Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Timbang sumber alternatif tangani isu tenaga kerja

Mar 27, 2022 | 05:30 AM



Baru-baru ini, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan BERITA MINGGU (BM) telah menganjurkan bersama sesi dialog pasca-Belanjawan yang dihadiri 35 peserta terdiri daripada anggota DPPMS dan pemilik perniagaan. Pelbagai pertanyaan telah diajukan, seperti tentang sokongan bagi peniaga, isu tenaga kerja, dan berkenaan rantaian bekalan dan kos yang meningkat. Berikut BM melaporkan perbincangan di sesi dialog itu.



SYARIKAT di sini boleh mempertimbang untuk mendapatkan sumber tenaga manusia alternatif bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja di tempat kerja mereka, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.



Contohnya, mereka boleh mendapatkan pekerja melalui program-program kerjaya dan mencari cara menarik pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) untuk menyertai syarikat mereka.



Encik Zaqy berkata demikian semasa menjawab pertanyaan berkaitan isu tenaga kerja oleh peserta sesi dialog pasca-Belanjawan anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Berita Harian (BH) baru-baru ini.



Sesi dialog itu, yang diadakan di Red Velvet Ballroom @ The Landmark, dihadiri 35 peserta terdiri daripada anggota DPPMS dan pemilik perniagaan.



Antara peserta yang mengajukan pertanyaan berkenaan isu tenaga kerja ialah Naib Presiden DPPMS, Cik Fadilah Abdul Majid.



Meskipun mengalu-alukan langkah bagi syarikat menerapkan automasi, Cik Fadilah berkata "secara realistiknya, tidak semua industri boleh melakukan automasi" kerana terdapat sebahagian tugas yang masih perlu dilakukan manusia, terutamanya dalam industri perkhidmatan seperti makanan dan minuman (F&B) dan spa.



Encik Zaqy berkata untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja itu, antara yang boleh dilakukan syarikat adalah untuk mendapatkan sumber tenaga manusia daripada program kerjaya dan juga pelajar.



"Contohnya, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), mereka ada program seperti hospitaliti dan sebagainya. Anda boleh mencari cara untuk menarik mereka menyertai syarikat anda dan menjadikan perkhidmatan yang ditawarkan profesional.



"Jika anda lihat pada negara seperti Australia, pekerjaan seperti tukang paip dan teknisyen agak setaraf dengan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) kerana mereka telah menjadikan kerjaya itu sesuatu yang profesional dan orang ramai tidak kisah melakukan kerja itu," kata beliau.



Ketua kelompok F&B DPPMS, Encik Ali Abbas, yang juga mengendalikan rangkaian restoran termasuk Royal Palm Meat & Dine di Village Hotel Bugis, pula berkata isu mendapatkan tenaga kerja merupakan satu masalah yang amat besar bagi ramai peniaga F&B pada masa ini.



Ini termasuk kesukaran mendapatkan pekerja tempatan, yang biasanya enggan bekerja semasa hujung minggu dan hari cuti, bagi pekerjaan barisan depan di restoran.



Meskipun gembira pemerintah akan membolehkan majikan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan menggajikan pekerja asing di bawah permit kerja dan bukan Pas S mulai tahun depan, beliau bertanya mengapa langkah itu tidak dilaksanakan tahun ini.



Encik Zaqy berkata beliau memahami cabaran yang dihadapi peniaga F&B, namun untuk menarik pekerja tempatan, beliau berkata mungkin beberapa penyesuaian boleh dilakukan termasuk berkenaan gaji yang ditawarkan, persekitaran pekerjaan, dan menyusun semula perniagaan.



Memberi contoh, beliau berkata untuk menarik lebih ramai pekerja, sektor keselamatan memanfaatkan teknologi dan automasi, mengurangkan waktu kerja lembur dan menawarkan gaji progresif.



Hasilnya, lebih ramai orang muda kini tertarik menyertai sektor itu, dengan terdapat kenaikan 3 hingga 5 peratus dalam jumlah pekerja tempatan memasuki sektor itu dalam tempoh lima tahun lalu, tambah Encik Zaqy.



"Ini menunjukkan bahawa sesebuah sektor itu boleh menjalani transformasi dan diubah," kata beliau.



Sementara itu, Presiden DPPMS, Encik Farid Khan, berkata akademi baru yang ditubuhkan DPPMS tahun lalu bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam dan institusi pengajian untuk mendapatkan sumber pekerja yang tidak dimanfaatkan, seperti bekas banduan, asatizah dan pelajar.



"Saya menggesa anggota (DPPMS) di sini untuk mengambil mereka sebagai pelatih kerana selepas mereka telah dilatih, kami boleh memberikan peranan tugas kepada mereka. Kami boleh bekerjasama untuk menangani isu ini," kata beliau.




DAPATKAN SUMBER TENAGA MANUSIA DARI PROGRAM KERJAYA, PELAJAR



"Di ITE, mereka ada program seperti hospitaliti dan sebagainya. Anda boleh mencari cara untuk menarik mereka menyertai syarikat anda dan menjadikan perkhidmatan yang ditawarkan profesional.

Jika anda lihat pada negara seperti Australia, pekerjaan seperti tukang paip dan teknisyen agak setaraf dengan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen) kerana mereka telah menjadikan kerjaya itu sesuatu yang profesional dan orang ramai tidak kisah melakukan kerja itu.''

- Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.



DAPATKAN SUMBER PEKERJA DARI BEKAS BANDUAN, ASATIZAH DAN PELAJAR 



"Saya menggesa anggota (DPPMS) di sini untuk mengambil mereka sebagai pelatih kerana selepas mereka telah dilatih, kami boleh memberikan peranan tugas kepada mereka. Kami boleh bekerjasama untuk menangani isu ini.''
- Presiden DPPMS, Encik Farid Khan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >