Singapura tidak pernah bersikap neutral dan akan sentiasa mengambil pendirian terhadap dasar atau isu antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dalam satu persidangan pada 22 Mei.
Antara isu paling rumit ialah ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China.
Namun, walaupun isu tersebut menimbulkan perbalahan, Singapura tidak boleh terus menjadi pemerhati, katanya.
“Kami memang punya pendirian. Cuma bezanya ialah kami mengambil pendirian bukan kerana anda Amerika atau anda China,” kata beliau, sambil menjelaskan bahawa pendirian Singapura diambil berdasarkan apa yang terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, menambah bahawa Singapura menghargai hubungan perniagaan dengan Amerika dan China dan kededua negara itu mengetahui pendirian Singapura.
Namun, beliau mengakui bahawa “semakin sukar dan mencabar untuk mencari jalan yang menyenangkan kededua pihak”.
Perjanjian 12 Mei – yang mana Amerika dan China bersetuju menggantung sebahagian tarif ke atas barangan masing-masing selama 90 hari – mungkin memberikan kelegaan sementara, namun persoalan masih timbul mengenai apa yang akan berlaku apabila tempoh penangguhan tarif itu berakhir.
Yang jelas, keadaan selepas krisis tarif ini tidak akan kembali seperti sediakala, lapor The Straits Times (ST).
“Satu dunia baru akan muncul,” tambah Encik Gan, yang bercakap dengan Ketua Bersama Pengurusan Harta Global bagi Asia-Pasifik UBS, Cik Young Jin Yee, semasa Edisi Harta dalam Persidangan Pelaburan Asia UBS di Capella Singapura.
Antara soalan yang sering terlintas di fikiran beliau termasuk bagaimanakah keadaan dunia baru ini dan bagaimanakah Singapura boleh terus merebut peluang dan mengembangkan ekonomi dalam suasana ini.
Encik Gan berkata walaupun sebelum ‘Hari Pembebasan’ buat Amerika pada 2 April, apabila Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif timbal balik ke atas negara asing, rundingan di Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) sudah pun menjadi satu cabaran selama bertahun-tahun.
Rundingan perdagangan semakin tertumpu kepada keperluan domestik dan banyak negara semakin mengamalkan dasar perlindungan, katanya.
Pemerintah telah membentuk Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) pada April untuk membantu perniagaan dan pekerja mengharungi cabaran jangka pendek akibat tarif Amerika, di samping meletakkan negara dalam landskap ekonomi baru.
Encik Gan mempengerusikan pasukan petugas tersebut, terdiri daripada empat menteri lain dan wakil daripada Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef).
Beliau berkata pemerintah akan memberi tumpuan kepada beberapa keutamaan, termasuk melabur dalam inovasi, serta penyelidikan dan pengembangan (R&D) untuk mewujudkan perniagaan baru, produk baru, perkhidmatan baru, malah pasaran baru serta model perniagaan baru.
Singapura juga mesti terus melabur dalam rakyatnya, yang merupakan sumber terpenting negara, kata beliau.
“Setiap industri, setiap perniagaan perlu terus melabur dalam membangunkan bakat tempatan kita, membawa masuk bakat dan membina satu pasukan secara bersama,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg