Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Kerjasama tangkas boleh bantu Asia tangani cabaran sejagat

May 29, 2025 | 8:02 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong. - Foto AFP

Menjalin kerjasama fleksibel adalah satu daripada tiga cara yang dapat membantu Asia menangani pelbagai cabaran sejagat.

Di samping itu, Asia boleh juga memperdalam integrasi, selain mereformasi atau menambah baik institusi, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 29 Mei, pada hari terakhir lawatan kerja beliau ke Tokyo.

“Multilateralisme yang fleksibel” sedemikian boleh melibatkan kerjasama awal bersama rakan-rakan yang berfikiran sehaluan, sambil “membiarkan pintu terbuka untuk pihak lain sertai apabila mereka bersedia”, kata beliau dalam ucapan yang disiarkan secara dalam talian.

Beliau berkata demikian dalam Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 mengenai Masa Depan Asia, dengan tema ‘Cabaran Asia dalam Dunia Bergelora’, lapor The Business Times (BT).

Sebagai contoh pendekatan multilateralisme yang fleksibel, Encik Gan merujuk kepada Inisiatif Kenyataan Bersama (JSI) mengenai E-dagang oleh Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), dengan Jepun, Singapura dan Australia merupakan penganjur bersama inisiatif tersebut.  

JSI membolehkan kumpulan negara anggota WTO menangani isu-isu tertentu, berbeza dengan rundingan biasa WTO yang memerlukan kesepakatan.

JSI mengenai E-dagang tersebut kini melibatkan 91 negara anggota yang membentuk lebih 90 peratus perdagangan sejagat.

Satu percubaan untuk menyertakan JSI dalam rangka kerja WTO pada Februari gagal, namun para penganjur bersama terus berusaha ke arah ini, dan sedang meneroka pilihan untuk melaksanakan perjanjian tersebut buat sementara waktu, kata Encik Gan.

Pakatan baru juga boleh diwujudkan dengan terus memajukan kumpulan ekonomi sedia ada, dan perjanjian berbilang hala, tambah beliau.

“Pakatan baru ini akan memudahkan kerjasama yang berkesan dan tepat pada masanya mengenai dasar perdagangan utama, serta menunjukkan komitmen kita kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan,” ujar beliau.

Beliau menarik perhatian kepada usaha yang sedang dilakukan Asean untuk memperdalam kerjasama ekonomi dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – yang dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Sidang Puncak Asean pada 26 dan 27 Mei – termasuk melalui kemungkinan diadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kededua blok tersebut.

Negara-negara anggota Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) juga sedang meneliti cara untuk meluaskan kerjasama ekonomi bersama Asean dan Kesatuan Eropah (EU).

Ini merupakan salah satu cara Asia dapat menangani tiga “cabaran asas” yang dihadapinya, selain kesan ekonomi daripada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, kata Encik Gan.

Cabaran pertama ialah mengekalkan “kebebasan strategik” di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit antara Amerika dengan China, dengan kededua kuasa ekonomi itu cuba mempengaruhi negara lain.

Cabaran kedua pula ialah mengekalkan sistem perdagangan berbilang hala berasaskan peraturan.

Cabaran ketiga ialah menangani ancaman sejagat seperti perubahan iklim dan usaha melindungi kepentingan bersama di peringkat sejagat.

Selain kerjasama yang tangkas, Asia boleh menghadapi pelbagai cabaran ini dengan menggandakan usaha ke arah integrasi serantau dan mereformasi pertubuhan seperti WTO, kata Encik Gan.

Menyentuh mengenai integrasi serantau, beliau berkata Asia mesti meningkatkan keterhubungan perdagangan, digital dan fizikalnya, serta “meningkatkan aspirasi” bagi kerjasama sedia ada.

“Multilateralisme yang fleksibel sedemikian boleh melibatkan kerjasama awal bersama rakan-rakan yang berfikiran sehaluan, sambil “membiarkan pintu terbuka untuk pihak lain sertai apabila mereka bersedia... Pakatan baru ini akan memudahkan kerjasama yang berkesan dan tepat pada masanya mengenai dasar perdagangan utama, serta menunjukkan komitmen kita kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan.” 
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dalam ucapannya di Forum Antarabangsa Nikkei ke-30.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg