Dana infrastruktur utama Keppel, Dana Infrastruktur Teras Keppel (KCIF), telah memperoleh 39 peratus pegangan dalam Loji Keppel Merlimau Cogen (KMC).
Ini merupakan aset pertama KCIF, dan pada 3 Mac, Keppel berkata ia akan memberi kestabilan kewangan sedang dana itu berkembang.
Keppel Infrastructure Trust (KIT) masih memegang 51 peratus pegangan dalam KMC, sementara pegangan Keppel berkurang daripada 49 peratus kepada 10 peratus, lapor The Business Times (BT).
Beroperasi sejak 2007, KMC ialah loji jana kuasa gas turbin kitaran gabungan 1,300 megawatt di Pulau Jurong, yang bekalkan sekitar 14 peratus elektrik Singapura.
Pada 2022, Keppel menaik taraf salah satu turbin gas KMC untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan pelepasan karbon, dan menyokong penggunaan hidrogen.
Keppel merancang menaik taraf turbin kedua, dan ia dijangka siap pada separuh kedua 2025.
Melalui perjanjian jangka panjang dengan Keppel, KMC menerima bayaran bulanan untuk memastikan kapasiti penuh loji tersedia bagi bahagian runcit elektrik Keppel.
Perjanjian ini dijangka berlanjutan hingga 2040, dengan bayaran tetap setiap bulan, tanpa bergantung pada jumlah tenaga yang dijana atau permintaan elektrik.
Pada April 2024, perjanjian ini dicadangkan untuk dilanjutkan 10 tahun lagi, dari 2030 hingga 2040, dengan potensi menjana hampir $1.1 bilion dalam bayaran kapasiti jangka panjang untuk KMC.
Keppel berkata: “Perjanjian ini bukan sahaja memberi KCIF aliran tunai yang stabil malah melindungi dana daripada risiko pasaran tenaga di Singapura.”
Divisyen infrastruktur Keppel akan terus mengendalikan dan menyelenggara loji tersebut.
Cik Janice Bong, pengarah urusan Keppel, berkata:
“Sebagai pengendali KMC dan penaja KCIF serta KIT, Keppel akan terus menerima pengagihan dan yuran berulang.”
Ketua eksekutif KCIF, Encik Jee Kim, berkata transaksi ini mengukuhkan kerjasama dengan Keppel dan membantu dana merebut peluang dalam pasaran infrastruktur Asia-Pasifik.
Ia juga memastikan dana itu “memberi pulangan terbaik yang seimbang dengan risiko.”
KCIF mensasarkan AS$2.5 bilion ($3.37 bilion), dengan penutupan pertama pada Oktober 2023 mengumpulkan AS$575 juta.
Dana ini melabur dalam infrastruktur kukuh di Asia-Pasifik untuk pendapatan stabil jangka panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg