Majikan harus menanggung kos bagi sebarang penggantungan kerja jangka pendek atau sementara berikutan masalah jerebu, dan tidak boleh memotong gaji mahupun hak cuti pekerja, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, pada 3 November.

Hanya jika operasi perniagaan digantung untuk tempoh berpanjangan barulah majikan wajar berbincang dengan kesatuan sekerja dan pekerja bagi mencari aturan yang sesuai, tambahnya.

Encik Dinesh berkata demikian di Parlimen ketika menjawab soalan yang dikemukakan Anggota Parlimen (AP) mengenai kesan jerebu terhadap pekerja rentan – termasuk mereka yang bekerja di luar – serta perlindungan yang disediakan untuk mereka.

Pekerja penghantaran platform adalah antara kumpulan yang diberi tumpuan.

Cik Charlene Chen (GRC Tampines) bertanya sama ada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan meneliti kesan jerebu terhadap pendapatan dan kesihatan golongan pekerja berkenaan, yang mungkin terpaksa mengurangkan masa di jalan raya selaras dengan nasihat kesihatan.

Beliau turut bertanya sama ada pihak kementerian akan mempertimbangkan langkah melindungi pendapatan mereka atau menawarkan bentuk sokongan lain.

Menjawab pertanyaan itu, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan), Encik Foo Cexiang, berkata MOM telah menasihati pengendali platform dan pekerja penghantaran mengenai langkah yang patut diambil ketika tempoh jerebu.

Ini termasuk langkah pengendali menghantar peringatan kepada para pekerja supaya berehat dan memastikan pengambilan air yang cukup.

Beliau menambah bahawa pengendali platform juga tidak wajar mengenakan penalti terhadap pekerja sekiranya mereka mengambil masa lebih lama untuk menyelesaikan penghantaran dalam tempoh ini, sama ada melalui pengurangan insentif, menyekat peruntukan tugasan, mahupun memotong gaji.

Pekerja penghantaran platform yang berdepan masalah kewangan akibat pengurangan penghantaran turut dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan di Pejabat Khidmat Sosial (SSO), kata Encik Foo.

Beliau turut menegaskan bahawa perlindungan kesihatan dan keselamatan pekerja ini adalah “paling utama”.

Daripada menetapkan arahan khusus bagi setiap sektor, Encik Dinesh berkata garis panduan MOM berhubung jerebu terpakai bagi semua sektor.

Pada 20 Oktober, kementerian itu berkata majikan perlu menyesuaikan aktiviti kerja luar sepanjang hari berdasarkan bacaan mutu udara PM2.5 1 jam.

Manakala, ramalan PSI pula digunakan untuk merancang kerja-kerja luar bagi keesokan harinya.

Majikan bagaimanapun bebas mengambil langkah tambahan yang sesuai dengan keperluan masing-masing, tambah Encik Dinesh.

“MOM akan terus memeriksa langkah perlindungan jerebu majikan semasa pemeriksaan di tapak kerja, termasuk sama ada mereka mempertimbangkan tahap mutu udara yang berubah-ubah.”

Begitu juga bagi kontraktor yang menyediakan perkhidmatan luar, mereka harus mematuhi nasihat MOM bagi memastikan pekerja kekal selamat daripada risiko kesihatan akibat jerebu, kata beliau.

Menjawab pertanyaan AP buruh Dr Wan Rizal (GRC Jalan Besar), Encik Dinesh mengakui bahawa pematuhan kepada arahan ini mungkin menyebabkan kontraktor menanggung kos operasi lebih tinggi, selain berdepan kesukaran memenuhi syarat kontrak.

Justeru, beliau menggesa pihak yang mengupah kontraktor supaya bertolak ansur dan bersikap fleksibel.

Beliau turut merujuk kepada nasihat perikatan tiga pihak yang menyatakan bahawa pembeli perkhidmatan perlu membenarkan “perubahan munasabah” terhadap harga bidaan sekiranya ia berasas, seperti dalam keadaan luar jangkaan yang mengakibatkan peningkatan kos operasi.