Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar faedah Akaun Khas CPF, MediSave, Persaraan kekal 4% bagi suku kedua

Mar 12, 2025 | 2:33 PM
Kadar faedah bagi tiga akaun disandarkan pada hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS), ditambah 1 peratus dan tertakluk pada kadar minimum.
Kadar faedah bagi tiga akaun disandarkan pada hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS), ditambah 1 peratus dan tertakluk pada kadar minimum. - Foto BT

Pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan terus menerima faedah tahunan 4 peratus untuk Akaun Khas (SA), MediSave dan Persaraan (SMRA) dalam suku kedua 2025, sama seperti suku sebelum ini.

Kadar faedah tidak berubah kerana kadar yang disandarkan bagi SMRA masih belum melebihi kadar minimum 4 peratus, jelas Lembaga CPF dalam kenyataan bersama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 12 Mac. 

Kadar minimum ialah kadar faedah minimum yang boleh dikenakan ke atas pinjaman, gadai janji atau produk kewangan lain.

Kadar faedah bagi tiga akaun itu disandarkan pada hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS), ditambah 1 peratus dan tertakluk pada kadar minimum.

Kadar faedah untuk simpanan Akaun Biasa (OA) juga kekal tidak berubah pada kadar minimum 2.5 peratus setahun bagi suku kedua, memandangkan kadar yang disandarkannya masih di bawah kadar minimum, lapor The Business Times (BT).

Sementara itu, kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB, yang disandarkan pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, akan kekal tidak berubah pada 2.6 peratus setahun.

Semua pencarum CPF akan terus menerima faedah tambahan ke atas simpanan mereka.

Pencarum berusia 55 tahun dan ke atas akan menikmati faedah tambahan 2 peratus bagi $30,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka – dihadkan pada $20,000 untuk OA, serta tambahan 1 peratus bagi $30,000 seterusnya.

Pencarum berusia bawah 55 tahun akan menerima faedah tambahan 1 peratus bagi $60,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka – juga dihadkan pada $20,000 untuk OA.

Faedah tambahan yang diperoleh daripada baki OA akan dimasukkan ke dalam SA atau Akaun Persaraan (RA) pencarum.

Pada 19 Januari, SA bagi sekitar 1.4 juta pencarum CPF berusia 55 tahun dan ke atas telah ditutup.

Langkah ini pertama kali diumumkan oleh Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Februari 2024. Ketika itu, beliau belum menjadi Perdana Menteri.

Simpanan di dalam akaun SA yang telah ditutup itu dipindahkan ke RA, sehingga mencapai Jumlah Persaraan Penuh bagi kohort pencarum tersebut – dengan simpanan itu akan terus memperoleh kadar faedah jangka panjang bermula Januari.

Baki simpanan SA pula dipindahkan ke OA, dengan pencarum diberi pilihan untuk mengeluarkannya apabila perlu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg