Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEA pertimbang syarat transaksi minimum bagi ejen hartanah perbaharui lesen

Ejen hartanah yang jarang urus transaksi dikhuatiri kurang sedar dengan peraturan, proses terkini, trend pasaran
Dec 13, 2024 | 12:23 PM
Terdapat kebimbangan bahawa ejen hartanah yang tidak melakukan transaksi secara kerap boleh menimbulkan risiko kepada para pelanggan mereka.
Terdapat kebimbangan bahawa ejen hartanah yang tidak melakukan transaksi secara kerap boleh menimbulkan risiko kepada para pelanggan mereka. - Foto fail

Majlis Agensi Hartanah (CEA) sedang menilai sama ada ejen hartanah perlu memenuhi jumlah transaksi minimum untuk memperbaharui lesen mereka.

Semakan itu dilakukan susulan kebimbangan bahawa ejen hartanah yang jarang menguruskan transaksi boleh menimbulkan risiko kepada pelanggan mereka.

Ia diketengahkan semasa sesi perbincangan industri, kata CEA pada 12 Disember.

“Ejen-ejen ini mungkin kurang biasa dengan peraturan yang sentiasa berubah, proses transaksi hartanah, serta trend pasaran, yang boleh mempengaruhi ketepatan nasihat yang diberikan kepada pelanggan,” kata pengawas industri itu.

“CEA mengakui kebimbangan ini dan komited untuk memastikan pengguna menerima perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan nasihat profesional daripada ejen hartanah,” tambah CEA.

CEA menambah ia sedang berunding dengan pihak berkepentingan dalam industri untuk menilai cara terbaik untuk melaksanakan syarat ini dan meneroka cara ia boleh dilaksanakan dengan berkesan, lapor The Straits Times.

Ejen hartanah perlu menyelesaikan kursus Jurujual Hartanah (RES) dan lulus peperiksaan RES sebelum didaftarkan dengan CEA sebagai jurujual.

Lesen mereka diperbaharui setiap tahun.

Dari 2021 hingga 2023, sekitar 40 peratus ejen hartanah tidak dapat melaksanakan sekurang-kurangnya satu transaksi hartanah kediaman setiap tahun, kata CEA.

Namun, mereka menjelaskan bahawa ejen-ejen ini mungkin masih terlibat dalam transaksi hartanah komersial atau industri atau memegang peranan kepimpinan dalam menyelia ejen lain.

Pada tempoh yang sama, sekitar 1,100 ejen tidak memperbaharui pendaftaran mereka setiap tahun.

“Ini menunjukkan sifat dinamik industri, yang mana para karyawan mungkin keluar kerana perubahan kerjaya atas sebab peribadi atau persaraan,” tambah CEA.

Jumlah ejen hartanah berdaftar pada awal 2024 adalah 35,251, meningkat daripada 34,427 ejen pada 2023 dan 32,414 pada 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg