CapitaLand Investment (CLI) mengumumkan perubahan kepimpinan di bahagian dana privetnya, memandangkan firma hartanah itu ingin menyusun semula unit ekoran pendapatan yang bercampur-campur dan prestasi saham yang lemah.
Encik Simon Treacy, ketua eksekutif bahagian hartanah ekuiti privetnya, akan berundur pada 31 Oktober, kata CLI pada 12 September.
Beliau akan mengambil peranan sebagai penasihat kanan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan, Encik Lee Chee Koon, dan memberi nasihat kepada pasukan ekuiti privet firma itu mengenai penjanaan modal dan pelaburan, berkuat kuasa 1 November.
Bahagian dana privet itu, yang kini menempatkan unit hartanah dan aset alternatif, akan menyaksikan kedua-duanya digabungkan menjadi satu platform Real Assets yang diketuai oleh Encik Lee.
Ketua pegawai operasi kumpulan, Encik Andrew Lim, akan bertanggungjawab untuk penjanaan modal dan pembangunan produk, lapor The Straits Times.
CLI berkata perubahan itu adalah sebahagian daripada proses berterusan untuk mengukuhkan “pasukan kepimpinan dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dana privet syarikat”.
CLI, yang disenaraikan pada penghujung 2021 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula utama di CapitaLand Group, menghadapi tekanan pasaran terhadap pelaburannya yang besar di China, yang sedang mengalami kemerosotan hartanah yang besar.
CapitaLand Group dimiliki oleh syarikat pelaburan pemerintah, Temasek, yang juga memegang pegangan majoriti dalam cabang pelaburan itu.
Saham syarikat itu jatuh 9 peratus pada 2024 apabila ditutup pada 12 September, menunjukkan prestasi rendah berbanding indeks penanda aras saham Singapura yang meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh yang sama.
Pada Ogos, Encik Lim akur akan “ketidaksabaran” pelabur dengan peralihan firma itu dari China, sambil berkata ia adalah proses yang rumit.
Dalam pemfailan pertukaran berasingan, firma itu berkata Encik Treacy, 56 tahun, melepaskan jawatannya sebagai CEO “atas sebab peribadi”.
Beliau merupakan salah seorang ahli paling berprofil tinggi dalam pasukan kepimpinan pengurus pelaburan hartanah itu sejak beliau menyertai syarikat tersebut pada Oktober 2021.
Encik Treacy sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai pelaburan global dan ketua ekuiti Amerika Syarikat BlackRock Real Estate.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg