Perusahaan Asia Tenggara boleh meraih manfaat daripada ekosistem serantau yang dipertingkat bagi aliran barangan di rantau ini, apabila Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) yang dipertingkat dikuatkuasakan kelak.
Menerusi satu kenyataan pada 25 Mei, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata perjanjian yang dipertingkat itu dijangka ditandatangani oleh negara anggota Asean di Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang akan berlangsung pada Oktober 2025.
Rundingan bagi perjanjian yang dipertingkat itu berlangsung semasa Mesyuarat Majlis Masyarakat Ekonomi Asean (AECC) ke-25 di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 25 Mei.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, mewakili Singapura di mesyuarat tersebut, di mana Singapura juga telah mempengerusikan rundingan bagi perjanjian yang dipertingkat itu.
Encik Gan berkata Singapura berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan kerja Asean untuk memuktamadkan rundingan Atiga yang dipertingkat itu.
“Ini menunjukkan komitmen Asean untuk membina rantau ekonomi yang lebih lancar dan berdaya tahan, serta memelihara persekitaran perdagangan berasaskan peraturan untuk menyokong operasi perusahaan di rantau Asean dengan lebih baik di tengah-tengah landskap ekonomi dunia yang tidak menentu,” ujarnya.
Rundingan Atiga merupakan antara sorotan utama daripada mesyuarat AECC ke-25, di mana negara anggota Asean juga meluluskan Pelan Strategik Masyarakat Ekonomi Asean (AEC) 2026-2030.
Mesyurat tersebut turut membincangkan usaha memajukan rundingan bagi Persetujuan Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) Asean, yang disasarkan selesai menjelang akhir 2025.
Dari sudut memperkukuh kerjasama antara rantau, Asean telah meluluskan Pengisytiharan Bersama mengenai Kerjasama Ekonomi antara Asean dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam bidang perdagangan, ekonomi digital, keselamatan makanan, dan kerjasama sektor swasta.
Kededua pihak bersetuju untuk mengkaji dan membincangkan kemungkinan perjanjian perdagangan bebas (FTA), kata MTI.
Selain itu, Asean turut mengiktiraf nilai kerjasama yang lebih erat dengan negara anggota Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) melalui dialog yang berterusan.
MTI menambah, Asean turut mengalu-alukan mesyuarat pertama Pasukan Petugas Geoekonomi Asean yang bertujuan membuat jangkaan berhubung perubahan global dan pandangan dasar bagi daya saing dan daya tahan dalam jangka masa panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg