Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PacificLight Power bina loji jana kuasa sedia hidrogen $1b di Pulau Jurong jelang 2029

Jan 3, 2025 | 5:22 PM
Loji jana kuasa gas asli sedia hidrogen di Pulau Jurong yang akan dibina oleh penjana elektrik tempatan PacificLight Power akan mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya 600MW, yang boleh menjana kuasa bagi sekitar 864,000 flat empat bilik selama setahun. 
Loji jana kuasa gas asli sedia hidrogen di Pulau Jurong yang akan dibina oleh penjana elektrik tempatan PacificLight Power akan mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya 600MW, yang boleh menjana kuasa bagi sekitar 864,000 flat empat bilik selama setahun.  - Foto ST

Sebuah loji jana kuasa gas asli yang sesuai bagi hidrogen di Pulau Jurong akan disediakan pada 2029, dibina oleh penjana elektrik tempatan, PacificLight Power.

Firma itu berkata projek itu, yang akan menelan belanja sekitar $1 bilion, akan menjadi kemudahan turbin gas kitaran gabungan tunggal terbesar dan paling cekap di Singapura.

Loji itu akan mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya 600MW, yang boleh menjana kuasa bagi sekitar 864,000 flat empat bilik selama setahun. Apabila mula beroperasi, ia akan dapat membakar sekurang-kurangnya 30 peratus hidrogen – bahan api yang lebih bersih – dengan gas asli membentuk selebihnya untuk penjanaan elektrik.

Pada masa hadapan, loji itu akan dapat membakar 100 peratus hidrogen, sedang sektor tenaga berusaha ke arah pelepasan sifar bersih, lapor The Straits Times.

Singapura merancang untuk mempunyai sekurang-kurangnya sembilan loji jana kuasa sedia hidrogen menjelang 2030. PacificLight berkata lojinya yang baru diumumkan itu akan menjadi yang terbesar daripada sembilan loji tersebut.

Pemberian kontrak kepada PacificLight oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) diumumkan pada 3 Januari.

Loji PacificLight itu juga akan menjadi yang pertama dipasang dengan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala besar, yang menyimpan elektrik semasa tempoh permintaan rendah.

Jumlah kos projek, termasuk loji dan jentera, pembinaan, sistem penyimpanan bateri dan infrastruktur berkaitan, dijangka berada dalam lingkungan $1 bilion. Ini akan ditanggung sepanjang tempoh pembinaan selama tiga tahun.

Loji tersebut akan dibina di kawasan tanah yang belum dibangunkan. Penilaian kesan sekitaran sedang dijalankan untuk projek tersebut.

Syarikat itu menambah bahawa tapaknya di Pulau Jurong adalah “bersaiz mencukupi” untuk menampung, pada masa hadapan, unit turbin gas kedua, dan juga berpotensi menyepadukan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.

“Ini menekankan komitmen PacificLight Power untuk menggunakan huraian canggih yang meningkatkan kestabilan sistem sementara mengurangkan kos operasi dan kesan sekitaran,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada 3 Januari.

Singapura kini bergantung kepada gas asli untuk menjana sebahagian besar tenaga elektriknya tetapi perlu beralih kepada sumber yang lebih hijau untuk mencapai matlamat bersih sifar.

Hidrogen dianggap sebagai bahan api yang lebih hijau daripada gas asli kerana ia tidak mengeluarkan sebarang karbon dioksida (CO2) pemanasan planet apabila dibakar.

Dengan industri yang menggunakan tenaga elektrik seperti ekonomi digital dan pengangkutan elektrik yang kian berkembang, EMA meramalkan bahawa permintaan tenaga elektrik tertinggi Singapura dijangka meningkat sekurang-kurangnya 3.7 peratus dalam tempoh enam tahun akan datang, mencecah antara 10.1GW dan 11.8GW menjelang 2030.

“Kapasiti penjanaan kuasa tambahan akan diperlukan pada 2029 untuk memenuhi unjuran pertumbuhan permintaan elektrik dan memastikan kebolehpercayaan sistem kuasa,” kata EMA.

Sejak 2024, semua loji jana kuasa gas asli baru dan dikuasakan semula perlu sekurang-kurangnya 30 peratus sesuai bagi hidrogen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg