Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Bermula sebagai ‘office boy’, kini penganalisis di DBS

Jul 24, 2023 | 10:51 AM



Beliau bermula sebagai budak pejabat penghantar surat atau office boy di DBS pada umur 19 tahun dengan hanya pendidikan institut vokasional.


Kini, pada umur 62 tahun dan setelah berkhidmat selama 44 tahun, beliau dinaikkan pangkat sebagai analyst atau penganalisis di bank tersebut pada tahun ini.


Encik Abdul Wahib Kassim yang datang daripada keluarga yang besar, tidak pernah mendapat pendidikan yang tinggi dalam seumur hidupnya. Namun, menerusi kursus peningkatan diri di dalam dan luar pekerjaannya, beliau meraih kemahiran yang setimpal dengan tanggungjawab yang diberi oleh majikannya.

“Saya dibesarkan dalam keluarga seramai 14 orang dan saya tidak begitu cemerlang dalam akademik. Selepas belajar di institut vokasional, saya bekerja di sebuah syarikat import eksport di Shenton Way untuk menghantar surat sebelum memohon kerja di DBS sebagai penghantar surat atau office boy.


“Pada hari pertama sebagai penghantar surat, saya dilatih untuk mengumpul dan menyusun dokumen, dan membantu menguruskan pergerakan dokumen secara dalaman dan luaran. Tugasan itu mudah difahami. Saya menghantar dokumen ke setiap stesen kerja, dan menyusunnya ke dalam rak yang tertentu,” kata Encik Abdul Wahib.

Titik perubahan dalam kehidupannya datang pada umur 28 tahun apabila penyelianya pada ketika itu, Encik Nawaz Vilcassim, menasihatinya untuk meningkatkan diri untuk meraih lebih banyak peluang di bank tersebut.

“Awak perlu melakukan sesuatu untuk diri sendiri. Jangan kekal sebagai penghantar surat. Tingkatkan ilmu, hadiri kursus,” kata Encik Abdul Wahib bagi mengenang kembali kata-kata bekas penyelia itu kepadanya.

Ternyata, kata-kata perangsang oleh bekas penyelianya merupakan pembakar semangat yang dicari-carinya. Dengan penuh tekun, beliau menjalani kursus dalaman untuk mempelajari sistem bank tersebut, sambil mengasah kemahirannya dalam sofwe seperti Microsoft Word dan Microsoft Excel.

Setelah menjalani kursus peningkatan diri, Encik Abdul Wahib, yang mempunyai dua orang anak, dinaikkan pangkat secara bertahap – sebagai pegawai dan kemudian sebagai pegawai kanan sebelum menjadi penganalisis.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabatnya di Toh Guan Road, Encik Abdul Wahib berkata beliau bersyukur di atas kepercayaan yang diberi oleh majikannya untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar.


“Sebagai penganalisis, saya masuk kerja pada 7.30 pagi, satu jam sebelum waktu kerja rasmi, supaya saya boleh menjana dan mengesahkan laporan yang diperlukan oleh seluruh pasukan untuk hari dagangan akan datang.


“Saya akan bekerjasama dengan seluruh jabatan untuk menyediakan data tambahan yang mungkin mereka perlukan pada siang hari. Pada penghujung setiap hari, saya akan menyemak nombor dalam semua laporan untuk memastikan tiada percanggahan,” kata Encik Wahib.


Meskipun beliau sudah berusia, beliau tetap masih ingin bekerja dan tidak berasa tertekan dengan rakan sekerja yang lebih muda. Malah, beliau digelar ‘pakcik’ di pejabat dan tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya bersama pekerja-pekerja muda.

“Wahib ialah seorang pekerja yang sangat bersemangat tentang pembelajaran berterusan dan peningkatan diri. Beliau kerap memanfaatkan kursus dalam talian yang disediakan oleh Akademi DBS untuk mengambil pengetahuan baru,” kata Cik Marianne Teo, Naib Presiden, Kumpulan Perbankan Institusi, DBS yang telah menjadi penyelia Encik Abdul Wahib selama hampir sedekad.

“Usahanya untuk memperbaiki diri telah membawanya kepada kerjaya yang panjang dan memuaskan di DBS, menjangkau lebih daripada empat dekad!” tambah Cik Teo.

Menurut Encik Abdul Wahib, DBS mempunyai pelbagai program untuk menggalak para pekerja untuk meningkatkan diri. Ini termasuk usaha tahunan bank tersebut seperti DBS FutureForward Week yang bertujuan untuk membina daya tahan dan memperkasakan pekerja untuk membina kerjaya jangka panjang dan yang memuaskan melalui transformasi pekerjaan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Menurut DBS, lebih daripada 30 pekerja telah ditempatkan luar Singapura untuk mengambil peranan baru pada 2022 dan lebih daripada 2,500 pekerja dalaman telah mendapat peranan baru di dalam DBS pada 2022, dengan sekitar 40 peratus jawatan kosong baru diisi oleh kakitangan DBS.


DBS juga mempunyai aplikasi platform iGrow, sebuah platform pembangunan kerjaya dipacu kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang menyediakan perkhidmatan nasihat kerjaya yang khusus buat pekerja.


Dalam kerjaya Encik Abdul Wahib yang menjangkau lebih empat dekad, beliau tidak pernah menyangka suatu hari nanti anak perempuannya akan bekerja dengannya.

Tiga tahun lalu, anaknya yang sedang belajar jurusan ekonomi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menerima e-mel yang mengesahkan latihan amalinya atau internship di DBS untuk bekerja di bangunan dan jabatan yang sama selama enam bulan.


“Seperti mana ibu bapa saya berasa bangga dengan saya semasa saya mula-mula menyertai DBS pada masa itu, kini saya sangat bangga melihat anak perempuan saya belajar dan bekerja di DBS bersama saya,” tambahnya.

Mengimbas kembali perjalanannya, beliau berkata amat penting untuk pekerja-pekerja mempunyai kepercayaan dalam diri sendiri dan saling hormat-menghormati di tempat kerja jika ingin dihormati juga.


Ditanya apakah nasihat yang boleh dikongsi kepada anak-anak muda yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, atau ibu bapa yang ingin meningkatkan diri, beliau berkata:


“Jangan putus asa. Terus lakukan apa yang boleh, pelajari apa yang diingini untuk mencapai kejayaan seterusnya,” nasihatnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >