Orang ramai yang menggemari buah-buahan eksotik dari Malaysia pastinya akan tertarik untuk mengunjungi pesta dagangan, Malaysia Fest, di Dewan 5A dan 5B, Singapore Expo, mulai 31 Julai hingga 3 Ogos.
Mereka berpeluang menikmati longan kristal dan limau susu dari Sarawak; bambangan (sejenis mangga liar) dan tarap (sejenis nangka) dari Sabah, serta ‘pitaya twin’ (buah naga) dari Negeri Sembilan di acara tahunan ini.
Malaysia Fest 2025 yang dianjurkan MegaXpress International Pte Ltd akan menampilkan lebih 312 reruai usahawan tempatan dan luar negara bagi edisi kelapannya, berbekalkan tema ‘Membongkar Khazanah Malaysia’.
Acara akan bermula dari 10 pagi hingga 10 malam, dengan matlamat membawa keunikan Malaysia lebih dekat dengan rakyat Singapura.
Reruai yang ada akan menampilkan pelbagai produk makanan dan fesyen Malaysia, dengan tumpuan lebih pada buah-buahan eksotik.
Ia juga turut menampilkan pavilion Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) dan badan pelancongan Tourism Malaysia, dengan 16 penjual dihimpunkan.
Turut serta ialah perwakilan Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Terengganu, Perlis dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Malaysia.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan tawaran eksklusif pakej pelancongan ke Malaysia di ruang The Travel Zone.
Bagi yang gemarkan hiburan, penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga dijadualkan membuat penampilan khas pada 2 Ogos.
Turut hadir ialah usahawan selebriti, Datuk Seri Vida, dalam segmen hiburan Celebpreneur Exclusive, pada 8 malam, 31 Julai dan Nur Sajat pada 9 malam, hari yang sama.
Dalam pada itu, sebagai penerima bantuan, Masjid Al-Amin akan mengadakan sesi senaman khas untuk wanita pada 31 Julai, antara 10 pagi dengan 12 tengah hari di reruai L17.
Selain itu, terdapat segmen Cakap Masjid Perdana Muslimah: 3 Wasiat Nabi Buat Wanita Penghuni Syurga, anjuran Masjid Al-Amin, di mana anda boleh berbicara dari hati ke hati bersama Ustazah Dr Sakinah Saptu dan Fiza O pada 1 Ogos, dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Tiada bayaran dikenakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg