Lebih sedekad lalu, Encik Mohammad Shahrul Nizam Shahrudin, hanyalah remaja dari sekolah kejiranan di Woodlands yang gemar bermain permainan komputer strategi dan yang memerlukannya menggalas peranan sebagai wira dalam dunia raksasa dan naga, Dungeons & Dragons.
Namun, pengalaman dan ilmu yang diraih daripada kursus Diploma Reka Bentuk Permainan di Politeknik Republic (RP), mampu dijadikan sandaran apabila beliau kini bertugas sebagai pelukis antara muka pengguna, atau user interface artist, di studio Lucasfilm, ILM Immersive, yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat.
Lebih membanggakan, Encik Mohammad Shahrul, 31 tahun, juga berupaya menjulang piala Anugerah Emmy Seni Kreatif 2024 pada 16 September, apabila projek Marvel Studios yang diusahakan secara berkumpulan bagi permainan video realiti campuran animasi, What If...? - An Immersive Story, meraih pengiktirafan dalam kategori ‘Inovasi Cemerlang dalam Media Baru’.
Permainan interaktif dengan penceritaan penuh tentang pertarungan pelbagai adiwira itu digerakkan dengan alat kamera tiga dimensi (3D), Apple Vision Pro, yang memanfaatkan teknologi pengkomputeran ruang.
Lantas, pengguna boleh memanfaatkan mana-mana ruang, baik di rumah atau pejabat, sebagai gelanggang interaksi dengan watak dalam permainan itu.
Antara sumbangan Encik Mohammad Shahrul sepanjang lebih setahun dalam projek What If...? - An Immersive Story ialah mencipta dan melaksanakan antara muka pengguna (UI) untuk projek yang menggabungkan kecanggihan teknologi dengan penceritaan naratif yang nampak nyata dan berkesan.
Beliau juga mereka bentuk menu, ketetapan dan sistem pilihan bab (dalam permainan) di samping memperhalusi pengalaman menyeluruh pengguna, misalnya, dalam membolehkan sistem operasi VisionOS dan jentera Unreal dalam Apple Vision Pro mengenal pasti gerakan tubuh pengguna.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 13 Oktober, Encik Mohammad Shahrul, yang juga memiliki ijazah Sarjana Muda Seni dalam Reka Bentuk Permainan dari Institut Teknologi DigiPen di Singapura, berkata:
“Saya terasa sangat gembira dapat menggenggam trofi Anugerah Emmy. Bagaikan mimpi tetapi pastinya bersyukur sebab kerja keras kami sepasukan diiktiraf dan dihargai.
“Projek ini memberikan pengalaman bermakna buat pasukan saya yang terdiri daripada karyawan kreatif antarabangsa yang memiliki nyala rasa dan sanggup melaburkan masa dan tenaga untuk membangun kerjaya kami dalam industri kreatif.
“Ia lebih bererti apabila saya merupakan sebahagian daripada studio yang mempelopori projek realiti campuran dengan bermacam kemungkinan mendatang. Saya juga mampu menyelami pelbagai pengalaman mengasyikkan dalam dunia hiburan.”
Menurut Encik Mohammad Shahrul yang merupakan anak tunggal dalam keluarga, cabaran yang dihadapi dalam mengusahakan What If...? - An Immersive Story ialah mengendalikan platform teknologi realiti campuran yang agak baru tetapi sudah berkembang pesat dari segi interaksi pengguna dan unsur visual yang menggunakan pengesanan gerak tangan dan mata.
“Sebab segala huraian bagi menggerakkan platform baru ini kurang dicuba dan diuji, kami banyak menjalankan eksperimen dan mengatasi bermacam cabaran hinggalah menemui jalan penyelesaian,” kongsinya.
Encik Mohammad Shahrul memulakan kerjayanya di studio Industrial Light & Magic (ILMxLab) di Singapura hampir setahun.
Namun, studio kesan visual dan animasi Lucasfilm di bangunan Sandcrawler, Fusionopolis itu, ditutup pada lewat 2023 selepas 20 tahun beroperasi di Singapura, kerana faktor ekonomi.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Woodlands itu menjelaskan beliau antara segelintir kakitangan studio yang ditawarkan berpindah ke ibu pejabat di San Francisco pada April 2024.
“Sewaktu saya mula-mula bekerja di pejabat di Singapura, saya benar-benar teruja kerana merupakan peminat tegar francais Star Wars, antara projek yang dikendalikan studio berkenaan.
“Saya memang ‘hantu’ game dan ingin tahu bagaimana permainan dihasilkan. Saya juga gemar membayangkan diri saya mengalami sendiri kisah yang terbentang dalam sesebuah permainan mahupun dalam buku yang saya baca, cerita yang saya dengar atau filem yang saya tonton.
“Apa jua bentuk permainan ‘role-playing’ (membawakan sesuatu peranan) lebih membuat saya teruja sebab anda bergerak dengan jalan cerita permainan itu serta berupaya membuat keputusan apakah langkah selanjutnya.
“Saya juga berminat menghasilkan permainan yang hebat dan membangun jalan ceritanya agar sesiapa yang mencuba permainan itu dapat rasakan pengalaman yang benar-benar menyeronokkan.
“Ditambah minat saya pada teknologi, saya memilih Diploma Reka Bentuk Permainan di RP untuk capai segala rasa ingin tahu saya tentang dunia permainan dalam talian,” jelasnya.
Di RP, Encik Mohammad Shahrul juga mengasah kemahiran kepimpinan dengan menganggotai Majlis Pelajar dan juga menjadi Duta RP yang akan ditugaskan mempromosikan politeknik itu dengan sesi perkongsian kursus dan institusi di sekolah menengah.
Ditanya pesanannya kepada belia yang ingin menceburi bidang reka bentuk permainan, beliau berkata:
“Pesanan ini juga buat diri saya sendiri. Dalam dunia permainan, anda harus mempunyai minat dan nyala rasa mendalam. Cari apa yang menyeronokkan dan teruslah bertanya, ‘Apakah permainan ini menyeronokkan?’
“Kalau anda mempunyai impian mencetus rasa teruja dan seronok bagi pengguna lain mencuba sesuatu permainan, inilah bidang tepat untuk anda. Anda harus menikmati proses menghasilkan sesebuah permainan dan bersedia serta berani meneroka teknologi baru.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg