Bank digital GXS, yang disokong Grab Holdings dan syarikat telekomunikasi Singtel, sedang mengurangkan 82 pekerjaan secara keseluruhan, atau 10 peratus daripada tenaga kerjanya.
Ketua Eksekutif Kumpulan GXS, Cik Lai Pei-Si, dalam satu nota kepada pekerja pada 3 Disember, menjelaskan langkah ini diambil sebagai sebahagian usaha peralihan daripada tahap pertumbuhan awal membangun bank berkenaan kepada mengendalikan operasinya.
Pengurangan itu dibuat selepas satu semakan strategik dibuat dalam tiga pasaran, Malaysia, Singapura dan India.
GXS Bank bekerjasama rapat dengan GXBank, subsidiari bank digitalnya di Malaysia, di samping mempunyai pusat teknologi di India, lapor The Straits Times (ST).
Bank digital itu telah berjaya menyesuaikan saiz tenaga kerjanya secara organik di Malaysia, iaitu dengan tidak mengisi semula jawatan yang telah dikosongkan.
Namun, proses menyesuaikan saiz itu bergerak lebih perlahan daripada jangkaan di dua pasaran lain.
Cik Lai berkata bank digital itu telah berusaha menyusun semula institusi berkenaan secara organik sepanjang setahun setengah yang lalu.
“Sebagai contoh, kami hanya mengisi semula jawatan kosong yang kami percaya penting untuk kumpulan ini dalam tahun-tahun mendatang.
“Kami juga telah memusatkan keupayaan teras kami, seperti data, produk dan teknologi, untuk meningkatkan kerjasama dan memperluaskan inovasi produk merentasi pelbagai pasaran,” tambahnya.
Semakan tersebut mengenal pasti jawatan yang mustahak dan penting bagi pertumbuhan lanjut GXS.
Oleh itu, jawatan yang didapati tidak lagi diperlukan selepas semakan itu kini digugurkan, dan ia bukan disebabkan prestasi mana-mana individu, jelasnya.
Cik Lai turut menyatakan apabila GXS terus mengembangkan perniagaannya di rantau ini, bank itu sedang bergerak daripada fasa membina bank kepada fasa mengendalikannya.
“Apabila fokus berubah kepada pengurusan bank, jawatan yang kita perlukan mungkin berbeza berbanding dalam fasa pembinaan,” katanya.
GXS berkata pekerja yang terjejas akan diberikan sokongan kewangan, profesional dan perubatan yang diperlukan sepanjang tempoh peralihan, termasuk bayaran pampasan dan bayaran saguhati; perlindungan perubatan lanjutan selama tiga bulan; sokongan peralihan kerjaya dan perkhidmatan kaunseling; serta cuti bergaji supaya kakitangan yang terjejas mempunyai masa dan ruang untuk mencari pekerjaan baru.
Bank digital itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak AS$214.3 juta ($277.6 juta) dalam tahun kewangan terbarunya yang berakhir pada 31 Disember 2024, berbanding kerugian AS$208.2 juta pada tahun kewangan sebelumnya (2023).
Ia merupakan salah satu daripada tiga bank digital yang berkhidmat kepada pelanggan runcit di Singapura.
Dua lagi bank digital itu ialah MariBank, yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat permainan dalam talian dan e-dagang, Sea Group, dan Trust Bank, yang dimiliki 60 peratus oleh Standard Chartered Bank dan 40 peratus oleh cabang perniagaan NTUC.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg