Pemain utama sektor hartanah di Singapura menunjukkan sentimen yang jauh lebih negatif pada suku pertama 2025, susulan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat yang meningkatkan ketidaktentuan ekonomi.
Indeks Sentimen Komposit Universiti Nasional Singapura (NUS) – ukuran suku tahunan bagi sentimen umum pasaran – merosot kepada 4.3 pada suku pertama, berbanding 6 pada suku sebelumnya.
Perubahan sentimen itu berlaku selepas indeks itu merekod kenaikan selama lima suku berturut-turut, ketika pasaran mula pulih daripada langkah kekangan hartanah pada April 2023, yang menyaksikan kenaikan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) ke atas pembeli rumah.
Pengarah Institut Kajian Hartanah dan Bandar (Ireus), Profesor Qian Wenlan, berkata:
“Dalam keadaan pasaran yang suram ini, pengumuman penangguhan tarif selama 90 hari oleh Amerika – awalnya untuk negara lain pada April, kemudian untuk China pada Mei – adalah satu sinar harapan yang berpotensi meredakan ketegangan perang dagang antara Amerika dengan China.”
Namun, dengan rundingan perdagangan yang masih dijalankan, Profesor Qian berkata masih terlalu awal untuk meramalkan bagaimana ekonomi sejagat akan berkembang pada masa akan datang.
“Oleh itu, syarikat dan isi rumah perlu memantau dengan teliti tahap beban hutang dan tanggungjawab kewangan mereka jika berlaku kemelesetan ekonomi yang teruk.
“Pelabur pula mungkin akan beralih kepada aset lebih stabil seperti bon pemerintah dan hartanah,” katanya.
Profesor pengerusi provos hartanah di Sekolah Perniagaan NUS, Profesor Sing Tien Foo, berkata:
“Tinjauan sentimen ini bertepatan dengan pengumuman tarif yang dikenakan ke atas ramai rakan dagang Amerika.
“Kesan terhadap sentimen pasaran tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.”
Tinjauan ini mendapati 87.5 peratus responden meletakkan risiko kelembapan ekonomi sejagat sebagai kebimbangan utama mereka.
Ini diikuti 70.8 peratus responden yang menyenaraikan kehilangan pekerjaan atau kemerosotan ekonomi tempatan sebagai kebimbangan utama mereka, berbanding 29.6 peratus yang menyatakan perkara sama pada suku keempat 2024.
Sekitar 37.5 peratus responden menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan pembiayaan perniagaan yang ketat dan isu kecairan pasaran hutang, manakala satu pertiga menyenaraikan peningkatan kos pembinaan sebagai satu risiko.
Hanya 29.2 peratus eksekutif hartanah menyatakan kebimbangan terhadap langkah penyejukan yang diperkenalkan, turun mendadak berbanding 77.8 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Indeks Sentimen Semasa, yang mengukur perubahan sentimen dalam tempoh enam bulan terakhir, merosot kepada 4.2 daripada 6.2 yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Ini merupakan paras terendah sejak suku ketiga 2023, selepas kadar ABSD dinaikkan pada April 2023, lapor The Business Times (BT).
Indeks Sentimen Masa Hadapan, yang mencerminkan perubahan sentimen bagi enam bulan akan datang, turut turun kepada 4.5 pada suku pertama, berbanding 5.9 pada suku keempat 2024.
Pada suku pertama 2025, semua sektor hartanah mencatat baki bersih semasa dan masa depan yang negatif.
Peratusan baki bersih semasa dan masa depan masing-masing digunakan untuk menunjukkan sentimen terkini dan jangka masa depan, apabila baki bersih negatif menunjukkan sentimen kurang baik.
Baki bersih ini diperoleh daripada perbezaan antara peratusan responden yang memilih jawapan positif dengan yang memilih jawapan negatif dalam tinjauan.
Profesor Qian menambah: “Pandangan bagi masa terdekat kekal suram berdasarkan keputusan tinjauan terkini yang menunjukkan baki bersih masa depan sebanyak -46 peratus untuk sektor perindustrian dan logistik serta -38 peratus untuk sektor pejabat.
“Ini menunjukkan responden menjangkakan tekanan terhadap ruang komersial akan bertambah buruk dalam beberapa bulan akan datang.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg