Menulis cek kini semakin jarang dilakukan kebanyakan orang di Singapura, sedang negara ini kian menggunakan kaedah pembayaran digital seperti PayNow dan dompet elektronik.
Bilangan cek dalam denominasi dolar Singapura menjunam sekitar 80 peratus, daripada 61 juta pada 2016 kepada kurang 14 juta pada 2023, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Disember.
Bilangan cek runcit, iaitu cek yang dikeluarkan oleh individu, juga berkurang, kata Persatuan Bank Singapura (ABS), tanpa menyebutkan angkanya.
Walaupun pemprosesan cek korporat akan dihentikan menjelang 2026, cek runcit akan terus disediakan.
Bagaimanapun, mungkin masih terlalu awal untuk menganggap cek sudah tidak relevan lagi, seperti yang dialami baru-baru ini oleh Encik Kenneth Lee dan Cik Belle Toh.
Cik Toh, berusia 50-an tahun, berkata pengurusan kondominiumnya meminta cek sebagai deposit keselamatan, atau jaminan sekiranya beliau menyebabkan kerosakan pada harta benda di kawasan yang dikongsi, semasa beliau berpindah keluar pada Disember.
Jika tiada kerosakan berlaku, cek tersebut akan dikembalikan kepada Cik Toh, yang biasanya menggunakan kaedah pembayaran digital.
“Ini lebih mudah kerana pembayaran balik melalui PayNow atau pindahan bank memerlukan masa pemprosesan,” jelas Cik Toh.
Pensyarah kewangan, hartanah dan ekonomi Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Sumit Agarwal, berkata menggunakan cek bermakna wang tidak dipindahkan serta-merta, yang memberi satu lapisan keselamatan.
“Apabila mereka berkata, ‘Beri saya cek apabila anda pindah keluar. Saya perlu pastikan semuanya dalam keadaan baik’, apa yang mereka maksudkan ialah, saya perlukan sesuatu yang melambatkan proses supaya anda tidak terus pergi begitu sahaja,” kata Profesor Agarwal.
Begitu juga, Encik Lee, 37 tahun, perlu memberikan satu cek kepada pejabat pengurusan kondominiumnya, semasa beliau berpindah ke unitnya.
Beliau tidak mempunyai buku cek, oleh itu beliau memohon bagi cek perintah juruwang (cashier’s order).
Tidak seperti cek biasa, bank memotong sejumlah wang daripada akaunnya serta-merta dan menyimpannya sehingga pesanan tersebut dipenuhi.
“Lebih selesa berikan cek daripada perintah juruwang kepada mereka, kerana baki wang dalam akaun bank anda tidak berkurangan, kecuali sesuatu yang tidak baik berlaku.
“Anda boleh sahaja mengambil balik dan membatalkan cek itu. Ia satu huraian yang lebih mudah,” kata Encik Lee, yang bekerja dalam operasi perkapalan.
Profesor madya kewangan di sekolah perniagaan antarabangsa, Insead, Profesor Ben Charoenwong, memberitahu The Straits Times (ST):
“Penggunaan cek bagi tujuan tertentu masih berterusan di Singapura, terutama untuk urus niaga bernilai tinggi seperti bayaran pendahuluan hartanah atau kereta, serta bayaran insurans.”
Menurut ABS, sebilangan kecil orang, termasuk warga emas, masih bergantung pada cek.
“Generasi lebih tua sudah terbiasa menulis cek, mereka selesa dengannya.” kata Profesor Agarwal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg