Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Case: Pengguna rugi $108,000 dalam bayaran awal industri kecantikan

Industri automobil pula kekal sebagai kategori dengan jumlah aduan tertinggi
Aug 5, 2025 | 4:58 PM
industri kecantikan, case, aduan, separuh pertama 2025
Industri kecantikan menduduki tempat ketiga dalam kategori dengan jumlah aduan tertinggi, melibatkan taktik jualan agresif atau mengelirukan menyumbang sekitar 28 peratus daripada jumlah aduan dalam sektor itu. - Foto PIXABAY

Para pengguna rugi lebih $108,000 ekoran pembayaran awal dalam industri kecantikan bagi separuh pertama 2025, mencatat lonjakan 464 peratus berbanding $19,000 dalam tempoh sama pada 2024.

Ini meskipun jumlah aduan pengguna terhadap industri kecantikan menurun sedikit kepada 558 kes pada separuh pertama 2025, berbanding 600 kes dalam separuh pertama 2024, kata Persatuan Pengguna Singapura (Case) pada 5 Ogos.

Kebanyakan kes melibatkan pengguna yang didesak menandatangani pakej bernilai tinggi berdasarkan janji yang tidak jelas atau berlebihan.

Secara keseluruhan, jumlah aduan pengguna turun 19 peratus kepada 6,253 kes bagi tempoh separuh pertama 2025, berbanding 7,721 kes dalam separuh pertama 2024.

Pada separuh pertama 2024, terdapat beberapa “kejadian berprofil tinggi” yang menyumbang kepada 400 jumlah aduan, termasuk acara Pesta Tanglung Terbang di Sentosa yang dibatalkan.

Sementara itu, industri automobil kekal sebagai kategori dengan jumlah aduan tertinggi, meskipun bilangan aduan turun 16 peratus tahun ke tahun, daripada 681 kepada 573.

Daripada keseluruhan aduan yang dibuat dalam separuh pertama 2025, sebanyak 28 peratus melibatkan kenderaan rosak atau tidak menepati terma kontrak.

Aduan berkaitan perkhidmatan perkongsian kereta pula turun sedikit daripada 109 kepada 97.

Namun, pengguna terus menyuarakan kebimbangan tentang isu penyelenggaraan kenderaan yang lemah, isu bil, kadar lebihan insurans yang tinggi serta kebolehpercayaan perkhidmatan yang ditawarkan.

Kes berkaitan kenderaan elektrik (EV) meningkat 42 peratus daripada 33 kes pada separuh pertama 2024, kepada 47 kes pada separuh pertama 2025, dengan pengguna membuat aduan mengenai komponen rosak seperti bateri serta isu berkaitan pengecasan EV.

Presiden Case, Encik Melvin Yong, berkata:

“Pengguna yang ingin membeli EV perlu berhati-hati dengan isu berkaitan pengecasan dan jangka hayat bateri.”

Beliau menegaskan bahawa piawaian lebih ketat dalam sektor kenderaan perkongsian diperlukan kerana ia masih menjadi pilihan popular dalam kalangan pengguna.

“Case sedang bekerjasama dengan pengendali perkhidmatan perkongsian kereta untuk membangunkan skim pentauliahan CaseTrust bagi sektor tersebut.

“Ini membolehkan pengguna memilih pengendali yang komited pada dasar mesra pengguna serta menyediakan prosedur penyelesaian pertikaian yang berkesan,” tambah Encik Yong.

Industri elektrik dan elektronik kekal sebagai kategori dengan jumlah aduan kedua tertinggi dalam separuh pertama 2025, naik berbanding kedudukan keempat sebelum ini. 

Ia merekodkan 571 kes, menurun sekitar 4 peratus berbanding 594 kes dalam tempoh sama pada 2024.

Sama seperti aduan dalam industri automobil, sekitar 47 peratus kes dalam kategori itu melibatkan produk rosak atau tidak menepati terma kontrak, lapor The Business Times (BT).

Produk berkenaan termasuk peranti elektronik kecil yang dibeli secara dalam talian dan peralatan rumah besar seperti televisyen dan mesin basuh yang dibeli di kedai fizikal.

Industri kecantikan pula menduduki tempat ketiga dalam kategori dengan jumlah aduan tertinggi, dengan taktik jualan agresif atau mengelirukan menyumbang sekitar 28 peratus daripada jumlah aduan dalam sektor tersebut.

Menurut Encik Yong, meskipun jumlah aduan terhadap industri kecantikan lebih rendah, sektor itu tetap membimbangkan berikutan peningkatan ketara dalam kerugian berkaitan pembayaran awal.

“Case menggalak pengguna agar memilih spa dan salun kecantikan dengan pentauliahan CaseTrust, kerana ia menyediakan jaminan seperti tempoh bertenang wajib dan perlindungan bayaran awal,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg