Cathay Financial Holding, firma kewangan terbesar Taiwan dari segi aset, sedang mengambil lebih ramai kakitangan di Singapura untuk mengikuti aliran wang serantau ketika pelanggannya mengembangkan kehadiran mereka di Asia Tenggara.
Bank Cathay United milik kumpulan itu akan meningkatkan jumlah pekerja di sini kepada sekitar 200 menjelang 2025, daripada 100 dua tahun lalu, kata Encik Winfield Wong, ketua pegawai eksekutif unit Singapura bank itu.
Penambahan terbaru termasuk pengurus perhubungan bagi pelanggan korporat yang berkembang di rantau ini, serta jurubank swasta, katanya.
Pelan pertumbuhan itu menekankan bagaimana Singapura dan negara jirannya mendapat manfaat apabila ketegangan Amerika Syarikat-China mendorong syarikat untuk mempelbagaikan pelaburan dan perkilangan di seluruh Asia Tenggara.
“Terdapat aliran pelaburan keluar yang besar hasil daripada kepelbagaian rantaian bekalan,” kata Encik Wong dalam satu temu bual.
Vanguard International Semiconductor Corp. dan NXP Semiconductor Corp Taiwan bekerjasama untuk membina kilang wafer cip AS$7.8 bilion ($10.5 bilion) di Singapura, kata syarikat itu. Foxconn Technology, pembekal utama kepada Apple, adalah antara firma yang menambah kilang di Vietnam.
Cathay Financial Holdings yang dikawal oleh keluarga bilionair Tsai ialah konglomerat kewangan yang pegangannya merangkumi insurans, pengurusan aset dan pembrokeran.
Encik Tsai Hong-Tu, yang nilai bersihnya berjumlah AS$5.3 bilion menurut Indeks Bilionair Bloomberg, ialah pengerusinya.
Pada 2024, bank Taiwan itu sedang berusaha untuk menambah lebih ramai kakitangan dalam teknologi maklumat, risiko, pengurusan transaksi dan penyelesaian modal, kata Encik Wong.
Bank Cathay United beroperasi di sembilan pasaran Asia Tenggara. Aset bank swasta pemberi pinjaman di bawah pengurusan di Singapura, telah meningkat dua kali ganda kepada beberapa ratus juta dolar sejak perniagaan bermula pada 2020, kata Encik Wong. Jumlah minimum untuk akaun ialah sekitar AS$2 juta.
Encik Wong sendiri antara pekerja baru yang diambil oleh bank tersebut. Warga Singapura itu menyertai Cathay pada Februari 2023, selepas lebih 12 tahun di HSBC Holdings yang menyaksikan beliau ditugaskan di sekitar Hong Kong, Vietnam dan Singapura. Beliau juga pernah bekerja di Citigroup dan ANZ Group Holdings.
China pernah menjadi destinasi utama pelabur Taiwan dan menyumbang 84 peratus daripada pelaburan langsung asing Taiwan pada kemuncaknya pada 2010.
Pelaburan itu merosot pada 2023 kepada 11 peratus dan ketinggalan di belakang negara seperti India, Australia dan Asia Tenggara untuk tahun kedua berturut-turut.
Jumlah pendedahan sektor perbankan Taiwan ke tanah besar China telah menguncup selama 12 suku berturut-turut dan mencapai paras terendah dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, menurut data daripada Suruhanjaya Penyeliaan Kewangan Taiwan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg