Adakah anda sedang memikir untuk membelikan apartmen bagi anak dewasa anda supaya mereka boleh mulakan hidup tanpa beban pinjaman?
Sebelum ibu bapa terburu-buru mengikut trend perancangan kewangan dengan melibatkan anak-anak mereka dalam pelaburan hartanah, mereka perlu sedar bahawa langkah sebegini tidak terlepas daripada risiko.
Salah satu risiko terbesar ialah pelaburan bernilai ini mungkin terpaksa dikongsi dengan bekas pasangan anak-anak sekiranya perkahwinan ditimpa perceraian.
Tidak seperti harta praperkahwinan yang biasanya tidak dikongsi, seringkali sukar untuk mengelakkan hartanah daripada dikongsi jika ia digunakan sebagai rumah perkahwinan pasangan tersebut.
Individu yang sudah memiliki hartanah kediaman tidak boleh memohon flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan mereka juga perlu membayar Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) jika mereka membeli rumah lain bersama pasangan masa depan.
Oleh itu, besar kemungkinan pasangan muda akan menggunakan hartanah sedia ada yang dihadiahkan oleh ibu bapa mereka sebagai rumah kediaman perkahwinan.
Berikut adalah tiga perkara penting yang perlu dipertimbangkan oleh ibu bapa sebelum menghadiahkan hartanah kepada anak mereka.
Kes cerai baru-baru ini menunjukkan dengan jelas bagaimana harta warisan keluarga boleh berakhir di tangan orang yang anda tidak lagi mahu ada kaitan dengannya.
Semasa waktu bersama, isteri dalam kes ini tidak kisah menggunakan dua rumah yang diberikan oleh arwah ibunya sebagai rumah perkahwinan.
Rumah-rumah tersebut, yang bernilai $6 juta, terletak bersebelahan dan disambungkan melalui pintu belakang bersama.
Semasa tiga anak mereka membesar, pasangan ini menjual apartmen mereka dan menggunakan hasil jualan untuk menghubungkan dua rumah itu supaya keluarga besar boleh tinggal dengan selesa.
Mereka membina dapur dan ruang makan bersama di rumah kedua dan menukar dapur di rumah pertama menjadi bilik belajar.
Suaminya, seorang pegawai bank, adalah pencari nafkah tunggal dan membayar sebahagian besar kos pengubahsuaian.
Walaupun kededua rumah itu milik isteri, ini adalah contoh klasik di mana suami berhak mempunyai bahagian kerana beliau telah “memperbaiki” hartanah itu dengan ketara.
Nilai rumah itu jauh lebih tinggi berbanding aset lain pasangan itu yang bernilai sekitar $2.7 juta.
Mahkamah Tinggi kemudian mendapati suami berhak mendapat 40 peratus daripada aset gabungan bernilai $8.7 juta. Beliau menerima $3.48 juta manakala isterinya mendapat $5.22 juta, yang kurang daripada nilai dua rumah yang diwarisi.
Bandingkan dengan satu lagi kes melibatkan ibu bapa kaya yang membenarkan anak lelaki dan menantunya tinggal di rumah mereka bernilai $5 juta.
Apabila perkahwinan alami perceraian, bekas isteri cuba menuntut rumah yang pernah jadi rumah perkahwinan mereka, walaupun ia milik keluarga suami.
Tetapi Mahkamah Rayuan memutuskan rumah itu tidak boleh dikongsi kerana milik ibu bapa yang membayar segala kos.
Oleh kerana bekas isteri hanya menetap di rumah itu tanpa membuat sebarang penambahbaikan, mahkamah memutuskan bahawa tinggal sahaja di situ tidak memberinya hak ke atas rumah tersebut, yang kekal sebagai harta sebelum perkahwinan.
Ibu bapa harus sentiasa utamakan keperluan sendiri sebelum menghabiskan simpanan persaraan hanya supaya anak mendapat rumah.
Ada beberapa kes di mana ibu bapa menyesal kerana kemudian kekurangan wang tunai ketika lanjut usia.
Mereka cuba menuntut balik harta anak tetapi gagal kerana hadiah tersebut dibuat secara sah.
Jika anda membayar untuk sebuah hartanah, biasanya “kepercayaan yang terhasil” atau “resulting trust” membolehkan anda menuntut bahagian yang layak, tetapi sukar untuk mahkamah memihak jika tujuan membenarkan anak memegang hartanah adalah untuk mengelak membayar ABSD.
Jika anda benar-benar mahu mempermudahkan kehidupan anak dewasa anda, pertimbangkan untuk membuka akaun bank bersama mereka dengan jumlah wang yang banyak.
Mereka boleh menggunakan wang tersebut apabila memerlukan bantuan dan baki wang itu tidak boleh disentuh bekas pasangan kerana dianggap sebagai dana praperkahwinan.
Ibu bapa tidak perlu terlalu obses dengan hartanah kerana aset paling berharga yang boleh diberikan kepada anak-anak adalah kasih sayang dan kebijaksanaan, yang tidak ternilai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg