Beberapa bank termasuk Citigroup dan DBS Group Holdings, yang terbabit dalam skandal pengubahan wang haram terbesar Singapura, kini meningkatkan pemeriksaan terhadap semua pelanggan kaya dan bakal pelanggan kaya masing-masing, untuk mengelakkan daripada terlibat dalam aliran wang haram.
Beberapa sumber yang mengetahui perkara tersebut berkata pegawai bank di beberapa institusi kini turut menjalani latihan tambahan untuk membantu mereka mengesan helah penjenayah yang cuba menyembunyikan latar belakang dan sumber dana mereka.
Sumber tersebut, yang tidak mahu dinamakan, menambah bahawa langkah bank itu yang dibuat secara sukarela, menunjukkan bagaimana bank pemberi pinjaman di sini cuba mengatasi kelemahan yang membolehkan sekumpulan penjenayah dari China mengubah wang haram bernilai lebih $3 bilion hasil kegiatan judi dalam talian, melalui sekitar 16 institusi kewangan di Singapura.
Skandal tersebut telah mencemarkan imej Singapura dan mendedahkan kelemahan dalam cara bank dan firma pembrokeran tempatan dan asing menyaring pelanggan mereka.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) baru-baru ini selesai menjalankan pemeriksaan di beberapa bank yang terlibat dalam kes itu.
Bank yang paling banyak berurusan dengan penjenayah – melalui akaun deposit, pinjaman dan khidmat kewangan lain, dijangka dikenakan denda dan beberapa langkah hukuman lain daripada pengawal selia kewangan itu, selepas pemeriksaan tersebut selesai, kata sumber tersebut.
MAS akan menilai sama ada institusi kewangan berkenaan telah melaksanakan beberapa langkah kawalan yang mencukupi dan sesuai terhadap pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, dan akan mengambil tindakan jika institusi tersebut gagal memenuhi keperluan itu, seperti yang dilakukan dalam kes sebelum ini, kata jurucakap MAS.
Interaksi kawal selia tersebut masih dijalankan, menurut The Straits Times (ST), yang memetik satu laporan agensi berita.
Selepas kes pengubahan wang haram itu diumumkan pada Ogos 2023, pemerintah Singapura menubuhkan sebuah jawatankuasa silang kementerian untuk mengkaji semula sistem antipengubahan wang haram dan memperkukuh pertahanan dalam sektor seperti institusi kewangan, selain kegiatan melibatkan ejen hartanah dan peniaga logam berharga.
Aset yang dirampas pihak berkuasa termasuk wang tunai, jongkong emas, barang kemas, kereta, serta hartanah kediaman dan komersial.
Kesemua 10 tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dari 13 hingga 17 bulan.
Seramai 17 orang lagi yang kini dalam siasatan tidak dapat dikesan setakat ini.
MAS memeriksa beberapa bank di premis dan menemu bual kakitangan untuk mengenal pasti kelemahan yang mungkin wujud dalam cara bank menjalankan pemeriksaan pematuhan.
Bank yang dikaitkan dengan skandal tersebut bukan sekadar mengambil deposit.
Malah, beberapa bank turut memberi pinjaman wang kepada perniagaan penjenayah tersebut di sini, mengatur gadai janji, atau membantu mereka dalam urusan pelaburan, menurut dokumen mahkamah.
Antara tanda amaran yang dipelajari peserta dalam latihan oleh Citibank termasuk pelanggan atau prospek dari wilayah Fujian dan Guangdong di China yang tidak tahu bertutur Inggeris, namun membawa “pasport emas” dari negara seperti Turkey, Saint Kitts dan Nevis, atau Vanuatu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg