Dua daripada syarikat hartanah terbesar Singapura mengumumkan keputusan kewangan bercampur-campur pada 14 Ogos, sedang kadar faedah tinggi dan kelembapan hartanah sedunia menjejas prestasi perniagaan pada separuh pertama 2024.
Keuntungan bersih syarikat CapitaLand Investment (CLI) susut 5.7 peratus kepada $331 juta bagi enam bulan pertama 2024, berbanding tempoh sama pada 2023.
Ini walaupun CLI berjaya meraih keuntungan selepas mengalami kerugian $170 juta pada separuh kedua 2023.
Pendapatan syarikat itu naik sedikit kepada $1.37 bilion dalam enam bulan pertama 2024.
Menurut CLI, keuntungan yang berkurangan itu disebabkan prestasi lebih lemah dalam perniagaan pelaburan hartanah syarikat itu yang terjejas oleh perbelanjaan faedah lebih tinggi dan kadar tukaran wang yang kurang baik.
“Usaha mengitar semula modal akan terus menjadi keutamaan pada 2024 sedang kami terus menyusun semula portfolio kami,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CLI, Encik Lee Chee Koon dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa CLI akan meneruskan kegiatan penjualan asetnya di China dan Amerika Syarikat.
CLI dijangka mencapai sasaran penjualan aset perniagaan bernilai $3 bilion menjelang akhir 2024, kata ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat itu, Encik Paul Tham.
Menurut beliau, syarikat itu masih terus menjual asetnya di China.
CLI akan terus beroperasi di China, namun dengan peruntukan modal perniagaan yang berkurangan, lapor The Straits Times (ST) yang memetik agensi berita.
CLI akan mengutamakan pelbagai peluang yang wujud di Asia, berbanding di Amerika dan Eropah, kata Encik Lee.
Menurutnya, pasaran di luar Singapura dijangka menerima sehingga 20 peratus peruntukan modal perniagaan.
Ketua Pegawai Operasi (COO) CLI, Encik Andrew Lim berkata beliau melihat pelbagai “peluang struktur” di Australia termasuk dalam segmen kredit, penginapan dan gaya hidup.
Syarikat itu juga sedang mengintai peluang perniagaan dalam pusat penginapan dan pusat data di Jepun, selain pejabat gred-A di Korea.
Dalam pada itu, syarikat City Developments (CDL) pula menikmati pendapatan bersih yang melonjak 32 peratus kepada $87.8 juta bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2024 berbanding $66.5 juta yang diraih bagi tempoh sama pada 2023.
Menurutnya, pendapatan lebih tinggi itu disebabkan keuntungan yang diraih daripada penjualan pelaburan tertentu syarikat tersebut.
Namun, pendapatan syarikat itu menjunam 42 peratus kepada $1.56 bilion bagi tempoh tersebut.
“Sektor hartanah berdepan cabaran besar daripada keadaan ekonomi makro dan kos pembiayaan lebih tinggi, memberi kesan kepada prestasi kewangan syarikat ini,” kata CEO kumpulan CDL, Encik Sherman Kwek dalam satu kenyataan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg