Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cukai setem penjual untuk rumah privet dinaikkan

Kadar kini lebih tinggi antara 4% dengan 16%, tempoh pegangan naik kepada 4 tahun
Jul 4, 2025 | 4:45 PM
Peraturan terkini melibatkan cukai setem penjual lebih tinggi dan tempoh pegangan lebih ketat, berkuat kuasa untuk semua rumah privet yang dibeli mulai tengah malam 4 Julai 2025. 
Peraturan terkini melibatkan cukai setem penjual lebih tinggi dan tempoh pegangan lebih ketat, berkuat kuasa untuk semua rumah privet yang dibeli mulai tengah malam 4 Julai 2025.  - Foto ST

Pemilik hartanah privet yang menjual rumah mereka dalam tempoh kurang empat tahun dari tarikh pembelian, perlu membayar Cukai Setem Penjual (SSD) pada kadar lebih tinggi, iaitu antara 4 peratus dengan 16 peratus.

Kadar tersebut meningkat kepada maksimum 16 peratus bagi pemilik yang menjual rumah mereka dalam tempoh setahun selepas membelinya.

Pada masa ini, SSD dikenakan ke atas pemilik hartanah privet yang menjual rumah mereka sebelum tempoh tiga tahun dari tarikh pembelian, pada kadar antara 4 peratus dengan 12 peratus.

Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan tempoh pegangan lebih panjang dan kadar SSD lebih tinggi tersebut, yang berkuat kuasa mulai 4 Julai, dalam satu kenyataan pada 3 Julai.

Pihak berkuasa menyatakan sejak beberapa tahun lalu, jumlah urus niaga hartanah perumahan privet dengan tempoh pegangan singkat telah meningkat dengan ketara, lapor The Straits Times (ST).

“Secara khusus, terdapat peningkatan ketara dalam penjualan unit yang masih belum siap dibina (atau sub-jualan),” tambahnya.

Urus niaga sub-jualan dicatat apabila pembeli menjual semula sesebuah hartanah yang dibeli terus daripada pemaju, sebelum projek perumahan itu disiapkan.

“Oleh itu, pemerintah akan kembali kepada tempoh pegangan SSD sebelum 2017, iaitu selama empat tahun, dan menaikkan kadar SSD sebanyak 4 mata peratusan, bagi setiap peringkat tempoh pegangan.”

SSD diperkenalkan pada 2010 bagi menghalang kegiatan ‘flipping’ dalam hartanah, iaitu, membeli rumah privet dan menjualnya semula dalam tempoh singkat bagi meraih keuntungan cepat, tanpa keinginan untuk tinggal di rumah berkenaan.

Dasar cukai tersebut dilonggarkan pada 2017, dan penjual tidak lagi diwajibkan membayar SSD, jika rumah privet mereka dijual selepas tempoh pegangan tiga tahun.

Sebelum 2017, SSD dikenakan jika mereka menjual rumah mereka dalam tempoh kurang empat tahun selepas membelinya.

Peraturan terkini yang lebih ketat, berkuat kuasa untuk semua rumah privet yang dibeli mulai tengah malam 4 Julai.

SSD yang disemak semula itu tidak menjejas pemilik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kerana terdapat Tempoh Penginapan Minimum (MOP) sekurang-kurangnya lima tahun bagi flat HDB.

Satu laporan oleh firma hartanah OrangeTee Group pada April menunjukkan kegiatan urus niaga sub-jualan semakin meningkat pada 2024, melonjak kepada 1,306 transaksi berbanding hanya 178 transaksi pada 2020.

Urus niaga sub-jualan membentuk 6.6 peratus daripada jumlah jualan rumah privet tidak berhalaman pada 2024.

Ini adalah langkah terkini yang menyasarkan pasaran hartanah privet.

Pada April 2023, kadar Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) telah dinaikkan bagi warga dan penduduk tetap (PR) Singapura yang membeli hartanah kedua dan seterusnya.

Kadar ABSD bagi warga asing yang membeli mana-mana hartanah kediaman juga dinaikkan seganda daripada 30 peratus kepada 60 peratus.

Kenaikan tersebut bertujuan mengekang harga hartanah daripada dinaikkan oleh pelabur, dan memberi keutamaan kepada warga Singapura yang ingin membeli rumah untuk didiami.

Sebelum langkah tersebut, kadar ABSD bagi pembeli dan pemaju telah dinaikkan pada Disember 2021.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg