Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank digital S’pura penuhi pasaran khusus, perlu masa raih untung

Dec 18, 2024 | 3:15 PM
GXS Bank, MariBank dan Trust Bank mencatat jumlah pendapatan yang meningkat pada 2023, namun mengalami jumlah kerugian lebih besar.
GXS Bank, MariBank dan Trust Bank mencatat jumlah pendapatan yang meningkat pada 2023, namun mengalami jumlah kerugian lebih besar. - Foto ZAOBAO

Bank digital di Singapura telah beroperasi sekitar dua tahun, namun mendapati amat sukar dan mencabar untuk meraih keuntungan.

Tiga bank yang menyediakan khidmat kepada pelanggan runcit – GXS Bank, MariBank dan Trust Bank – mencatat jumlah pendapatan yang meningkat pada 2023, namun mengalami jumlah kerugian lebih besar.

Perangkaan 2023 itu adalah yang terkini kerana ketiga-tiga bank tersebut hanya melaporkan prestasi kewangan bagi keseluruhan tahun, lapor The Straits Times (ST).

“Ia adalah satu perjalanan. Bank digital masih pada peringkat awal ketika ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan GXS, Encik Muthukrishnan Ramaswami (Ramu).

GXS Bank, yang disokong oleh Grab Holdings dan syarikat telekomunikasi Singapura, Singtel, mencatat pendapatan yang meningkat tiga kali ganda kepada $14.3 juta pada 2023.

Bagaimanapun, perbelanjaan bank itu turut melonjak, menyebabkan firma itu terus mengalami kerugian sebanyak $152.1 juta.

Begitu juga di MariBank, milik penuh firma perjudian dan e-dagang Sea Group.

Pendapatan bank itu melonjak enam kali ganda kepada $10.1 juta pada 2023, namun kerugiannya mencapai $52.2 juta disebabkan kos perniagaan lebih tinggi.

Tidak seperti dua pesaing bank digitalnya, Trust Bank, yang 60 peratus dimiliki Standard Chartered Bank dan 40 peratus milik sebuah cabang syarikat NTUC, memiliki lesen bank penuh yang membolehkannya menawarkan pelbagai perkhidmatan serupa dengan perkhidmatan di bank DBS, OCBC dan UOB, termasuk menyediakan mesin tunai automatik (ATM).

Trust Bank terus menanggung kerugian $128.4 juta sepanjang 2023, walaupun pendapatannya melonjak 13 kali ganda kepada $39.1 juta.

Menurut pengarah kanan bagi bank Asia Pasifik di agensi penarafan kredit Fitch Ratings, Cik Tania Gold, bank digital di Singapura dijangka tidak akan menikmati keuntungan pada peringkat awal pertumbuhan ketika ini kerana ia sedang membina bahagian pasaran.

Ia perlu menanggung kos besar untuk memperoleh pelanggan, membangun teknologi selain mematuhi keperluan kawal selia, tambahnya.

Pada umumnya, bank digital di sini dijangka mengalami kerugian selama dua hingga tiga tahun, kata Encik Ramu dari Bank GXS, sambil menambah beliau tidak tergesa-gesa untuk mengembangkan perniagaan bank itu.

Bank tersebut dijangka balik modal menjelang akhir 2026, seperti yang dinyatakan dalam cadangannya kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Bank digital perlu menunjukkan hala tuju untuk meraih keuntungan dalam rancangan kewangan lima tahun masing-masing apabila ia memohon lesen pada 2019.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana ia boleh berkembang, kata ketua amalan digital di firma konsultasi pengurusan Oliver Wyman di Asia-Pasifik, Encik Dan Jones.

Encik Jones menarik perhatian bahawa bank digital mempunyai kelebihan berbanding bank tradisional kerana ia dapat beroperasi pada kos lebih rendah bagi setiap pelanggan.

Namun, ramai pelanggan membuka akaun perbankan digital sekadar memenuhi rasa ingin tahu mengenai perkhidmatannya, tetapi tidak menggunakan akaun atau perkhidmatan tersebut, kata rakan kongsi dan ketua amalan Elevate (Digital) di firma konsultasi strategi Simon-Kucher, Encik Alan Lim.

Bank digital perlu memikirkan pelbagai cara mendampingi dan menarik minat pelanggan ini dan meningkatkan aktiviti di wadah masing-masing, katanya.

Ini telah mendorong bank digital untuk memperluas tawaran masing-masing bagi memenuhi semua keperluan perbankan, daripada simpanan hingga ke pinjaman dan perbelanjaan.

Kini, bank digital juga mula menawarkan produk yang menghasilkan yuran seperti pelaburan dan insurans, tambah Encik Jones.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg