Pencinta durian tidak lama lagi boleh menikmati raja buah itu sepuasnya dalam beberapa pesta yang diadakan bukan sahaja di Singapura, malah di seberang Tambak.
Taman air bertema Singapura, Adventure Cove Waterpark, yang terletak di Sentosa, akan berubah menjadi syurga durian menawarkan pelbagai jenis durian, termasuk D24, Red Prawn dan Musang King, yang menunggu untuk disantap para pengunjung.
Pesta ‘All Hail The King Durian Fest’ itu akan berlangsung di The Bay Restaurant dari 6 petang hingga 7.30 malam pada 11, 12 dan 13 Julai serta hujung minggu seterusnya iaitu 18,19 dan 20 Julai.
Selain durian dan buah-buahan tropika, tetamu boleh menyejukkan badan dengan air kelapa atau ‘Three Legs Cooling Water’ yang dikenali kerana ciri-ciri perubatan tradisional dan keupayaannya melegakan rasa panas dalam tubuh.
Tiket bagi pesta tersebut berharga $268, menyediakan tetamu dengan durian premium, buah-buahan tropika seperti rambutan dan manggis serta minuman menyegarkan.
Mereka yang sanggup pergi lebih jauh boleh menyeberangi pusat pemeriksaan Tuas menuju ke Sunway City Iskandar Puteri, yang terletak lima minit sahaja dari Linkedua.
Buat julung-julung kalinya, pusat perbandaran itu mengadakan Karnival Durian yang akan berlangsung dari 31 Julai hingga 3 Ogos dari 12 tengah hari hingga 10 malam, di Sunway Big Box Retail Park.
Karnival tersebut akan menyajikan pelbagai jenis durian seperti Musang King, Black Thorn, dan Red Prawn, hasil daripada salah satu dusun durian terbesar di Johor.
Dengan harga RM98 ($29.60), tetamu boleh menikmati jamuan bufet durian sepuasnya dengan tempat duduk disediakan.
Mereka yang ke karnival itu boleh turut melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan serta peraduan yang dianjurkan, antaranya kuiz teka jumlah durian dalam bakul.
Tetamu yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM388 di Karnival Durian dan Sunway Big Box Retail Park juga berpeluang memenangi cabutan bertuah ‘pasti-menang’, yang menampilkan hadiah menarik termasuk penginapan tiga hari dua malam di Sunway Hotel Big Box, baucar kegiatan XPark, baucar runcit dan banyak lagi.
Khas untuk pelawat antarabangsa yang memegang pasport bukan Malaysia, mereka boleh menebus pek pelancongan khas, yang terdiri daripada baucar runcit, hanya dengan menunjukkan pasport mereka.
Karnival tersebut dibuka kepada orang awam dan masuk percuma.
Pengunjung dari Singapura juga mempunyai pilihan menggunakan khidmat bas ulang-alik yang disediakan Sunway City Iskandar Puteri dari perhentian bas di luar stesen MRT Lavender (Exit 2) pada harga $8.
Untuk pendaftaran, ayuh ke pautan, https://bh.sg/durian kerana yang dahulu didahulukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg