Pengendali rangkaian mudah alih Circles.Life, telah menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan penggabungan antara pesaing, M1 dengan Simba Telecom yang disokong Australia, dengan memberi amaran pengguna boleh terjejas sekiranya tiada langkah kawal selia yang betul.
Dalam satu kenyataan rasmi kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Circles.Life menyatakan entiti gabungan itu akan menguasai 77 peratus pasaran borong dan mempunyai pegangan pasaran runcit pascabayar melebihi 38 peratus.
“Memastikan persaingan untuk pengguna kekal adalah tumpuan utama dalam proses kawal selia ini,” kata syarikat itu.
Pada 11 Ogos, Keppel mengumumkan hasratnya menjual perniagaan telekomunikasi anak syarikatnya, M1, kepada Simba dengan nilai $1.43 bilion.
Ia dijangka menjadi langkah penggabungan syarikat telekomunikasi yang pertama di Singapura.
IMDA melancarkan rundingan awam mengenai urus niaga yang diusulkan itu pada Oktober, dan ia berakhir pada 7 November, lapor The Business Times (BT).
Circles.Life berkata kenyataannya “berdasarkan pengalaman operasi bertahun-tahun di bawah rangka kerja akses borong untuk pengendali rangkaian mudah alih maya di Singapura”.
“Kami percaya jika perlindungan yang diperlukan tidak dilaksanakan, pengguna Singapura akan terjejas,” tambah syarikat tersebut.
Pengendali rangkaian itu mendesak IMDA supaya menguatkuasakan rangka kerja borong itu bagi semua kontrak pengendali rangkaian mudah alih maya dengan entiti gabungan tersebut.
Circles.Life menyatakan keyakinannya bahawa IMDA akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi inovasi, keadilan dan pilihan bagi pengguna di Singapura.
“Memastikan akses borong yang adil adalah penting untuk mengekalkan ekosistem telekomunikasi Singapura yang terbuka dan seimbang,” ujar Circles.Life.
Dalam cadangan mereka kepada IMDA, Simba dan M1 menyatakan mereka akan terus menawarkan pelan mudah alih popular $10 dan $12 kepada pelanggan baru, untuk sekurang-kurangnya dua tahun selepas penggabungan yang diusulkan itu selesai.
Komitmen itu, termasuk yang lain, telah diterbitkan di laman web pihak pengawal selia itu pada 1 Oktober.
M1 juga berkata ia akan menunaikan semua komitmen dan kontrak sedia ada, termasuk memastikan pelanggan pengendali rangkaian mudah alih maya semasa mereka tidak terjejas.
Circles.Life adalah salah satu daripada pengendali tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg