Trust Bank akan melancarkan wadah yang membolehkan pelanggan mereka melakukan perdagangan saham Amerika Syarikat dan dana dagangan bursa (ETF), menjadikannya bank digital pertama di Singapura yang menawarkan perkhidmatan ini.
Wadah perdagangan ini, yang boleh didapati dalam tawaran TrustInvest, akan dibuka kepada mereka yang mempunyai akaun simpanan Trust.
Pelanggan boleh mendaftar mulai 15 Oktober dan akan dijemput untuk membuka akaun perdagangan dalam beberapa minggu akan datang, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Trust menyertai bank digital luar negara lain, seperti KakaoBank dari Korea Selatan dan Revolut dari Britain, yang turut menawarkan perkhidmatan perdagangan dalam aplikasi mereka.
Bank digital ini mempunyai lesen bank penuh dan kebenaran pengawalseliaan untuk terlibat dalam aktiviti broker.
Mereka sedang bekerjasama dengan broker pihak ketiga untuk mengakses pasaran Amerika, dan akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai rakan kongsi mereka dalam beberapa bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Trust Bank, Encik Dwaipayan Sadhu berkata wadah perdagangan ini membuka lebih banyak pilihan pelaburan untuk pelanggan, termasuk saham Amerika dan ETF.
ETF ini boleh mengikuti indeks saham asas atau sektor industri, atau aset digital, kata Trust dalam kenyataan mereka.
TrustInvest, huraian pelaburan mereka, sudah menawarkan lima dana yang dikendalikan Aberdeen Investments.
Dana-dana tersebut adalah dana pasaran wang yang melabur dalam sekuriti pemerintah Singapura, dana menyasarkan saham yang membayar dividen dan bon korporat, dan tiga dana lain yang membolehkan pelabur mengembangkan kekayaan mereka mengikut tahap risiko yang mereka pilih.
Sementara itu, GXS dan MariBank, belum menawarkan perdagangan saham atau ETF.
GXS Invest, wadah pelaburan digital milik GXS Bank, mempunyai dana pasaran wang yang dikendalikan oleh Fullerton Fund Management.
MariBank mempunyai dua tawaran pelaburan.
Mari Invest SavePlus adalah dana pasaran wang yang dikendalikan oleh Lion Global Investors, sementara Mari Invest Income adalah dana bon yang dikendalikan oleh Pimco.
Encik Sadhu berkata pelanggan Trust Bank akan dapat melabur dalam pecahan saham, bukannya membeli satu saham penuh.
Sebagai respon kepada pertanyaan ST, Trust berkata jumlah pelaburan minimum adalah AS$10 ($13).
Bank digital itu menegaskan bahawa pilihan perdagangan pecahan bermakna saham popular Amerika dan ETF yang berharga ratusan dolar untuk satu saham kini lebih mudah diakses oleh pelabur.
Mereka boleh mula dengan jumlah pelaburan yang kecil dan masih membina portfolio yang pelbagai.
Sebagai contoh, satu saham Netflix berharga AS$1,215.35 pada 14 Oktober.
Dengan perdagangan pecahan, seorang pelabur boleh melabur serendah AS$10 untuk memiliki sebahagian kecil saham Netflix, berbanding komitmen AS$1,215.35 untuk membeli satu saham penuh.
Transaksi diselesaikan dalam ekosistem perbankan Trust, jadi pelabur tidak perlu mengurus dan memindahkan wang merentas pelbagai wadah, kata Trust.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg