Syarikat pengurusan aset Singapura, Keppel, akan menjual perniagaan telekomunikasi milik anak syarikatnya M1 kepada pesaingnya, Simba Telecom, pada harga $1.43 bilion.
Perjanjian penjualan tersebut merupakan penyatuan syarikat telekomunikasi yang pertama dalam sejarah Singapura.
Ramai pemerhati pasaran memang sudah menjangkakan penjualan tersebut, memandangkan syarikat telekomunikasi di sini menghadapi tekanan untuk menerima hasil yang semakin merosot daripada setiap pelanggan.
Ini berikutan kemunculan pengendali rangkaian maya mudah alih yang menawarkan pelan langganan murah.
Perjanjian Keppel-Simba yang diumumkan pada 11 Ogos itu menganggarkan syarikat telekomunikasi tersebut bernilai $1.43 bilion, termasuk tunai dan hutang, tertakluk kepada pelarasan selepas perjanjian jual beli tersebut.
Sebelum pengumuman tersebut, ramai yang membuat spekulasi bahawa StarHub, dan bukannya Simba, yang bakal menjadi pembeli M1.
Keppel akan memperoleh hampir $1 bilion dalam bentuk tunai hasil pemilikan 83.9 peratus syarikat itu dalam M1, lapor The Straits Times (ST).
Pengurus aset dan hartanah global tersebut akan mengekalkan perniagaan perusahaan M1 yang sedang pesat berkembang, dan akan melengkapi perniagaan sambungan Keppel melibatkan pusat data dan kabel dasar laut.
“Urus niaga penting yang dicadangkan ini dijangka memberi manfaat kepada sektor telekomunikasi dan pengguna Singapura melalui penyatuan pasaran.
“Ia juga memanfaatkan sinergi antara kedua-dua syarikat telekomunikasi negara yang tangkas dan didorong (teknologi) digital, dengan rekod prestasi kukuh bagi inovasi,” kata Keppel dalam satu kenyataan.
“Ia menghimpunkan rangkaian berasaskan awan M1 yang diubah secara digital, dengan keupayaan memberi perkhidmatan yang disesuaikan secara mendalam mengikut keperluan individu, melalui teknologi termaju, dan model pengguna digital inovatif Simba,” tambahnya.
Setakat Disember 2024, Simba mempunyai lebih sejuta pelanggan telefon bimbit, menjadikannya syarikat telekomunikasi keempat terbesar di Singapura.
Singtel menguasai separuh daripada jumlah pelanggan telefon bimbit di sini, dengan 4.5 juta pelanggan.
StarHub dan M1 pula masing-masing mempunyai sekitar dua juta pelanggan.
Keppel berharap dapat memuktamadkan urus niaga jual-beli tersebut dalam beberapa bulan akan datang, tertakluk kepada kelulusan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Menurut syarikat itu, Simba mengemukakan bidaan paling kukuh dalam kalangan syarikat yang berminat, dengan tawaran tunai pada harga menarik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg