Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

UOL, SingLand, CapitaLand lancar kondo di Tampines

Feb 7, 2025 | 2:54 PM
Lakaran artis menunjukkan Parktown Residence, satu pembangunan kondominium dengan pajakan 99 tahun yang akan menempatkan 1,193 unit di 12 blok.
Lakaran artis menunjukkan Parktown Residence, satu pembangunan kondominium dengan pajakan 99 tahun yang akan menempatkan 1,193 unit di 12 blok. - Foto UOL

Syarikat UOL, Singapore Land (SingLand) dan CapitaLand Development akan memulakan pameran awal projek perumahan di Tampines, Parktown Residence, pada 7 Februari, dengan harga permulaan dalam julat $2,100 hingga $2,300 setiap kaki persegi (psf).

Terletak di Tampines Avenue 11, pembangunan dengan pajakan selama 99 tahun itu akan menempatkan 1,193 unit di 12 blok.

Akan ada dua blok dengan enam atau tujuh tingkat, lapan blok 11 tingkat dan dua blok 12 tingkat.

Harga unit satu bilik tidur (ditambah bilik belajar) seluas 463 hingga 506 kaki persegi bermula daripada $1.07 juta atau $2,311 psf, dan apartmen dua bilik tidur dari 592 hingga 764 kaki persegi berharga dari $1.33 juta ($2,246 psf).

Harga unit tiga bilik tidur, antara 926 dengan 1,184 kaki persegi, daripada $2.07 juta ($2,235 psf).

Apartmen empat bilik tidur bersaiz antara 1,335 dengan 1,496 kaki persegi dijual dengan harga bermula daripada $2.85 juta ($2,134 psf).

Unit terbesar ialah apartmen lima bilik tidur berukuran 1,679 kaki persegi, yang berharga daripada $3.78 juta, atau $2,251 psf.

Tapak seluas kira-kira 550,000 kaki persegi itu telah diperoleh dalam satu tender negara pada Julai 2023 dengan bidaan yang melepasi paras bilion dolar – $1.21 bilion -– dengan tanah itu dinilai pada nisbah $885 psf setiap plot.

Projek itu adalah usaha sama 50-50 antara UOL-SingLand dengan CapitaLand Development, lapor The Business Times.

Terletak di Daerah 18, Parktown Residence akan dihubungkan terus ke stesen MRT Tampines North akan datang di Laluan Rentas Pulau (CRL) dan sebuah pusat tukaran bas.

Ia juga akan dihubungkan dengan ruang runcit dan ruang makanan dan minuman, serta sebuah kelab masyarakat dan pusat penjaja.

Encik Anson Lim, pengurus besar UOL untuk pemasaran kediaman, berkata pelancaran itu tepat pada masanya, “sejajar dengan pemulihan ekonomi Singapura yang kukuh pada akhir 2024, yang menyaksikan pertumbuhan sebanyak 4 peratus”.

“Pelancaran Parktown Residence pada awal tahun memanfaatkan momentum ini kerana kami menjangkakan pemulihan berterusan tahun ini (2025), disokong oleh pendapatan isi rumah yang bertambah baik dan kestabilan ekonomi,” tambah beliau.

Pelancaran kediaman privet terakhir sebelum ini di Tampines ialah projek kondominium terbesar di Singapura – 2,203 unit Treasure at Tampines, yang dibangunkan oleh Sim Lian.

Mula-mula dipasarkan pada Mac 2019, ia menjual 272 unit pada hujung minggu pelancarannya pada harga purata $1,280 psf.

Pada Januari, harga jualan semula unit di Treasure at Tampines mencecah julat antara $1,600 psf dengan $1,830 psf.

Sepanjang enam bulan lalu, harga median untuk unit-unit yang dijual di kawasan perancangan Tampines ialah $1,510 psf, menurut data daripada Sistem Maklumat Hartanah oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Parktown Residence akan menerima tempahan jualan pada 22 Februari dan dijangka siap menjelang Jun 2030.

Selain Parktown Residence, Tampines akan menyaksikan satu lagi pembangunan pelbagai guna, terletak di Tampines Street 94.

Satu usaha sama Hoi Hup Realty-Sunway Developments telah memenangi bidaan untuk plot itu pada September 2024, menewaskan lima pihak lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg