Rangkaian pawagam Cathay Cineplexes akan berhenti beroperasi di AMK Hub selepas 30 Jun.
Aras empat di pusat beli-belah Ang Mo Kio itu akan menjalani kerja peningkatan hingga 2026.
Seorang jurucakap Cathay Cineplexes memberitahu The Straits Times (ST) pada 19 Jun, pajakan pawagam tersebut telah sampai ke penghujungnya, namun ia akan terus beroperasi sepenuhnya sehingga tayangan filem terakhir pada 30 Jun.
Masa filem terakhir ditayangkan akan diumumkan pada minggu penutupan itu.
Syarikat pengurusan aset dan hartanah AMK Hub, Link Asset Management, menyatakan ia akan menyusun semula ruang dan gabungan penyewa di pusat beli-belah itu untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.
“Setelah selesai projek peningkatan aset pada 2026, pengunjung boleh menjangkakan (suasana) lebih bertenaga, dan pengalaman segar di hab sosial ini,” tambah jurucakap itu.
Penyewa lain yang terjejas di pusat beli-belah yang terletak berdekatan di simpang Ang Mo Kio Avenue 3 dan Ang Mo Kio Avenue 8 itu, termasuk pengendali arked Timezone, dan restoran makanan Barat, Eighteen Chefs.
Cathay Cineplexes mempunyai baki lima cawangan di Singapura – di Causeway Point di Woodlands, Downtown East di Pasir Ris, West Mall di Bukit Batok, Jem di Jurong East dan Century Square di Tampines.
Jurucakapnya berkata kesemua cawangan itu akan beroperasi seperti biasa.
“Tiada gangguan perkhidmatan di cawangan lain Cathay Cineplexes di Singapura.
“Nantikan berita menarik mengenai cawangan baru kami yang akan datang,” katanya.
Pawagam AMK Hub dibuka pada 16 Jun 2007. Ia mempunyai lapan dewan dan boleh memuatkan seramai 1,800 penonton wayang.
Mulai sekarang hingga 30 Jun, Cathay Cineplexes menawarkan tiket wayang pada harga $10 di cawangan AMK Hub.
Ia adalah harga diskaun berbanding harga biasa antara $11 dengan $16.50.
Selain itu, kombo bertih jagung bersaiz sederhana berharga $7, lebih rendah daripada harga biasa $10.
Jurucakap Cathay Cineplexes tidak menjawab pertanyaan mengenai nasib pekerjanya di AMK Hub, atau lokasi cawangan barunya.
Bagaimanapun, ia dijadual membuka cawangan baru di *Scape di sebelah Orchard Cineleisure pada 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg