Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank Dunia: Aliran pelaburan ke negara membangun paling rendah sejak 2005

Jun 17, 2025 | 3:57 PM
bank, ekonomi, negara membangun
Bank Dunia mengeluarkan laporan seminggu selepas menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi sejagat bagi 2025. - Foto AFP

WASHINGTON: Aliran pelaburan asing secara langsung (FDI) ke ekonomi membangun merosot kepada AS$435 bilion ($555 bilion) pada 2023.

Ia merupakan kadar terendah sejak 2005 – dengan hanya AS$336 bilion mengalir ke dalam ekonomi maju, iaitu jumlah terendah sejak 1996.

Demikian menurut laporan Bank Dunia pada 16 Jun.

Laporan itu menyatakan peningkatan pada halangan pelaburan dan perdagangan, pemecahan pasaran serta risiko makroekonomi dan geopolitik, menjejas masa depan aliran FDI ke negara membangun, sekali gus mengancam usaha pembangunan.

“Penurunan mendadak FDI ke ekonomi membangun seharusnya menjadi tanda amaran,” kata Timbalan Ketua Pakar Ekonomi, Bank Dunia, Dr Ayhan Kose, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan seiring laporan tersebut.

“Mengembalikan kelembapan ekonomi (kini) pada keadaan asal bukan sekadar keperluan ekonomi – malah ia penting dalam mewujudkan pekerjaan, mengekalkan pertumbuhan dan mencapai matlamat pembangunan yang lebih menyeluruh.”

Laporan tersebut menyatakan bahawa kemelesetan nasional dan sejagat dikaitkan dengan kemerosotan ketara dalam FDI, apabila FDI mula lemah sebelum kemelesetan berlaku.

Ia menyatakan bahawa kemerosotan pelaburan asing telah menyebabkan “luasnya jurang prasarana yang tidak dipenuhi” di negara-negara membangun.

Di samping itu, ia turut menjejas usaha menamatkan kemiskinan sejagat selain menangani keperluan mendesak berkaitan perubahan iklim.

Dr Kose menambah bahawa pembaharuan berani dalam negara perlu bagi menambah baik iklim perniagaan dan memperluas kerjasama sejagat, yang boleh merangsang peningkatan kadar pelaburan rentas sempadan.

Laporan yang berdasarkan data dari 2023 – iaitu yang terkini – menyatakan bahawa ekonomi membangun perlu melonggarkan sekatan yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menggalakkan penyepaduan perdagangan dan lebih ramai orang menyertai ekonomi formal.

Ia menggesa negara-negara agar bekerjasama bagi memastikan aliran FDI disalur ke ekonomi membangun yang mempunyai keperluan pelaburan paling besar.

Bank Dunia mengeluarkan laporan itu seminggu selepas menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi sejagat bagi 2025 sebanyak 4 per 10 peratus kepada 2.3 peratus, sambil memberi amaran bahawa tarif lebih tinggi dan ketidaktentuan meningkat merupakan “halangan besar” bagi hampir semua ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia, Encik Indermit Gill, dalam kenyataan tersebut berkata bahawa kemerosotan FDI, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi, adalah akibat langsung daripada dasar awam yang menyaksikan meningkatnya sekatan perdagangan dan pelaburan.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemerintah sibuk membentuk halangan kepada pelaburan dan perdagangan sedangkan mereka sepatutnya memansuhkannya. Mereka perlu menghentikan tabiat buruk itu,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg