.5 peratus.

Kertas penyelidikan Life after work Preparing for a rewarding retirement journey (Kehidupan setelah bekerja – Persediaan untuk persaraan yang memuaskan) ialah bahagian keenam dalam Siri Kesihatan Kewangan DBS yang menganalisis cerapan data terkumpul dan tanpa nama daripada dua juta pelanggan runcit DBS pada Jun 2024, serta HES 2023 daripada Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat), untuk menjelaskan kecukupan persaraan rakyat Singapura.

Analisis itu menunjukkan, seorang pesara berusia 65 tahun dengan tabiat perbelanjaan yang lebih asas (atau sekitar $1,600 dalam belanja bulanan) memerlukan sekurang-kurangnya $550,000 dalam simpanannya menjelang 2030 untuk mengekalkan gaya hidupnya selama 20 tahun; manakala seorang pesara dengan gaya hidup seimbang ($2,800 setiap bulan) memerlukan sekurang-kurangnya $950,000.

Bagi golongan 20 peratus teratas pesara dengan gaya hidup lebih mewah ($4,000 belanja bulanan), jumlah diperlukan lebih dua kali ganda iaitu kira-kira $1.3 juta.

Perbezaan ini menekankan kepentingan merancang awal untuk mencapai gaya hidup persaraan yang anda inginkan.

Berikut ialah enam sorotan daripada laporan DBS itu.

1. Perbelanjaan median pesara lebih rendah

Laporan itu menunjukkan bahawa perbelanjaan berubah mengikut peringkat kehidupan, dengan penurunan ketara dalam usia persaraan.

Berdasarkan HES SingStat, isi rumah pesara membelanjakan purata $2,349 sebulan, sekitar 40 peratus daripada purata $5,931 untuk semua isi rumah penduduk iaitu penurunan 60 peratus.

Menganggarkan jumlah yang mungkin kita tanggung semasa persaraan berdasarkan perbelanjaan sedia ada adalah munasabah kerana ia mencerminkan perbelanjaan sebenar.

2. Peruntukan untuk kesihatan

Peruntukan belanja mencukupi untuk penjagaan kesihatan penting kerana pesara amat terdedah kepada peningkatan kosnya.

Kos perubatan telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mungkin terus meningkat dengan ketara pada masa hadapan.

Ini boleh dikaitkan dengan penduduk yang semakin tua, kos pekerja yang meningkat dan akses kepada rawatan lanjutan (dan lebih mahal).

3. Pembayaran CPF

CPF LIFE, skim anuiti wajib Singapura, merupakan asas kepada perancangan persaraan negara yang direka untuk menyediakan pendapatan persaraan sepanjang hayat.

Perbelanjaan persaraan boleh disokong oleh simpanan wang yang dirancang dengan baik dan sumber pendapatan tambahan, seperti pendapatan pekerjaan atau pelaburan.

Bergantung semata-mata pada CPF mungkin tidak mencukupi jika anda mempunyai keinginan yang mewah.

Anda boleh memanfaatkan simpanan CPF anda melalui sumbangan kepada Jumlah Persaraan Penuh atau Jumlah Persaraan Dipertingkatkan, dan/atau menyertai Skim Pelaburan CPF.

4. Bina pelbagai aliran pendapatan pasif

Apabila persaraan semakin hampir, adalah bijak untuk membina pelbagai aliran pendapatan pasif dan memadankannya dengan keperluan dan kehendak anda.

Strategi berikut boleh membantu anda mengenal pasti dan menutup jurang wang serta menyusun aliran pendapatan pasif anda.

Mulakan dengan menggambarkan gaya hidup persaraan yang anda inginkan, senaraikan keperluan dan kehendak anda, dan ukur perbelanjaan.

Langkah kedua ialah memperuntukkan simpanan anda ke dalam pilihan insurans dan pelaburan.

Aliran pendapatan yang lebih terjamin dan boleh dipercayai seperti pembayaran daripada CPF LIFE, insurans pendapatan persaraan dan pendapatan tetap, boleh digunakan untuk memenuhi keperluan anda, manakala aliran pendapatan lebih berubah-ubah daripada pelaburan ekuiti yang berpotensi lebih tinggi mungkin boleh membiayai kehendak anda.

Pilihan lain ialah untuk menjana pendapatan daripada hartanah melalui penyewaan, skim beli balik pajakan dan/atau produk ekuiti rumah.

5. Pelabur lebih muda boleh lakukan lebih banyak

Sebahagian besar pelanggan lebih muda cenderung dalam pelaburan tetap, misalnya T-bill dan Bon Simpanan Singapura, yang pulangannya mungkin tidak bertahan lama.

Memandangkan tempoh masa mereka yang lebih panjang, pelabur lebih muda boleh mempertimbangkan kelas aset lain, seperti ekuiti, untuk potensi pulangan yang lebih tinggi. 

6. Capai matlamat lebih awal atau tetapkan matlamat lebih tinggi

Analisis kami menunjukkan bahawa seorang lelaki berusia 25 tahun yang menetapkan matlamat persaraan antara $550,000 dengan $1.3 juta perlu melabur antara $360 dengan $850 sebulan, dengan mengandaikan pulangan tahunan 5 peratus.

Lebih awal beliau bermula, semakin sedikit yang dia perlu laburkan setiap bulan untuk mencapai sasaran persaraannya, begitu juga sebaliknya.

Petua kewangan

1. Mulakan dari awal dan kembangkan simpanan persaraan anda pada kadar yang stabil dan bukannya menunggu sehingga umur lewat.

2. Tetapkan matlamat yang jelas dan bayar ‘diri masa depan’ anda terlebih dahulu.

3. Mulakan menyimpan dari awal dan konsisten dan peruntukkan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan simpanan kecemasan, atau lebih jika anda bekerja dalam ekonomi gig.

4. Dapatkan perlindungan insurans mencukupi daripada perbelanjaan perubatan yang tidak dijangka atau kehilangan pendapatan akibat penyakit, hilang upaya atau kemalangan.

5. Laburkan simpanan anda dengan bijak dalam pilihan insurans dan pelaburan.

6. Jana aliran pendapatan pasif untuk membiayai keperluan dan kehendak persaraan anda.

Manfaatkan skim pemerintah, misalnya Skim Persaraan Tambahan, dan tambah nilai Akaun Persaraan anda kepada sekurang-kurangnya Jumlah Persaraan Penuh pada umur 55 tahun.

Penulis ialah ketua bahagian celik perancangan kewangan di DBS Bank, dan penulis buku Money Smart dan Retire Smart. Rencana ini kali pertama diterbitkan di The Business Times.

Bina aliran pendapatan pasif

“Aliran pendapatan yang lebih terjamin dan boleh dipercayai seperti pembayaran daripada CPF LIFE, insurans pendapatan persaraan dan pendapatan tetap, boleh digunakan untuk memenuhi keperluan anda, manakala aliran pendapatan lebih berubah-ubah daripada pelaburan ekuiti yang berpotensi lebih tinggi mungkin boleh membiayai kehendak anda.” 
Cik Lorna Tan, ketua bahagian celik perancangan kewangan di DBS Bank.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg