Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ejen hartanah disiasat minta komisen dari penjual bukan pelanggan

Nov 6, 2024 | 12:12 PM
Mengikut undang-undang, ejen hartanah tidak dibenarkan meminta bayaran daripada mana-mana pihak yang tidak menggunakan perkhidmatan mereka.
Mengikut undang-undang, ejen hartanah tidak dibenarkan meminta bayaran daripada mana-mana pihak yang tidak menggunakan perkhidmatan mereka. - Foto ST

Seorang ejen hartanah sedang disiasat selepas beliau didakwa cuba mendapatkan komisen daripada penjual sebuah flat HDB jualan semula yang tidak diwakilinya.

Penjual itu, seorang perunding pemasaran bebas, Cik Ashley Lim, cuba membantu ibu bapanya menjual flat lima bilik mereka di Chua Chu Kang dengan menyenaraikannya sendiri di pasaran dalam talian Carousell, Ohmyhome dan Facebook.

Bagaimanapun, lebih 40, iaitu kebanyakan, daripada pertanyaan yang beliau terima adalah permintaan daripada ejen hartanah untuk menyenaraikan flat itu di PropertyGuru dan 99.co, platform hartanah popular yang membenarkan penyenaraian oleh ejen hartanah sahaja.

Mereka berjanji tidak akan mengutip komisen daripadanya, lapor The Straits Times (ST). Beberapa daripada mereka berkata mereka akan mengambil komisen daripada pembeli yang mereka memperkenalkan kepada Cik Lim.

Ada ejen hartanah itu mencadangkan Cik Lim, 40 tahun, menaikkan harga jualannya supaya mereka boleh mengambil jumlah tambahan itu.

Mengikut undang-undang, ejen hartanah tidak dibenarkan meminta bayaran daripada mana-mana pihak yang tidak menggunakan perkhidmatan mereka.

Mereka juga dibenarkan mewakili hanya satu pihak dalam sesuatu urus niaga, sama ada pembeli atau penjual.

Cik Lim akhirnya bersetuju membenarkan seorang ejen daripada Huttons Asia menyenaraikan flat itu di PropertyGuru dan 99.co.

Ejen itu berkata beliau akan mendapatkan komisen daripada pembeli, tetapi apabila seorang bakal pembeli enggan membayar komisen kepadanya, ejen itu berpaling kepada Cik Lim. 

Apabila Cik Lim enggan membayarnya, ejen berkenaan menarik diri daripada transaksi tersebut, menyebabkan urus niaga itu batal.

“Ia mengecewakan kerana kami dalam proses merundingkan harga jualan dengan pembeli, dan saya fikir kami hampir berjaya menjualnya,” ujar Cik Lim.

Beliau kemudian membuat aduan kepada Majlis Agensi Hartanah (CEA).

Ejen Huttons Asia itu enggan mengulas apabila dihubungi ST.

Ketua Eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip, berkata firma itu tidak menyokong sembarang tindakan ejen hartanah yang tidak selaras dengan undang-undang, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggarnya.

Menurut jurucakap CEA, siasatan sedang dijalankan ke atas ejen tersebut, dan mereka berpendirian tegas terhadap sebarang salah laku oleh agensi atau ejen hartanah, serta akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya.

Bagi salah laku kecil, ejen akan diberi surat amaran atau dikenakan denda hingga $5,000. Bagi kes lebih serius, pendaftaran mereka boleh digantung atau dibatalkan. Ejen hartanah boleh didenda hingga $100,000, sementara agensi hartanah boleh didenda hingga $200,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg