Bakal penganjur bersama Afcon 2027 terima sokongan, kritikan
Bakal penganjur bersama Afcon 2027 terima sokongan, kritikan
Kejayaan Maghribi anjur edisi yang baru lalu telah tetapkan piawai stadium, prasarana untuk dicapai
NAIROBI: Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) seterusnya dijadualkan pada pertengahan 2027, tetapi sudah ada komen dan kritikan terhadap penganjur bersama acara itu iaitu Kenya, Tanzania dan Uganda.
Maghribi merupakan penganjur yang sangat berjaya dalam edisi terbaru acara sukan utama Afrika itu, yang berakhir pada 18 Januari 2026 dengan pasukan kebangsaan mereka tewas 0-1 kepada Senegal pada perlawanan akhir.
Terdapat pujian meluas tentang cara Maghribi menganjurkan acara melibatkan 24 negara itu.
“Ini merupakan Afcon paling berjaya dalam sejarah pertandingan ini – dengan mutu bola sepak bertaraf dunia,” kata presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe.
“Begitu juga mutu stadium dan prasarana,” tambahnya.
Namun mereka yang ragu-ragu, termasuk wartawan Ivory Coast, Mamadou Gaye, tidak pasti sama ada tiga negara Afrika Timur itu dapat menandingi penanda aras yang telah ditetapkan oleh Maghribi.
“Maghribi telah meletakkan piawaian sangat tinggi dari segi prasarana, stadium kelas atasan, lebuh raya bermutu tinggi yang membawa anda ke seluruh negara,” kata Gaye kepada media Kenya.
“Tiada lebuh raya yang menghubungkan Kenya, Tanzania dan Uganda. Mereka mesti membina prasarana seperti ini.
“Saya pernah ke Kenya, memandu ke seluruh negara itu. Saya telah melihat mutu jalan rayanya. Saya telah melihat kesesakan lalu lintas yang boleh menyebabkan anda terlepas sesuatu perlawanan,” tambahnya.
Tetapi Motsepe memberikan nada yakin tentang kesediaan tuan rumah bersama acara 2027 itu untuk menganjurkan Afcon.
“Saya mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan bola sepak di seluruh Afrika – saya tidak boleh mengadakan bola sepak hanya di negara-negara yang mempunyai prasarana terbaik,” kata ketua CAF itu.
“Saya yakin bahawa Afcon di Kenya, Tanzania dan Uganda boleh mencapai kejayaan yang besar. Kami tidak akan mengambil pertandingan itu daripada negara-negara ini,” jelasnya.
Ketua jurulatih Kenya yang dilahirkan di Afrika Selatan, Benni McCarthy, turut optimis, memberitahu pemberita bahawa, “Kenya sememangnya cantik dan mampu menganjurkan kejohanan utama”.
Maghribi kini menikmati tumpuan sejagat, selepas menjadi tuan rumah dua edisi terakhir Piala Negara-Negara Afrika Wanita (Wafcon) dan dijadualkan menganjurkannya sekali lagi pada Mac 2026. – AFP.

