Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan wanita dalam lembaga syarikat capai paras tertinggi

Jun 3, 2024 | 5:25 PM
Penyertaan karyawan wanita dalam lembaga pengarah meningkat tiga kali ganda kepada 23.7 peratus pada akhir 2023 di 100 syarikat terbesar yang tersenarai di SGX berdasarkan permodalan pasaran syarikat.
Penyertaan karyawan wanita dalam lembaga pengarah meningkat tiga kali ganda kepada 23.7 peratus pada akhir 2023 di 100 syarikat terbesar yang tersenarai di SGX berdasarkan permodalan pasaran syarikat. - Foto ZAOBAO

Bilangan karyawan wanita yang memegang jawatan pengarah dalam syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX), lembaga berkanun dan badan amal, mencapai tahap tertinggi pada 2023, menurut satu kajian.

Lebih separuh daripada lebih 1,000 pertubuhan dan syarikat yang ditinjau melebihi sasaran sukarela kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah.

Bilangan lembaga pengarah yang kesemua anggotanya adalah lelaki juga berkurangan, lapor The Straits Times (ST).

Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah meningkat tiga kali ganda kepada 23.7 peratus pada akhir 2023 di 100 syarikat terbesar yang tersenarai di SGX berdasarkan permodalan pasaran syarikat, berbanding 7.5 peratus pada 2013.

Wanita yang menjadi anggota lembaga pengarah dalam lembaga berkanun naik hampir 10 mata peratusan daripada 2018 kepada 32.7 peratus pada 2023.

Bagi 100 Institusi Bertaraf Awam (IPC) terbesar berdasarkan resit derma pada akhir Disember 2023, bilangan wanita dalam lembaga pengarah mencapai 31 peratus pada 2023, pertumbuhan tahunan tertingginya, berbanding 29.3 peratus pada 2022.

Kajian tersebut dibuat oleh Semakan Kepelbagaian Lembaga Pengarah Singapura, Majlis Kepelbagaian Lembaga (CBD).

Ia adalah kajian tahunan CBD mengenai kepelbagaian jantina di bilik lembaga pengarah syarikat yang disenaraikan di SGX, di lembaga berkanun dan di IPC, yang melibatkan sekitar 1,360 pertubuhan dan syarikat.

Semakan data dari 2013 hingga 31 Disember 2023 itu dijalankan dengan kerjasama Pusat Inovasi Kewangan Mampan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Bagi 100 syarikat tersenarai SGX terbesar dengan sasaran sukarela 25 peratus penyertaan wanita dalam lembaga pengarah menjelang 2025, sebanyak 48 syarikat mencapai minimum 25 peratus wanita dalam lembaga pengarah pada 2023, naik daripada 39 syarikat pada 2022.

Bagi lembaga berkanun dengan sasaran 30 peratus, sebanyak 35 daripada 64 pertubuhan mempunyai minimum 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah pada 2023, naik daripada 30 pertubuhan pada 2022.

Bagi IPC dengan sasaran sukarela 30 peratus penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, sebanyak 56 badan amal daripada 100 yang ditinjau didapati sama ada mencapai atau melepasi sasaran tersebut pada 2023, naik daripada 51 badan amal pada 2022.

Dorongan utama yang menyebabkan lebih ramai wanita dilantik menjadi anggota lembaga pengarah, mungkin bertujuan memenuhi keperluan kawal selia, termasuk penambahbaikan baru-baru ini kepada rangka kerja kawal selia bagi syarikat tersenarai dan badan amal, yang memberi penekanan kepada tempoh khidmat pengarah dan kepelbagaian dalam komposisi lembaga.

SGX memerlukan syarikat mendedahkan dasar kepelbagaian lembaga pengarah, yang berkuat kuasa mulai Januari 2022, dan turut mempunyai Kod Tadbir Urus Korporat yang diperbaharui dan Panduan Amalan, yang menekankan kepelbagaian dalam komposisi lembaga.

Had perkhidmatan sembilan tahun bagi pengarah bebas yang dikenakan oleh Penguasa Bursa Saham Singapura (SGX RegCo) berkuat kuasa mulai Januari 2023.

Faktor penyumbang lain termasuk galakan daripada pihak berkepentingan tadbir urus, di samping pengiktirafan kian meningkat di seluruh dunia terhadap nilai kepelbagaian lembaga pengarah, dalam masa tidak menentu kini.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu kenyataan pada 3 Jun berkata:

“Kemajuan dalam penyertaan wanita dalam lembaga pengarah merentasi sektor rakyat, awam dan swasta mencerminkan pengiktirafan kian meningkat mengenai pentingnya mempunyai lembaga pengarah pelbagai jantina.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg