Kadar faedah Amerika Syarikat yang dijangka dikurangkan dilihat akan menjejas pulangan bon jangka pendek dan jangka panjang, sekali gus memberi kesan ke atas pelabur di sini.
Pasaran memberi reaksi terhadap petunjuk bahawa Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika akan mengurangkan kadar faedah sehingga 50 mata asas pada September kepada 4.75 hingga 5 peratus.
Apabila ini berlaku, kadar faedah bagi sekuriti hutang jangka pendek dan panjang akan berkurangan, lapor The Straits Times (ST).
Pengarah, Pengurusan Kekayaan (Ekonomi dan Strategi Pasaran) di syarikat penasihat kewangan Financial Alliance, Encik Sani Hamid, berkata keadaan kali ini berbeza sedikit kerana kadar faedah jangka pendek akan turun, namun kadar faedah jangka panjang tidak dijangka turun, malah mungkin meningkat.
Ini kerana Amerika kini menanggung jumlah hutang yang tinggi dan terpaksa mengeluarkan lebih banyak bon jangka panjang untuk membiayai defisitnya.
Harga bon berlawanan dengan pulangan bon. Apabila lebih banyak bon dikeluarkan, harga bon akan jatuh dan pulangannya meningkat.
Dengan pulangan bon jangka panjang dijangka meningkat, pemerhati pasaran menasihatkan pelabur agar berhati-hati sebelum membeli bon jangka panjang, iaitu bon bertempoh 10, 20 hingga 30 tahun.
Namun, bon jangka pendek terus menjadi pilihan pelaburan yang menguntungkan, kata mereka.
Menurut Encik Sani, bon tiga tahun tidak terlalu panjang sebagai pilihan pelaburan.
Sebuah dana pendapatan tetap tiga tahun DBS yang dilancarkan baru-baru ini, mempunyai portfolio perniagaan yang pelbagai di seluruh dunia, merangkumi 50 bon korporat gred pelaburan dan bon pemerintah risiko rendah.
Dana dalam versi dolar Amerika dan Singapura itu terbuka kepada pelabur runcit.
Bon dalam kelas dolar Singapura dijangka memberi pulangan bersih 3.2 hingga 3.5 peratus setahun.
Ketua pegawai pelaburan (CIO) DBS, Encik Hou Wey Fook, berkata sepanjang enam pusingan kenaikan kadar faedah yang lalu, bon mengatasi prestasi pelaburan tunai dengan ketara dalam masa tiga tahun, selepas Amerika menghentikan kenaikan kadar faedah.
Menurut ketua penyelidikan kredit Asia di syarikat pengurusan aset Abrdn, Encik Thomas Drissner, pasaran ekuiti utama pada 2024 menunjukkan prestasi lebih baik daripada bon setakat ini.
Sejak 1 Ogos, pasaran Amerika mengalami pembetulan kerana pelabur bimbang Amerika mungkin menghadapi kemelesetan ekonomi.
Menurut Encik Sani, saham Amerika agak kurang mantap pada masa ini.
Terdapat tanda-tanda wang mengalir keluar dari Amerika ke pasaran Singapura dan Malaysia, katanya.
“Jadi (pelabur) tidak digalak merebut saham Amerika pada masa ini,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg