Tencent dan Ant Group menunjukkan cita-cita baru mereka bagi pertumbuhan global pada Pesta Fintech Singapura (SFF) pada November.
Kedua-dua syarikat gergasi China itu adalah penaja utama acara tersebut.
Syarikat itu menguasai ruang pembayaran digital China dan telah memilih Asia Tenggara sebagai landasan pelancaran bagi visi mereka, lapor The Business Times.
Kehadiran di SFF mencerminkan tumpuan mereka pada pembayaran rentas sempadan – sektor yang dijangka mencecah AS$250 trilion ($335 trilion) dalam aliran global menjelang 2027.
Didorong perdagangan antarabangsa, e-dagang dan rantaian bekalan yang sedang berkembang, lonjakan itu diterjemahkan kepada pendapatan tahunan AS$200 bilion bagi penyedia perkhidmatan pembayaran, menurut Citigroup.
Bagi Tencent dan Ant, menguasai walaupun sebahagian kecil daripada pasaran ini akan memberikan pertumbuhan besar, namun strategi mereka mendedahkan visi yang berbeza tentang cara untuk berjaya di luar China.
Pendekatan Tencent terhadap pembayaran rentas sempadan kekal terikat dengan wadah pemesejannya, WeChat.
Oleh itu, pengguna Asia Tenggara perlu memuat turun aplikasi tersebut untuk mengakses huraian pembayaran antarabangsa di bawah Tencent, Tenpay.
Walaupun WeChat mudah untuk pelancong dan ekspatriat China, model Tencent “muat turun dahulu” tidak sesuai dengan rangkaian pembayaran Asia Tenggara yang sangat kuat ciri saling boleh kendalinya.
Di negara seperti Singapura dan Thailand misalnya, pengguna boleh bergantung pada perkhidmatan seperti PayNow dan PromptPay.
Ini bukan aplikasi dengan fungsi sendiri, sebaliknya ia adalah sistem yang dibenamkan dalam aplikasi perbankan tempatan, yang membolehkan transaksi rentas sempadan tanpa memerlukan muat turun tambahan.
Tenpay memperoleh lesen institusi pembayaran utama di Singapura, menandakan hasrat Tencent untuk menguasai bahagian pasaran serantau.
Untuk memperkenalkan teknologi pengecaman tapak tangan bagi pembayaran digital di pasaran antarabangsa, syarikat itu mengumumkan kerjasama dengan Visa di SFF.
Ini mungkin menambah sedikit kemudahan bagi sesetengah pengguna, tetapi gagal untuk menangani persoalan teras tentang bagaimana Tencent akan menyepadu dengan prasarana Asia Tenggara yang semakin terbuka.
Penyelesaian syarikat itu kekal terikat pada WeChat yang berfokuskan China dan mungkin mengasingkan pengguna sedia ada alat perbankan tempatan.
Seperti Tencent, Ant melancarkan strategi penyejagatannya seawal 2015 untuk memberi perkhidmatan kepada pelancong yang keluar China.
Sejak itu, pertumbuhan firma itu di luar negara telah banyak bergantung pada membentuk perkongsian tempatan dan bukannya cuba mengawal bahagian pasaran secara bersendirian.
Ant International, perniagaan global syarikat itu, bekerjasama dengan pengendali e-dompet dan bank serta memperoleh syarikat di seluruh Asia Tenggara.
Ia menekankan penyesuaian melebihi mengejar penguasaan pasaran untuk aplikasinya yang boleh berfungsi sendirian.
Penyelesaian Alipay+ Ant mempromosikan fleksibiliti dan kebolehcapaian dengan merapatkan pelbagai kaedah pembayaran dan menyokong fungsi rentas sempadan di Asia.
Ini membolehkan pengguna berbilang e-dompet untuk berurus niaga merentas wilayah tanpa memuat turun aplikasi tambahan atau memerlukan akaun Alipay pusat.
Walaupun pendekatan Ant menawarkan fleksibiliti untuk pengguna Asia Tenggara, ia masih mempunyai cabaran.
Sedang model Tencent memberi tumpuan pada pangkalan pengguna sedia ada, strategi Ant banyak bergantung pada rakan kongsi, memerlukan tindakan mengimbangi antara keperluan rakan kongsi tempatannya, kekangan peraturan dengan jangkaan pertumbuhan.
Strategi Ant dan Tencent menggariskan visi mereka bagi potensi pasaran fintech (teknologi kewangan) Asia Tenggara.
Bagaimanapun, kaedah mereka mendedahkan perspektif berbeza untuk mencapai kejayaan jangka panjang.
Namun kedua-dua syarikat itu akhirnya berkongsi matlamat yang sama: memanfaatkan ekosistem fintech Singapura sebagai batu loncatan kepada Asia Tenggara dan kemungkinan seterusnya, dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg