Apa yang bermula sebagai kedai dalam talian yang menjual dadu dan aksesori permainan meja secara sambilan pada 2017 kini telah berkembang menjadi sebuah studio lengkap dengan pemudah cara berkemahiran tinggi dan pelanggan tetap yang setia.
Dikenali sebagai TableMinis, studio itu dibangunkan khusus bagi menganjurkan sesi permainan meja aksi fantasi, Dungeons & Dragons (D&D), yang memerlukan pemain membawa peranan sebagai wira atau pejuang.
Ia disifatkan sebagai ‘role-playing game’ (RPG) berasaskan lakonan serta penceritaan yang terkenal di serata dunia.
Permainan D&D, yang diperkenalkan pada 1970-an itu, lazimnya melibatkan sekumpulan pemain yang bekerjasama untuk menyelesaikan misi, meneroka dunia fantasi, dan mengembangkan watak masing-masing.
TableMinis ditubuhkan pada April 2021 oleh tiga rakan akrab, iaitu Encik Farez Najid, Encik Dennet Krishnan dan Cik Jodie Yeo, setelah mereka menyedari terdapat jurang dalam pasaran D&D.
Encik Farez, 37 tahun, menjelaskan bahawa permainan D&D memerlukan seorang pemudah cara yang digelar ‘Dungeon Master’ (DM) dan peranannya ibarat pencerita dan pengarah permainan.
“Berdasarkan pengamatan kami, ada individu yang jadi DM dan kendali permainan untuk rakan mereka atau pemain lain secara percuma atau sambilan di rumah masing-masing.
“Namun, kami sedar bahawa peranan seorang DM dalam permainan D&D memerlukan banyak kemahiran dan usaha. Oleh itu, kami rasa adalah wajar mereka dibayar untuk mengendalikan permainan.
“Dengan pembukaan TableMinis, kami ingin jadikan DM sebagai satu kerjaya yang sah dan lengkap dengan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF),” jelasnya.
Selepas empat tahun beroperasi, TableMinis kini mempunyai 53 kakitangan yang memainkan peranan sebagai DM.
Ketika ia ditubuhkan, mereka hanya bermula dengan tiga orang DM sahaja.
Malah, Encik Farez berkata TableMinis kini dalam proses mengambil lebih ramai DM untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap permainan D&D.
“Mereka yang berminat perlu melalui program kami terlebih dahulu, yang membekalkan kemahiran asas untuk menjadi seorang DM. Setiap suku tahun, kami mengambil antara 15 dengan 20 DM baru,” ujarnya.
Pada mulanya, TableMinis terletak di bangunan Windtech Centre di Ubi Road, tetapi berpindah ke ruang lebih besar di LTC Building A di Arumugam Road pada April 2023 untuk menampung jumlah pelanggan yang bertambah di samping permintaan terhadap sesi permainan.
TableMinis kini mempunyai dua lagi studio – satu di pusat beli-belah People’s Park Complex di Chinatown, dan satu lagi di rumah salah seorang daripada DM-nya di Bukit Batok.
Kini, TableMinis turut menjual pelbagai barangan seperti buku panduan D&D, miniatur watak yang dicetak dengan pencetak 3D, serta set dadu khas.
Ia juga menawarkan latihan dan bimbingan kepada individu yang ingin menjadi DM profesional.
Selain itu, TableMinis sering dijemput untuk menjalankan bengkel korporat bagi syarikat yang ingin memupuk kerja berpasukan melalui permainan meja.
“Di semua studio TableMinis, kami mengendalikan sekitar 240 sesi permainan setiap bulan.
“Model perniagaan kami adalah menjual tempat duduk untuk setiap permainan. Satu sesi melibatkan lima pemain, dan kami jual tempat duduk secara individu.
“Bagi memastikan kewangan kami kekal stabil, kami sasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 90 peratus daripada 240 sesi.
“Jualan tempat duduk merupakan sumber pendapatan utama kami,” kata Encik Farez.
Encik Farez enggan mendedahkan jumlah modal permulaan untuk memulakan TableMinis, tetapi beliau berkongsi bahawa jumlah sewa bulanan bagi ketiga-tiga ruang studio mencecah sekitar $10,000, tidak termasuk bil api air.
Walaupun TableMinis dimulakan di pertengahan sekatan sosial akibat pandemik Covid-19, Encik Farez berkata perniagaan tidak terjejas, malah ia berkembang dengan pesat.
“Secara mengejutkan, perniagaan kami berjalan dengan baik semasa pandemik. Disebabkan Covid-19, D&D menjadi semakin popular kerana ramai orang mahu wadah untuk bergaul dan lakukan sesuatu bersama.
“Mereka tidak lagi boleh ke pusat beli-belah secara beramai, jadi D&D menawarkan mereka peluang untuk bersosial sambil membayangkan diri mereka sebagai seorang pengembara.
“Setiap suku tahun semasa pandemik, bilangan pelanggan kami meningkat dua kali ganda. Ia benar-benar mengejutkan kami kerana pada mulanya kami takut tiada siapa yang akan datang bermain,” jelasnya.
Covid-19 juga merupakan pemangkin untuk Encik Farez memutuskan menubuhkan studio TableMinis setelah pandemik itu menjejas pekerjaannya sebelum ini sebagai pelakon teater di Teater Ekamatra.
Latar belakang beliau dalam seni persembahan banyak mempengaruhi pendekatannya dalam membawa unsur penceritaan yang menarik dan mendalam ke dalam permainan D&D.
“Sebagai penggiat teater, disiplin amat penting. Anda perlu jaga kesihatan, jaga suara, dan betul-betul faham kemahiran dan alat kerja anda. Kemahiran itu sesuatu yang perlu dilatih setiap hari, walaupun anda tidak buat persembahan.
“Sebagai seorang DM, anda berinteraksi dengan lima pemain. Tapi sebagai pelakon teater, anda buat persembahan di hadapan 500 atau 1,000 orang penonton.
“Perbezaan utamanya adalah – di atas pentas, anda buat persembahan untuk penonton, tetapi sebagai DM, anda buat persembahan bersama pemain,” kongsi Encik Farez.
Melihat ke hadapan, Encik Farez berharap TableMinis dapat menjadi pusat masyarakat permainan meja yang terangkum, di mana sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang, boleh datang danrasai keajaiban dunia fantasi D&D.
Beliau menambah bahawa TableMinis sedang mempertimbangkan bagaimana DM mereka boleh dilatih untuk mengendalikan sesi D&D secara terangkum dan melibatkan pemain daripada golongan autistik dan pendidikan khas.
Encik Farez berpendapat bahawa minat terhadap D&D semakin meningkat disebabkan terbitnya media popular seperti filem yang dikeluarkan pada 2023, Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves, serta permainan video, Baldur’s Gate 3, yang meraih Anugerah Permainan Terbaik 2023.
Siri YouTube seperti Critical Role dan Dimension 20, serta rancangan televisyen seperti, Stranger Things dan The Big Bang Theory turut membantu memperkenalkan D&D kepada khalayak lebih luas.
“Pelanggan kami sangat pelbagai, ada dari sekolah menengah, politeknik dan universiti, serta individu berusia 50-an tahun yang pernah bermain D&D semasa remaja pada 1980-an dan 1990-an.
“Di antara mereka pula, terdapat golongan karyawan seperti peguam dan doktor yang turut bermain. Kami juga ada suri rumah yang datang bermain bersama suami mereka setiap minggu.
“Pemain kami juga terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Filipina, Korea, dan kami mengalu-alukan semua orang untuk rasakan keseronokan D&D,” ujar Encik Farez.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg