Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Kerjasama S’pura, Shenzhen boleh saling rangsang pelaburan

Firma tempatan berhasrat labur dalam hab teknologi di China; Gan undang syarikat Shenzhen tinjau peluang niaga di S’pura dan rantau
Sep 3, 2025 | 3:27 PM
Gan Kim Yong, Shenzhen, ekonomi
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong (kiri), bertemu Setiausaha Parti Shenzhen, Encik Meng Fanli, dalam fasa kedua lawatannya ke China pada 2 September. - Foto MDDI

Singapura dan Shenzhen, masing-masing sebagai gerbang ke kawasan serantau mereka, boleh bekerjasama dalam merangsang pelaburan antara Asia Tenggara dengan Kawasan Teluk Lebih Luas (GBA) di China, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Beliau turut menambah bahawa syarikat tempatan berhasrat untuk terus melabur di hab teknologi selatan itu serta di rantau Greater China.

Encik Gan juga mengundang syarikat dari Shenzhen untuk meninjau peluang perniagaan di Singapura dan negara jirannya, dengan menyerlahkan Inisiatif Segi Tiga Pertumbuhan Singapura-Johor-Kepulauan Riau (Sijori).

Semua itu merupakan antara isi ucapan yang disampaikan dalam satu pertemuan dengan Setiausaha Parti bandar Shenzhen, Encik Meng Fanli, pada 2 September, bagi lawatan kerja fasa kedua Encik Gan ke China, lapor The Straits Times (ST).

Shenzhen, yang terletak di wilayah Guangdong, merupakan salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi China, menempatkan pelbagai gergasi teknologi seperti Huawei, Tencent dan BYD.

Bandar tersebut mempunyai Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 3.68 trilion yuan ($664 bilion), menjadikannya ekonomi ketiga terbesar di China, selepas Shanghai dan Beijing.

Kedua-dua pemimpin itu membincangkan cara memperkukuh kerjasama antara kedua-dua bandar itu, dengan Encik Gan menyuarakan minat Singapura bekerjasama dalam bidang ekonomi digital, ekonomi hijau, rantaian bekalan, perkhidmatan kesihatan dan pembangunan bioteknologi.

Singapura dan Shenzhen telah bekerjasama dalam Projek Inisiatif Bandar Pintar Singapura-China (Shenzhen) sejak 2019.

Daya usaha itu bertujuan meningkatkan keterhubungan digital, menggalak inovasi dan mewujudkan peluang bagi syarikat yang berpangkalan di kedua-dua bandar itu untuk menembusi pasaran Asia Tenggara serta GBA, yang merangkumi Guangdong, Hong Kong, dan Macau.

Menurut Encik Meng, beliau berharap dapat membina asas itu bagi mengembangkan kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

Beliau turut menekankan hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh antara Singapura dengan Shenzhen, dengan pelaburan syarikat Shenzhen di Singapura meningkat daripada AS$450 juta ($579 juta) pada 2024 kepada AS$640 juta pada separuh pertama 2025.

Syarikat-syarikat Singapura pula melabur AS$410 juta di Shenzhen pada 2024, dan AS$270 juta pada separuh pertama 2025, kata Encik Meng.

Encik Gan berkata syarikat-syarikat Singapura berhasrat untuk terus melabur di Shenzhen dan China.

“Kami sedar bahawa ekonomi China kini menghadapi cabaran yang ketara, namun kami yakin dengan potensi jangka panjang ekonomi China,” tambah beliau.

Encik Gan menekankan persamaan peranan Shenzhen dan Singapura, masing-masing sebagai gerbang ke GBA dan Asia Tenggara, serta sebagai titik dalam segi tiga pertumbuhan serantau.

Bagi Shenzhen, ia merangkumi gugusan Guangzhou-Shenzhen-Hong Kong, manakala Singapura merupakan titik penting dalam Inisiatif Segi Tiga Sijori yang dilancarkan pada akhir 1980-an untuk menarik pelabur ke rantau ini.

“Saya rasa ia akan menjadi amat menarik jika Singapura dan Shenzhen dapat bekerjasama dan menjadi gerbang antara Kawasan Teluk Lebih Luas (di China) dengan segi tiga pertumbuhan di Singapura,” kata Encik Gan, sambil mempelawa syarikat Shenzhen agar meninjau peluang yang ditawarkan rantau ini.

Encik Gan dan Encik Meng turut membincangkan pemerkasaan kerjasama di luar bidang ekonomi, termasuk dalam pelancongan dan pertukaran antara penduduk, misalnya pertukaran pelajar.

Encik Gan meninggalkan Shenzhen ke Beijing, di mana beliau menghadiri perarakan sempena memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 3 September, serta mengadakan mesyuarat dengan pemimpin China pada 4 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg