Pengendali khidmat penghantaran makanan, Deliveroo, telah menjalinkan kerjasama dengan rangkaian pasar raya, Sheng Siong, untuk memperluas khidmat penghantaran barangan runcitnya.
Deliveroo pada 10 Februari mengumumkan bahawa 21 cawangan Sheng Siong di serata Singapura kini tersedia di platformnya, dengan rancangan untuk menambah 10 lagi cawangan menjelang akhir Februari.
Platform Deliveroo menawarkan lebih 5,000 pilihan produk Sheng Siong buat pelanggan – termasuk makanan segar, barangan asas dapur dan keperluan rumah.
Pelanggan boleh membuat pesanan melalui aplikasi Deliveroo pada bila-bila masa, dengan penghantaran dalam tempoh 30 minit, lapor The Straits Times (ST).
Pengurus Besar Deliveroo Singapura, Encik Jason Parke, berkata walaupun hidangan sedia dimakan (RTE) kekal sebagai teras perniagaan platform itu, kerjasama dengan Sheng Siong memperluaskan tawarannya dengan menyediakan “pelbagai barangan runcit pada harga berdaya saing”, yang boleh dihantar 24 jam sehari.
“Dengan semakin ramai pengguna menyatakan minat untuk menggunakan platform penghantaran untuk barangan runcit dan barangan bukan makanan, kami berbangga dapat terus memenuhi permintaan yang meningkat ini serta menjadikan (urusan) membeli-belah harian (pengguna kami) lebih senang dan mudah diakses,” katanya.
Sejak 2020, Deliveroo telah memperluaskan perkhidmatannya melangkaui penghantaran makanan, dengan melancarkan perkhidmatan penghantaran barangan bersama jenama seperti Marks & Spencer, Hao Mart dan Little Farms.
Pengarah pelanggan dan operasi Sheng Siong, Encik Lin Zikai, menyatakan bahawa ini kali pertama rangkaian pasar raya itu bekerjasama dengan sebuah syarikat penghantaran.
Menerusi kerjasama ini, Sheng Siong dapat memudahkan lagi urusan membeli-belah pelanggan, “memastikan mereka memperoleh makanan segar serta barangan keperluan harian dengan mudah dan berkesan”, kata Encik Lin.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran perkhidmatan baru ini, Deliveroo dengan kerjasama Sheng Siong, akan menawarkan diskaun $6 buat pelanggan baru dan sedia ada, yang membuat perbelanjaan minimum $40 dari 15 hingga 28 Februari.
Menurut penganalisis, kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kededua syarikat penghantaran makanan dan rangkaian pasar raya itu.
Profesor Lawrence Loh dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) pula berkata kerjasama ini memberi kelebihan kepada Deliveroo.
“Inisiatif pertumbuhan pasaran yang inovatif ini akan membantu syarikat menyaingi peneraju penghantaran makanan seperti GrabFood dan FoodPanda. “Ia juga merupakan strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan penghantaran makanan yang semakin kompetitif,” kata Profesor Loh.
Penganalisis kanan RHB Singapura, Encik Alfie Yeo, berkata dengan akses kepada pelanggan Deliveroo, Sheng Siong dapat mengembangkan saluran jualan dalam taliannya.
Sheng Siong juga mungkin dapat menjimatkan kos penghantaran kerana Deliveroo mempunyai pekerja penghantarannya sendiri, tambah Encik Yeo.
“Namun, jualan dalam talian adalah sebahagian kecil daripada jumlah jualan keseluruhan, oleh itu kami tidak melihat sebarang kesan besar (kerjasama ini) terhadap harga saham Sheng Siong,” jelas Encik Yeo.
Encik Paul Chew, ketua penyelidik di Phillip Securities Research, berkata kerjasama ini memberi manfaat kepada Sheng Siong kerana ia membolehkan syarikat itu mengakses kumpulan pelanggan baru yang dapat memanfaatkan pilihan produk yang lebih luas, harga yang kompetitif dan cawangan yang lebih banyak, dengan majoritinya kebanyakannya beroperasi 24 jam sehari.
“Ini memberikan peluang untuk pertumbuhan pendapatan tambahan dan pengembangan margin...
“Namun ia sukar untuk menganggarkan kesan terhadap harga saham Sheng Siong buat masa ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg