Pusat beli-belah Delfi Orchard yang berusia 40 tahun, telah dijual melalui jualan kolektif pada harga $439 juta.
Bangunan hak milik strata itu, yang kebanyakan unit kedai dan apartmennya dimiliki firma hartanah City Developments Limited (CDL), telah dijual kepada unit CDL iaitu CDL Draco.
Harga jualan Delfi Orchard mencapai $3,346 setiap kaki persegi setiap nisbah plot (psf ppr), berdasarkan keluasan lantai kasar (GFA) bangunan itu iaitu 131,186 kaki persegi, kata ejen pemasaran hartanah itu, Savills Singapore.
Kompleks komersial 11 tingkat itu mempunyai 150 unit hak milik strata, merangkumi 127 kedai dan 23 apartmen. Sebanyak 126 unit tersebut dimiliki CDL.
Savills menyatakan bahawa kesemua penyewa dan pemilik unit kedai dan perumahan di kompleks tersebut, perlu berpindah dalam masa enam bulan selepas urusan penjualan tersebut selesai, lapor The Straits Times (ST).
Pemaju hartanah itu menambah bahawa ia mungkin meneroka peluang memanfaatkan skim Insentif Pembangunan Strategik (SDI) Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam masa terdekat.
Di bawah skim SDI, pemaju boleh meningkatkan GFA hartanah tersebut, jika ia mempunyai cadangan transformasi bagi kawasan itu atau bekerjasama dengan pemilik hartanah bersebelahan untuk mengemukakan cadangan pembangunan semula yang menyeluruh bagi kawasan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan CDL, Encik Sherman Kwek, berkata: “Setelah memiliki 84 peratus unit (hartanah) ini, pemerolehan ini membolehkan CDL membina potensi penuh bagi aset pegangan bebas utama ini.”
Dengan beberapa projek pembangunan semula yang bakal menjadi fokus utama dalam rancangan transformasi kawasan sekitar Delfi Orchard, ia memberi “peluang menarik” untuk syarikatnya menyertai usaha memberi nafas baru kepada kawasan tersebut, tambahnya.
Beralamat di 402 Orchard Road, Delfi Orchard terletak di tapak pegangan bebas seluas 20,264 kaki persegi yang dikhususkan untuk kegunaan komersial dan mempunyai kawalan ketinggian sehingga 20 tingkat.
Penjualan Delfi Orchard adalah jualan kolektif utama ketiga di kawasan Orchard Road yang diurus oleh Savills, selepas ia berjaya menjual Pusat Beli-Belah Tanglin dan kompleks komersial Ming Arcade, kata pengarah urusan bagi penjualan pelaburan dan pasaran modal Savills Singapore, Encik Jeremy Lake.
Penjualan secara en bloc terakhir di kawasan Orchard adalah bagi Ming Arcade, yang dijual pada harga $172 juta pada Disember 2022 iaitu $3,125 psf ppr.
Tapak Delfi Orchard memberi pemaju hartanah pelbagai pilihan pembangunan – daripada pejabat, kedai runcit mewah, kediaman hingga ke hotel, tambah Encik Lake.
April lalu, Savills menyatakan bahawa jika Delfi Orchard berjaya dijual, pemilik 23 apartmen tersebut berpeluang meraih antara $2.2 juta dengan $4.6 juta setiap seorang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg