Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Dari ITE, kini kerja di MNC Amerika

Pasukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) yang merangkumi warga Singapura di syarikat berbilang negara (MNC) dari Amerika Syarikat, Thermo Fisher Scientific, memainkan peranan penting dalam memerangi pandemik Covid-19 di samping menghasilkan aneka produk bagi rawatan penyakit. MNC itu juga menawarkan ratusan peluang pekerjaan bagi warga setempat.
Aug 12, 2021 | 05:30 AM



APABILA pengurus pengeluaran, Encik Aarman Yazeed, 43 tahun, menyertai syarikat Thermo Fisher Scientific selepas tamat Perkhidmatan Negara (NS), beliau sekadar mahu mencari pendapatan. 



Beliau mula bertugas sebagai seorang teknisyen di bahagian pengeluaran biarpun tidak mempunyai pengalaman.



Namun, setelah beberapa bulan bekerja, Encik Aarman, lulusan Sijil Pelatih Industri (ITC) dalam jurusan kejuruteraan mekanikal dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Dover, mendapati dirinya seakan-akan melakukan perkara yang sama di dalam pekerjaannya.



Lalu, beliau menyampaikan hasratnya untuk mempelajari perkara baru kepada penyelia beliau. 



Mujurlah, penyelianya memberi sokongan dan menunjukkan kepadanya bahawa pekerjaan yang sama itu boleh dilakukan dengan pelbagai teknik berbeza.



“Saya mendapat peluang melakukan cross training (dapat menimba kemahiran dalam peranan lain) dan ini membuat saya fikirkan bagaimana saya boleh memperbaiki tugasan production supaya saya dapat bekerja dengan lebih cekap,” kata Encik Aarman. 



Tahun demi tahun berlalu dan hari ini, Encik Aarman, bapa dua anak, kekal bekerja di Thermo Fisher selama 19 tahun. 



Beliau menggalas jawatan pengurus pengeluaran pada 2019 dan kini gilirannya untuk melatih teknisyen lebih muda. 



Dalam tempoh beliau bekerja di syarikat itu, beliau telah membina antaranya alat untuk kegunaan flow cytometry, sejenis teknik untuk mengesan dan mengukur jumlah sel atau partikel. 



Kini, antara tugasan utama Encik Aarman adalah berkaitan dengan pengeluaran produk bagi menentang penyakit Covid-19. 



Bagi membekalkan Encik Aarman dengan kemahiran bersesuaian di dalam pekerjaannya, Encik Aarman telah menyertai pelbagai kursus dan latihan.



Beliau berupaya belajar separuh masa di Politeknik Nanyang (NYP) ketika bekerja di syarikat itu dan berjaya meraih lulusan diploma dalam bidang kejuruteraan jitu.



Beliau juga telah mendapat pensijilan bagi kursus Membangun Pemimpin Barisan Depan dan Latihan Pasukan Peningkatan Proses Praktikal. 



“Melalui kursus dan latihan yang saya sertai, saya berupaya memperbaiki kemahiran teknikal dan pengurusan orang,” ujar Encik Aarman. 



Selain itu, beliau juga berpeluang menjalani latihan pemindahan produk, di mana beliau akan ke tapak Thermo Fisher lain di luar negara seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Finland. 



Di sana, beliau mempelajari cara memasang dan menguji sesuatu alat sebelum membawa alat itu pulang ke Singapura.



Sebagai contoh, Encik Aarman telah pergi ke Finland pada 2019 untuk membawa balik suatu produk yang dipercayai boleh mengasing dan membersihkan asid. Produk ini kini turut digunakan dalam menentang penyakit Covid-19. 



Lantaran itu, Encik Aarman bersyukur pekerjaannya di syarikat berbilang negara telah memberinya peluang untuk mempelajari pelbagai perkara dan membina kerjayanya. 



Di samping itu, beliau berpeluang bertugas dengan pekerja dari pelbagai budaya berbeza. 



Syarikat Thermo Fisher menawarkan pekerja mereka pelbagai peluang untuk mempertingkat diri dan mara dalam kerjaya mereka.



Syarikat itu juga menawarkan program bimbingan untuk melatih pekerja dan menyediakan pelbagai peluang pembelajaran di dalam talian melalui portal Universiti Thermo Fisher, dan kursus latihan gaya bilik darjah.



Seorang lagi pekerja yang berpeluang membina kerjayanya melalui aneka program mempertingkat diri di Thermo Fisher adalah pengurus kewangan, Cik Hazel Ngiam, 30 tahun. 





Beliau menyertai syarikat ini pada 2017 sebagai penganalisa di jabatan operasi kewangan dan dalam tempoh tiga tahun, berjaya menggalas jawatan terkininya.



Menurut Cik Ngiam, beliau adalah antara enam peserta dalam kumpulan pertama bagi program Kepimpinan Cemerlang dan Pembangunan Dipercepat (LEAD) yang mula dianjurkan pada 2019. Kumpulan beliau turut mempunyai pekerja Thermo Fisher dari Shanghai, China. 



Program LEAD, khusus untuk pekerja di jabatan kewangan, memberi peluang kepada individu terpilih untuk berkembang dan mempercepat pembangunan kerjaya mereka, memberi tumpuan pada kemahiran kewangan dan membina kecekapan kepimpinan. 



Program selama tiga tahun ini juga menawarkan Cik Ngiam peluang untuk bertugas di luar negara dalam persekitaran pembelajaran yang pantas dan membina keupayaan pengurusan, profesional dan kepimpinan supaya cemerlang dalam dunia kewangan korporat.



Mengulas tentang perkembangan kerjayanya dalam tempoh lima tahun akan datang, Cik Ngiam berkata:



“Saya ingin terus membina keupayaan profesional dan kepimpinan saya sementara memimpin satu pasukan kewangan profesional dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. 



“Saya percaya dengan sumber luas dan komitmen syarikat terhadap pembangunan kerjaya pekerja, saya dapat mencapai matlamat saya untuk menceburi tahap pengurusan pada masa depan nanti.”



> Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) 




MNC AMERIKA BERTAPAK DI SG, HASILKAN ALAT UJIAN PERANGI COVID, LAWAN PENYAKIT





SYARIKAT pembangunan dan pengeluar alat saintifik, Thermo Fisher Scientific, telah berada di barisan hadapan dalam menentang pandemik koronavirus Covid-19 di Singapura.



Berasal dari Amerika Syarikat, syarikat itu telah bertapak di negara ini lebih dua dekad lalu dan merupakan hab utama bagi operasi Asia Tenggara.



Bagi memerangi pandemik Covid-19, pasukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) syarikat itu telah menghasilkan kit ujian quantitative polymerase chain reaction (qPCR) yang dapat mengesan virus Covid-19, peralatan perlindungan dan pembeku Suhu Ultra Rendah (ULT) untuk menyimpan vaksin. 



ULT telah dihasilkan sejak tahun 1950-an untuk tujuan sains dan penyelidikan kehidupan. 



Namun, ekoran pandemik Covid-19, permintaan untuk pembeku ULT hasil syarikat itu melonjak tiga kali ganda lebih tinggi tahun lalu kerana pembeku tersebut berupaya menyimpan sebanyak 5,000 hingga 250,000 vaksin, bergantung pada saiz, ciri dan konfigurasi pembeku. 



Wujud ekosistem saintifik di Singapura 



Dari 80,000 pekerja di seluruh dunia, ia mempunyai 2,000 pekerja di Singapura. Mereka berpegang pada misi – untuk membolehkan pelanggan menjadikan dunia ini tempat yang lebih sihat, bersih dan selamat.



Thermo Fisher telah membentuk pasukan R&D di Singapura untuk memberi tumpuan terhadap kejuruteraan instrumen lebih sedekad lalu. Kini, ia mempunyai lebih 150 pekerja R&D di Singapura.



Keupayaan Thermo Fisher untuk menarik bakat Singapura dan menubuhkan pasukan R&D di Singapura adalah hasil daripada tiga faktor utama, menurut Pengarah Pengurusan Thermo Fisher Asia Tenggara dan Taiwan, Encik Ravi Shastri. 



“Yang pertama, Singapura mempunyai ekosistem saintifik yang telah dibangunkan dalam tempoh dua hingga tiga dekad dengan tertubuhnya kawasan Biopolis, sebuah pusat pembangunan dan kajian antarabangsa untuk sains bioperubatan di Singapura; prasarana terbaru Thermo Fisher yang merangkumi unit pengeluaran pembeli di Tuas dan juga adanya kilang pembuatan farmaseutikal. 



“Yang kedua, mutu pendidikan di Singapura kian bertambah baik dengan adanya pusat pengajian tinggi seperti politeknik dan universiti yang telah meningkatkan kajian akademik sejak beberapa tahun lalu. 



“Yang ketiga adalah dari sudut harta intelektual dan perspektif paten. Singapura adalah salah satu tempat lebih selamat di dunia yang menawarkan harta intelektual.



“Ketiga-tiga faktor ini menghasilkan bakat lebih baik, menawarkan rasa selamat dalam membuat penyelidikan dan pengkomersialan dan lebih mudah untuk berurusan niaga berbanding kebanyakan negara,” kata Encik Shastri, seorang penduduk tetap (PR) di Singapura, yang telah menyertai Thermo Fisher sejak 18 tahun lalu.



Saintis di Thermo Fisher 



Salah seorang bakat Singapura yang telah bekerja selama empat tahun di syarikat itu adalah Cik Si Kee Tan, 35 tahun, Pengurus Kanan, Pembangunan Assay.



Beliau telah menyertai Thermo Fisher pada 2017 sebagai seorang saintis kanan tetapi dalam tempoh dua bulan, beliau diberi peluang untuk mengurus pasukannya sendiri yang terdiri daripada lima orang. 



Mereka memainkan peranan penting dalam pembinaan molekular assay – sejenis prosedur dalam biologi molekular yang menguji atau mengukur kegiatan biokimia dalam suatu organisme.



Sebelum keadaan pandemik Covid-19, Cik Tan dan pasukannya telah melakukan penyelidikan berkenaan penyakit berjangkit dan onkologi iaitu kajian dan rawatan tumor barah.



Kini, dalam tempoh empat tahun, pasukannya telah berkembang dan kini merangkumi 35 orang yang terdiri daripada pekerja Singapura, Malaysia dan Russia. 



“Apa sahaja produk yang telah kami bangunkan, produk itu kemudian akan dipindahkan ke bahagian pengeluaran yang terletak di Amerika Syarikat atau United Kingdom. Buat masa ini, ada produk yang kami bangunkan sudah diberi kuasa Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) untuk kegunaan kecemasan,” kata Cik Tan. 



Selama bekerja di Thermo Fisher, Cik Tan telah bekerjasama dengan para saintis di Amerika Syarikat untuk pembangunan produk, di mana mereka berhubungan melalui panggilan video setiap hari. 



Beliau juga berpeluang ke Amerika Syarikat dua kali setiap tahun untuk berjumpa dengan saintis di sana sebelum keadaan pandemik Covid-19.



“Peluang dapat bekerjasama dengan saintis di Amerika Syarikat telah membantu saya dan anggota pasukan saya meraih kemahiran dan pengetahuan baru kerana para saintis di sana lebih berpengalaman dan berpengetahuan. Selain itu, saya juga belajar cara berinteraksi dengan pelbagai orang daripada budaya berbeza,” kata Cik Tan, ibu kepada dua anak berusia dua dan enam tahun.



Peluang kerja buat warga Singapura 



Kisah Cik Tan yang telah maju dalam kerjayanya, daripada seorang saintis kanan ke tahap pengurusan, adalah contoh terhadap komitmen Thermo Fisher untuk menawarkan peluang kerjaya yang menarik. 



Di sebalik pandemik ini, syarikat itu aktif menarik pekerja baru melebihi 500 pekerja di Singapura sejak 15 bulan lalu.



Ia disebabkan langkah firma itu membentuk kilang menghasilkan dry powder media (DPM), bahan mentah kultur sel penting untuk menghasilkan biologik termasuk vaksin dan terapeutik anti-barah di Tuas. 



Thermo Fisher juga bakal melaburkan $130 juta untuk membina satu kemudahan baru di Singapura bagi menempatkan dua saluran pengisian steril yang boleh menghasilkan sehingga 30 juta dos dadah dan vaksin setiap bulan. 



Kemudahan baru ini akan menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan. 



Justeru, Thermo Fisher merancang mengembangkan lagi tenaga kerjanya di Singapura. 



“Selain melatih pekerja sedia ada, kami telah mengambil ratusan pekerja baru sejak keadaan pandemik Covid-19 pada tahun lalu, termasuk pekerja di luar industri bioperubatan dan farmaseutikal dan melatih mereka. 



“Oleh kerana setiap pekerjaan yang kami tawarkan memerlukan kemahiran khusus, kami telah bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), EDB dan Temasek Holdings, bagi memastikan kami mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja dari industri lain,” kata Encik Shastri.



Memandang ke depan, Encik Shastri berkata bahawa sektor farmaseutikal dijangka terus berkembang ekoran pandemik Covid-19. 



“Kami akan terus melabur dan menghubungkan keupayaan di semua syarikat kami untuk membantu pelanggan kami mempercepat inovasi dan mendorong produktiviti, sambil meningkatkan nilai buat pemegang saham kami,” kata Encik Shastri. 



Syarikat itu juga telah bekerjasama dengan para pelajar di Singapura bagi menggilap bakat bakal saintis dan jurutera di Singapura. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >