Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia ambil tindakan mahkamah ke atas Optus susulan serangan siber 2022

May 23, 2024 | 2:25 PM
Penguasa Komunikasi dan Media Australia mendakwa Optus gagal melindungi kerahsiaan maklumat peribadi pelanggan daripada diceroboh atau terdedah kepada akses tanpa kebenaran.
Penguasa Komunikasi dan Media Australia mendakwa Optus gagal melindungi kerahsiaan maklumat peribadi pelanggan daripada diceroboh atau terdedah kepada akses tanpa kebenaran. - Foto REUTERS

Pengawal selia media Australia mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat telekomunikasi Optus, anak syarikat Singtel di Australia, berhubung insiden serangan siber yang dialaminya pada September 2022, menurut Optus pada 22 Mei.

Pada September 2022, syarikat telekomunikasi nombor dua di Australia itu mengalami serangan siber besar-besaran yang mendedahkan maklumat peribadi pelanggan, termasuk alamat rumah, nombor pasport dan nombor telefon pelanggan.

Lebih 10 juta pelanggan Optus terjejas akibat insiden tersebut.

Penguasa Komunikasi dan Media Australia mendakwa Optus gagal melindungi kerahsiaan maklumat peribadi pelanggan daripada diceroboh atau terdedah kepada akses tanpa kebenaran.

Optus berhasrat mempertahankan diri dalam prosiding tersebut, menurut The Straits Times (ST), yang memetik laporan Reuters.

“Pada peringkat ini, Optus Mobile tidak dapat menentukan jumlah penalti, jika ada, yang mungkin dikenakan.

“Sebelum ini, Optus telah memohon maaf kepada pelanggannya dan mengambil beberapa langkah penting, termasuk bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa lain, untuk melindungi mereka,” kata syarikat itu.

Singtel dijangka mengeluarkan keputusan bagi separuh kedua tahun kewangan (FY) 2024 pada 23 Mei.

Pada April, Singtel memberi amaran mengenai penurunan nilai sebanyak $3.1 bilion dan kerugian bersih bagi separuh kedua FY 2024 bagi syarikat itu.

Pada masa itu, ia menyatakan bahawa sekitar $2 bilion daripada jumlah peruntukan penurunan nilai Singtel disebabkan pembayaran ‘muhibah’ oleh Optus.

Insiden serangan siber tersebut menyebabkan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, menggesa peraturan privasi diperketat yang memerlukan syarikat memaklumkan bank dengan lebih cepat, sekiranya ia mengalami serangan siber serupa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Optus ketika itu, Cik Kelly Bayer Rosmarin, meletak jawatan pada November 2023 menyusuli serangan siber dan gangguan Internet Optus di seluruh negara itu, yang menyebabkan sekitar 10 juta pelanggan Australia tanpa akses telefon atau Internet selama 12 jam.

Pada 6 Mei, Optus mengumumkan bahawa ia melantik Encik Stephen Rue sebagai CEO barunya, berkuat kuasa November 2024.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Singtel menyatakan bahawa Encik Rue dan lembaga pengarah Optus “akan bekerjasama untuk menetapkan semula strategi dan membina semula kepercayaan pelanggan terhadap jenama Optus”.

Pada April lalu, Singtel menyatakan bahawa ia tidak membuat perjanjian untuk menjual Optus.

Ini selepas satu laporan media menyatakan bahawa syarikat pengurus aset global dari Canada, Brookfield, telah mengadakan satu perbincangan untuk membeli 20 peratus saham Optus, tetapi kededua pihak tidak bersetuju dengan syarat penjualan saham itu.

“Pada peringkat ini, Optus Mobile tidak dapat menentukan jumlah penalti, jika ada, yang mungkin dikenakan. Sebelum ini, Optus telah memohon maaf kepada pelanggannya dan mengambil beberapa langkah penting, termasuk bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa lain, untuk melindungi mereka.”
Kenyataan anak syarikat Singtel di Australia, Optus.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg