Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua pertahanan AS, China akan bertemu di S’pura susuli ketegangan Taiwan: Pentagon

May 25, 2024 | 12:33 PM
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, akan bertemu rakan sejawatannya dari China, Encik Dong Jun, umum Pentagon pada 24 Mei, selepas Beijing menjalankan latihan perang di sekeliling Taiwan sebagai tanda kepada pemimpin baru prodemokrasi Taiwan yang disokong Amerika Syarikat, Presiden  Lai Ching-te.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, akan bertemu rakan sejawatannya dari China, Encik Dong Jun, umum Pentagon pada 24 Mei, selepas Beijing menjalankan latihan perang di sekeliling Taiwan sebagai tanda kepada pemimpin baru prodemokrasi Taiwan yang disokong Amerika Syarikat, Presiden  Lai Ching-te. - Foto NYT

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, akan bertemu rakan sejawatannya dari China, umum Pentagon pada 24 Mei, selepas Beijing mengadakan latihan perang di sekeliling Taiwan sebagai tanda kepada pemimpin baru prodemokrasi yang disokong Amerika.

Pentagon berkata Encik Austin akan bertemu Menteri Pertahanan China, Encik Dong Jun, apabila mereka menghadiri ‘Dialog Shangri-La’ di Singapura dari 31 Mei hingga 2 Jun, iaitu sebuah perhimpunan tahunan pegawai pertahanan dari serata dunia.

China minggu ini mengepung Taiwan dengan kapal perang dan jet pejuang dalam satu latihan bagi menguji keupayaannya merampas pulau itu, yang didakwa Beijing sebagai miliknya.

Latihan itu menyusuli pelantikan Presiden Lai Ching-te, yang telah berikrar akan melindungi demokrasi Taiwan, yang berpemerintahan sendiri.

Pertemuan Encik Austin dengan Encik Dong dijangka secara meluas sejak Encik Austin bercakap bersama beliau melalui telefon pada April, dalam apa yang dianggap sebagai rundingan berasas pertama antara ketua pertahanan dua kuasa itu dalam hampir 18 bulan.

Pentadbiran Presiden Joe Biden dan China telah meningkatkan perhubungan untuk mengurangkan ketegangan, dengan Setiausaha Negara Antony Blinken melawat Beijing dan Shanghai pada April.

Tetapi rundingan pertahanan dikatakan ketinggalan hingga Presiden China, Encik Xi Jinping, bersetuju menyambung dialog tentera semasa satu persidangan bersama Encik Biden di California pada November.

Encik Austin juga akan ke Kemboja minggu depan untuk berbincang bersama menteri pertahanan Asean dan menamatkan perjalanannya di Perancis, apabila beliau menyertai Presiden Biden dalam memperingati ulang tahun ke-80 D-Day pada Jun 1944.

Lawatan itu diumumkan walaupun pada lewat 24 Mei, Encik Austin akan menyerahkan tugas kira-kira dua setengah jam kepada timbalannya, Cik Kathleen Hicks, atas sebab satu prosedur perubatan terbarunya.

Encik Austin, seorang tokoh penting dalam usaha Barat menyokong Ukraine menentang serangan Russia, “akan menjalani prosedur susulan bukan pembedahan yang berjadual, elektif serta invasif secara minimum berkaitan isu pundi kencingnya – seperti yang dilaporkan sebelum ini”, kata jurucakap Pentagon, Encik Pat Ryder.

Ketelusan itu timbul selepas desas-desus bahawa Encik Austin hilang daripada pandangan umum atas sebab rawatan barah pada Disember dan sekali lagi pada Januari apabila beliau mengalami komplikasi.

Tetapi pesaing Encik Biden daripada Republikan meneruskan serangan itu selepas didedahkan bahawa Encik Austin tidak memaklumkan mengenai rantaian perintah semasa ketiadaannya.

Encik Austin secara meluas memaklumkan kepada pemerintah dan orang ramai apabila beliau kembali ke hospital pada Februari untuk isu pundi kencing yang berkaitan dengan prosedur 24 Mei. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg