MAGHRIBI: Tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025, Maghribi, memulakan langkah memburu kejuaraan benua kedua mereka dengan kemenangan tipis ke atas Comoros dalam perlawanan pembukaan kejohanan tersebut di Rabat yang dibasahi hujan, pada 21 Disember.
The Atlas Lions, gelaran bagi Maghribi, mensia-siakan peluang keemasan seawal minit ke-11 apabila sepakan penalti Soufiane Rahimi, yang berpunca daripada kekasaran Iyad Mohamed ke atas Brahim Diaz, berjaya ditepis penjaga gol Comoros, Yannick Pandor.
Pasukan kendalian Stefano Cusin itu bertahan dengan penuh disiplin, menangkis setiap asakan lawan sehingga 10 minit selepas separuh masa kedua bermula.
Akhirya, Diaz yang berdiri bebas dalam kotak penalti menyambut hantaran rendah Noussair Mazraoui untuk gol pembukaan.
Jaringan pemain sayap Real Madrid itu disambut sorakan gemuruh daripada 60,180 penyokong di Stadium Prince Moulay Abdellah.
Setelah gol tersebut, perlawanan menjadi lebih terbuka, dan penyerang Comoros, Rafiki Said, melihat percubaannya dinafikan oleh penjaga gawang Maghribi, Yassine Bounou.
Di pihak Maghribi, percubaan kemas Mazraoui turut ditepis keluar oleh penjaga gol, Pandor.
Pemain gantian Maghribi, Ayoub El Kaabi, memuktamadkan kemenangan pasukannya dengan rembatan hebat pada minit ke-74.
Jaringan itu memberikan kelegaan, membolehkan skuad Walid Regragui memenuhi jangkaan untuk meraih kemenangan.
Maghribi mencatat kemenangan itu tanpa kapten Achraf Hakimi, yang sekadar memanaskan bangku simpanan akibat kecederaan buku lali ketika beraksi untuk Paris St-Germain dalam Liga Juara-Juara pada 5 November.
Mereka juga kehilangan tonggak pertahanan tengah, Romain Saiss, yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada awal perlawanan.
Tiga mata itu membolehkan Maghribi melanjutkan rekod dunia mereka kepada 19 kemenangan berturut-turut, namun ujian getir menanti apabila berdepan Mali pada 26 Disember (27 Disember waktu Singapura).
Sementara itu, tiga lagi perlawanan berlangsung pada 22 Disember, menyaksikan Mali menentang Zambia dalam perlawanan kedua Kumpulan A, manakala Mesir dan Afrika Selatan memulakan kempen Kumpulan B masing-masing.
Beberapa minggu sebelum kejohanan, timbul pertikaian mengenai tarikh pelepasan pemain di tengah musim liga Eropah.
Kemudian, kejutan lain diumumkan – Afcon, yang biasanya dianjurkan setiap dua tahun, akan diadakan setiap empat tahun mulai 2028.
Maghribi merupakan pasukan Afrika dengan ranking tertinggi sejak Piala Dunia Fifa 2022, di mana mereka mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dari benua itu mara ke separuh akhir pertandingan tersebut.
Kejayaan mereka di padang seiring dengan pelaburan besar-besaran dalam stadium dan prasarana bola sepak, semuanya dengan sokongan padu Raja Mohammed VI.
Negara itu kini menikmati tumpuan global, selepas menjadi tuan rumah dua edisi terakhir Piala Negara-Negara Afrika Wanita dan dijadualkan menganjurkannya sekali lagi pada Mac 2026.
Maghribi juga bakal menjadi salah satu tuan rumah Piala Dunia 2030, namun buat masa ini, tekanan berat digalas Regragui untuk merebut kejuaraan Afcon pertama sejak 1976.
Jurulatih itu sendiri mengakui, “apa-apa selain kemenangan dianggap sebagai kegagalan”.
Dalam tempoh 49 tahun, Maghribi hanya sekali mara ke separuh akhir kejohanan, iaitu pada 2004, ketika Regragui menjadi sebahagian daripada skuad yang tewas kepada Tunisia dalam perlawanan akhir. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg