Setelah Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif timbal balik ke atas kebanyakan negara di seluruh dunia pada 2 April, banyak negara bimbang akan kesannya kepada perdagangan dunia.
Paling membimbangkan adalah perang tarif yang kemudiannya berlaku antara dua ekonomi terbesar dunia, Amerika dan China, dengan masing-masing menaikkan tarif timbal balik sehingga mencecah kadar 145 peratus tarif Amerika ke atas import China, sementara China pula mengenakan tarif 125 peratus ke atas barangan Amerika.
Namun dunia kemudiannya dapat menarik nafas lega, apabila pada 12 Mei lalu, Amerika dan China mengadakan pertemuan lalu bersetuju menggantung kadar tarif tinggi itu selama 90 hari.
Langkah ini dilihat sebagai mampu meredakan ketegangan perdagangan dua kuasa besar itu, sekali gus memberi mereka masa untuk mencari huraian kepada perbezaan mereka.
Hasilnya, kadar tarif Amerika terhadap China merosot kepada 30 peratus, manakala tarif China ke atas barangan Amerika merosot kepada 10 peratus.
Wakil Amerika menyifatkan persetujuan itu sebagai baik dan mewakili kepentingan negaranya dan akur bahawa kedua-dua pihak tidak mahu berselisih.
Sementara wakil China pula memuji langkah itu sebagai kemajuan besar dan menyifatkan persetujuan itu diambil demi kepentingan kedua-dua negara dan kepentingan bersama dunia.
Di Singapura, sebelum persetujuan terbaru itu dicapai, tarif Amerika tersebut membimbangkan negara.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata menangani persekitaran ekonomi tidak menentu dan kesannya terhadap rakyat Singapura merupakan keutamaan bagi pemerintah yang baru dipilih selepas pilihan raya umum pada 3 Mei lalu.
Bahkan, satu Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, juga telah dibentuk dan telah bertemu secara aktif untuk membangunkan dan menyempurnakan pelan tindak balas, bagi menangani kesan negatif tarif yang dikenakan Amerika.
Singapura, sebagai negara kecil dengan ekonominya bergantung besar kepada keterbukaan perdagangan dunia, perlu bertindak segera dan secara berkesan demi memastikan negara ini dapat mengharungi tarif tersebut.
Walaupun dengan pengurangan ketegangan China-Amerika itu, pelaksanaan tarif Amerika pada kadar asas 10 peratus masih boleh menjejas perdagangan dunia dan meningkatkan kos eksport, termasuk ke Amerika yang merupakan antara pasaran utama Singapura.
Dalam hal ini, warga Singapura perlu memahami keadaan ini dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kesan norma baru keadaan ekonomi sejagat yang penuh dengan ketidaktentuan selain kesannya terhadap harga barangan dan bekalan, ekoran kenaikan kos daripada tarif tersebut serta gangguan kepada rantaian bekalan.
Warga perlu bersatu hati menghadapi ketidaktentuan yang disebabkan pengenalan tarif tersebut.
Kesannya bukan hanya kepada Singapura, bahkan di seluruh dunia, dengan kebanyakan negara telah pun melahirkan rasa kurang senang terhadap pengenalan tarif itu, yang merupakan langkah sepihak yang dikenakan Amerika.
Kita juga harus terus berusaha mempertingkat kemahiran dan ilmu demi memastikan peranan dan tugas kita kekal relevan dalam keadaan tidak menentu ekonomi dan geopolitik dunia.
Pemerintah Singapura telah memberi jaminan akan terus membantu warga mempertingkatkan diri selain memberi bantuan kepada warga selama yang perlu, supaya negara ini dan warga dapat mengharungi cabaran ‘ekonomi dunia baru’ ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg