Persahabatan yang jujur, berteraskan persefahaman dan kepercayaan adalah aset geopolitik paling berharga pada masa ini, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Menurutnya, Singapura berbesar hati mempunyai Indonesia sebagai seorang sahabat.
“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura dan Indonesia telah membuka era baru dalam hubungan dua hala.
“Dalam menangani isu-isu dua hala yang telah lama wujud, kami telah saling mendengar dengan teliti dan menemui jalan untuk maju ke hadapan secara membina demi manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menganjurkan majlis jamuan bagi rakan sejawatnya dari Indonesia, Encik Prabowo Subianto, pada 16 Jun.
Tuan Presiden menambah, dengan bekerjasama, Singapura dan Indonesia – dua pengasas Asean – boleh melakar laluan ke hadapan untuk seluruh rantau itu.
Lawatan Encik Prabowo ke Singapura bersempena dengan Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia.
Beliau tiba di sini pada malam 15 Jun dan telah menyertai sidang media bersama dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Parlimen pada 16 Jun.
Ia merupakan rahat pertama bagi kedua-dua pemimpin dalam jawatan terbaru mereka, serta merupakan lawatan negara pertama Encik Prabowo ke Singapura sejak menjadi Presiden pada Oktober 2024.
Tuan Presiden juga berkata kedua-dua negara kini sedang mengambil langkah berani untuk meneroka sempadan baru dalam kerjasama.
Ini termasuk dalam bidang ekonomi hijau, pembuatan, pendigitalan dan pendidikan.
Selain itu, Tuan Presiden juga menambah perjanjian rangka kerja yang diperluas antara kedua-dua negara, yang mula berkuat kuasa pada 2024, merupakan satu pencapaian bersejarah.
Ini kerana ia menangani isu-isu dua hala yang telah berlarutan selama beberapa dekad tanpa penyelesaian.
Perjanjian itu merangkumi kerjasama pertahanan, pengurusan ruang udara dan ekstradisi, katanya.
Tuan Presiden menambah Encik Prabowo, yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan, memainkan peranan penting dalam proses ini.
“Anda telah banyak menyumbang kepada hubungan pertahanan yang kukuh antara negara kami, dan atas sumbangan itu, ia adalah satu penghormatan bagi saya untuk menganugerahkan kepada anda penghormatan ketenteraan tertinggi Singapura, iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera), pada 2023,” katanya.
Ketika lawatan Encik Prabowo ke Singapura, beliau menerima bunga orkid hibrid terbaru yang dicipta daripada orkid Vanda Miss Joaquim dari Singapura dan spesies Indonesia yang jarang ditemui dari Kalimantan.
Beliau meminta bunga itu dinamakan sempena ibunya, Cik Dora Sigar Soemitro.
“Dalam suasana penuh kemesraan, saya juga menerima lencana mata berbentuk pokok orkid yang dinamakan ‘Dora Sigar Soemitro’, sebagai simbol persahabatan yang sangat saya hargai,” tulis Encik Prabowo di Facebooknya pada 16 Jun.
Sementara itu, Tuan Presiden berkata beliau mengalu-alukan kerjasama dengan Encik Prabowo dan Encik Wong bagi mendekatkan generasi baru rakyat Singapura dan Indonesia dalam semangat persahabatan, serta mencapai kepentingan bersama.
“Pak Presiden, anda telah menjadi sahabat Singapura selama bertahun-tahun.
“Anda telah menyaksikan kami berkembang sebagai sebuah negara, melalui pelbagai liku dan cabaran, serta memberikan sumbangan yang menentukan dalam hubungan dua hala kita sepanjang perjalanan itu,” ujarnya.
Selain itu, Tuan Presiden turut berkongsi misi luar negara pertama Singapura selepas mencapai pemerintahan sendiri ialah pejabat perdagangan dan budayanya di Jakarta.
Pejabat itu dibuka pada 1961, sebelum Singapura mencapai kemerdekaan sepenuhnya pada 1965.
Menteri pertama yang mengetuai pejabat tersebut ialah Encik S. Rajaratnam, yang ketika itu merupakan Menteri Kebudayaan sebelum menjadi Menteri Ehwal Luar pertama Singapura pada 1965.
“Encik Rajaratnam merupakan seorang sahabat kepada Indonesia dan seorang pemerhati rapat terhadap perjuangan kemerdekaannya.
“Apabila beliau merangka ikrar kebangsaan Singapura pada 1966, beliau mendapat ilham daripada kekayaan pengalaman Indonesia,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg