Yayasan Harapan CapitaLand (CHF), cabang dermawan CapitaLand Group, pada 25 Februari melancarkan Inisiatif Ketahanan Masyarakat CapitaLand sulungnya yang bernilai $3 juta bagi mendapatkan sumber untuk projek daya tahan masyarakat.
Menurut satu kenyataan CapitaLand pada 25 Januari, ini adalah kali pertama satu seruan bagi geran serantau diadakan untuk projek sedemikian sebagai sebahagian daripada inisiatif itu.
Inisiatif Ketahanan Masyarakat CapitaLand bertujuan untuk melengkapkan kanak-kanak dan belia yang rentan dengan kemahiran, pengetahuan dan sistem sokongan yang diperlukan untuk berkembang maju ketika menghadapi kesukaran, serta mengukuhkan daya tahan mereka untuk memastikan masa depan yang lebih kukuh, lebih mudah suai dan saksama.
Pelancaran itu, dengan kerjasama Rangkaian Usaha Kedermawanan Asia (AVPN), merupakan satu acara penting sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25 CapitaLand Group dan ke-20 CHF pada 2025.
AVPN ialah rangkaian pelabur sosial terbesar di Asia dan seruan bagi geran itu telah diumumkan pada Sidang Puncak Asia Tenggara AVPN 2025 yang diadakan di Singapura.
CHF komited untuk membina masyarakat penyayang, inklusif dan berdaya tahan, serta menjalin perkongsian bermakna untuk memberi kesan kepada kehidupan ramai orang sejak 2005.
AVPN akan menyumbang rangkaian dan kepakaran mereka dalam mengurus dana dermawan serta sokongan dalam mengenal pasti pertubuhan yang boleh memberi kesan bagi memastikan penyelesaian bermutu untuk golongan rentan di Asia.
Pertubuhan bukan untung di seluruh China, India, Singapura dan Vietnam dengan projek mampan yang tertumpu pada peningkatan pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dan belia boleh mengemukakan permohonan mereka dari sekarang hingga 25 April 2025.
Permohonan akan dinilai berdasarkan kesan sosial dan potensi hasilnya.
Ia juga harus boleh disesuaikan skalanya dan dilaksanakan dengan berkesan merentasi mana-mana empat negara di mana CapitaLand beroperasi.
Encik Miguel Ko, Pengerusi CHF dan Pengerusi CapitaLand Investment, berkata: “Dalam 20 tahun sumbangan kami sejak penubuhan CHF pada 2005, kami teguh dalam komitmen kami untuk meningkatkan kehidupan dan membuat perubahan.
“Di CapitaLand, kami percaya bahawa membina masyarakat yang berdaya tahan adalah asas kepada pertumbuhan yang mampan.”
Tambah Encik Ko: “Melalui pelancaran Inisiatif Ketahanan Masyarakat CapitaLand sulung kami yang bernilai $3 juta, kami menyasarkan untuk memperkasakan individu dan keluarga dengan sumber dan sokongan yang mereka perlukan bagi mengharungi cabaran dan seterusnya muncul lebih kuat.
“Inisiatif ini membolehkan kami mencari rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang berfikiran sama di rantau ini dalam menyokong modal sosial, prasarana masyarakat dan penyelesaian penyertaan sosial dalam usaha mereka mengikuti kami dalam perjalanan memberi sumbangan ini.
“Kami tidak sabar untuk menguatkan impak positif ini merentas masyarakat tempat kami beroperasi bersama-sama dengan pertubuhan yang terpilih.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg