Cathay Cineplex, yang dikendalikan syarikat media mm2 Asia, telah menerima surat tuntutan daripada tuan tanah dua pawagamnya yang berjumlah sekitar $2.7 juta.
Tuntutan itu merangkumi sewa, kos guaman dan perkara lain, yang dikatakan belum dibayar.
Dalam satu kenyataan pada 3 Februari, mm2 Asia berkata pawagam itu menerima surat tersebut daripada peguam yang mewakili tuan tanah pada 28 Januari, lapor The Business Times.
Tuan tanah bagi pawagam Cathay Cineplex di Century Square – Century Square LLP dan Management Corporation Strata Title – telah menuntut pembayaran sebanyak $479,185.74 untuk tunggakan sewa dan bayaran lain, serta $893.80 untuk kos guaman selewat-lewatnya pada 10 Februari.
Sementara itu, tuan tanah bagi pawagam di Causeway Point menuntut pembayaran sebanyak $1 juta kepada pemegang amanah, HSBC Institutional Trust Services, sebelum 3 Februari dan $1,203,677.85 selewat-lewatnya pada 10 Februari.
Jumlah ini termasuk tunggakan sewa dan bayaran lain.
Cathay Cineplex juga perlu membayar $555.90 untuk kos guaman.
Kedua-dua hartanah tersebut dimiliki Frasers Centrepoint Trust.
Syarikat media itu berkata dalam pemfailan bursa, pihak pengurusan sedang berhubung dengan tuan tanah untuk menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan baik, sambil memastikan gangguan minimum terhadap operasi perniagaan.
Lembaga pengarah sedang mendapatkan nasihat undang-undang berkenaan surat tuntutan tersebut, termasuk kemungkinan penstrukturan semula perniagaan dan tanggungjawab kewangan Cathay Cineplex.
Syarikat itu akan membuat pengumuman lanjut jika ada perkembangan penting.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg