Anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) boleh mempamerkan produk mereka, berhubung dengan rakan kerjasama yang berpotensi, mengukuhkan kehadiran pasaran dalam persekitaran yang lebih mudah diakses serta turut bekerjasama di pejabat kedua DPPMS di Grantral Mall di MacPherson.

Ruang yang dibuka secara rasmi pada 15 April itu dilengkapi dengan bilik serba guna yang boleh menampung sehingga 10 orang dan ruang utama yang boleh digunakan sehingga 40 orang bagi mengadakan antara lain bengkel, kelas, sesi pasukan dan mesyuarat yang lengkap dengan projektor, skrin, televisyen dan mikrofon tanpa wayar.

Selain itu, anggota DPPMS dapat mempamerkan produk jualan mereka di satu dinding pameran khas, kata Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan.

Menurut pemerhatian wartawan Berita Harian (BH), terdapat kod QR yang boleh diimbas dan maklumat seperti nombor telefon dan akaun media sosial yang dilampirkan bersebelahan produk yang dipamerkan agar penjual dapat dihubungi.

Dalam ucapannya semasa acara, Makan and Mesra Raya 2026, anjuran DPPMS, Encik Abdul Malik berkata:

“Ruang baru ini melambangkan lebih daripada sekadar sebuah pejabat fizikal.

“Ia merupakan satu langkah ke hadapan dalam perjalanan kami sebagai sebuah organisasi, tempat di mana idea akan dikongsi, kerjasama akan terjalin dan pelbagai inisiatif akan direalisasikan.

“Kami membayangkan pejabat ini sebagai sebuah hab untuk anggota kami yang mudah diakses, mesra, dan yang paling penting, ruang yang mencerminkan kemeriahan serta daya ketahanan masyarakat perniagaan kami.”

Pejabat DPPMS di Onan Road telah ditutup manakala pejabat di Jalan Pinang masih lagi beroperasi, tambah beliau.

Di majlis yang sama, Encik Abdul Malik turut melancarkan kad keanggotaan baru, yang tersedia dalam bentuk fizikal dan digital.

“Inisiatif ini akan membolehkan kami meningkatkan cara kami berinteraksi dengan anggota, dengan menyediakan akses yang lebih lancar kepada perkhidmatan, program, serta sumber perniagaan yang relevan seperti dasar pemerintah dan skim sokongan, pada bila-bila masa dan dengan lebih cekap,” ujarnya.